Alhamdulillah, Allah mengizinkan kita untuk menikmati secebis lagi waktu di dunia ini pada tahun baharu 2026. Sesungguhnya nikmat masa yang kita ada kini terasa semakin singkat bertepatan dengan ucapan Baginda Rasulullah SAW yang mengingatkan kepada kita tentang semakin dekatnya hari kiamat. Sabda Rasulullah SAW :
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرْمَةِ بِالنَّارِ
"Tidak akan berlaku Kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api"
(Hadis Riwayat At-Tarmizi, Nom Hadis 2332)
Walau apa jua yang berlaku, kehidupan mesti diteruskan dengan menuruti aturan dan ketetapan yang telah digariskan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dalam merancang kehidupan dan masa depan yang lebih baik, kita hendaklah menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan dan rujukan utama lebih-lebih lagi kita sebagai mukmin yang beriman dan yakin bahawa kehidupan di dunia hanyalah bersifat sementara dan jambatan menuju akhirat yang abadi. Maka, dalam surah al-Mukminun disebutkan tentang ciri-ciri Mukmin yang berjaya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-3 :
قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ ١ ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ ٢ وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنِ ٱللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ٣
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia"
Oleh itu, sentiasalah menginsafi diri dalam menjalani kehidupan yang berbaki ini. Janganlah ada hari yang terbuang dengan sia-sia. Sehari yang terbuang bermakna kita telah mengabaikan masa yang berharga, umur yang berharga dan masa muda yang berharga untuk menjadi manusia yang terbaik. Rasulullah pernah ditanya oleh seorang lelaki mengenai definisi sebaik-baik manusia. Lalu Rasulullah bersabda :
مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ " . قَالَ فَأَىُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ " مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ
"Sebaik-baik manusia mereka yang dipanjangkan umur dan (semakin) baik amal (soleh) mereka. Dan seburuk-buruk manusia mereka yang dipanjangkan umur dan (semakin) buruk amalannya"
Ini bermakna, kita mesti menggunakan kesempatan waktu yang Allah berikan kepada kita untuk menjadi manusia yang baik, gunakan umur yang panjang itu untuk sentiasa melaksanakan amal kebajikan dengan memberi manfaat kepada diri sendiri, masyarakat dan agama. Peluang yang ada ini jangan disia-siakan dengan perkara yang melalaikan kita, tambahkan ilmu pengetahuan dan sentiasa memperbaiki diri dari kesilapan yang kita lakukan.
لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌۭ ۚ وَلَدَارُ ٱلْـَٔاخِرَةِ خَيْرٌۭ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ ٱلْمُتَّقِينَ
"Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini, (maka mereka) akan beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu adalah lebih baik lagi; dan pastilah negeri akhirat itu ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertakwa"
Insafilah perkara ini dan renunglah sedalam-dalamnya. Sediakan payung sebelum hujan serta persiapkan bekal di dunia ini sebelum belayar ke negeri akhirat yang kekal abadi agar kita tidak menyesal di kemudian hari.
وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ ٧٧
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan"
Marilah kita memperbaharui azam, cita-cita dan harapan kita dengan melaksanakan serta mengerjakan segala perintah Allah SWT dalam tahun baru ini. Hendaklah kita bermuhasabah bahawa tiap-tiap hari yang telah berlalu tidak dapat diulang kembali walaupun ditangisi dengan air mata darah sekalipun, biar dibeli dengan harta kekayaan yang ada, ia pasti tidak akan kembali.
Setahun berlalu bererti setahun pula umur kita telah berkurang dan semakin bertambah bilangan tahun yang telah pergi. Semakin sedikit pula umur kita yang tinggal. Apabila umur kita habis, maka ajal pun akan menjelma. Di saat itu, tidak ada lagi peluang untuk mencari bekalan yang akan dibawa menuju ke akhirat.
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌۭ ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةًۭ ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ ٣٤
"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila sampai ajalnya, tidak dapat mereka melambatkannya walau sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya"
Sebagai penutup, beberapa perkara penting buat renungan bersama :
- Amalan bermuhasabah merupakan suatu amalan yang dituntut dilakukan setiap hari dalam menjadikan seseorang itu lebih baik dan istiqamah atas jalan Allah SWT.
- Kesenangan hidup di dunia ini sungguh memperdayakan umat manusia. Begitu ramai pula manusia tidak menyedari bahawa kesenangan yang sedikit ini akan membinasakan mereka sekiranya mereka lalai melaksanakan tanggungjawab sabagai hamba Allah SWT.
- Kehidupan ini perlu dikendalikan dengan baik supaya kita dapat membetulkan segala kesilapan dan merancang ke arah kehidupan yang lebih baik dan diredhai Allah SWT.
