recent
Terkini | تركيني

Amalan Pertama Ditanya

Laman utama


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱرْكَعُوا۟ وَٱسْجُدُوا۟ وَٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمْ وَٱفْعَلُوا۟ ٱلْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ۩

"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)"

(Surah Al-Haj : 77)

Marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan berusaha meningkatkan amal dan ketakwaan kepada Allah serta melaksanakan perintah-perintah Nya dan menjauhkan diri daripada segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab dan dinilai oleh Allah. Setiap individu muslim, baik lelaki atau perempuan yang telah sampai umur dan cukup syaratnya, diwajibkan menunaikan solat. Perintah mengerjakan solat atau sembahyang lima waktu setiap hari ini, telah dikurniakan Allah SWT kepada baginda Rasulullah SAW pada bulan Rejab ketika baginda dinaikkan ke Sidratul Muntaha melalui peristiwa Isra' dan Mi'raj yang berlaku sebelum peristiwa Hijrah.

Sebagai umat Islam, kita perlu sedar bahawa ibadat solat itu adalah perintah daripada Allah, bukannya perintah imam mukim atau ketua kampung, bukan juga arahan kerajaan atau ketua jabatan. Perlakuan sembahyang ada rukun dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi, bukannya boleh dibuat secara ikut-ikutan semata-mata tanpa usaha untuk mempelajari cara yang betul daripada mereka yang berilmu.

Orang kita kadang-kadang nampak bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajaran apabila ingin menduduki peperiksaan. Ada pula yang berusaha gigih menghafal segala fakta ketika hadir temuduga jawatan. Tetapi, apa persediaan yang kita telah buat untuk menjawab soalan pertama tentang amalan solat di Padang Mahsyar nanti?

Abu Hurairah RA berkata,

"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perkara pertama yang akan dihisab daripada amalan manusia pada Hari Qiamat adalah solatnya. Jika amalan solatnya baik, maka dia akan berjaya dan beruntung. Manakala jika amalan solatnya buruk, maka dia termasuk orang-orang yang kecewa dan rugi."

(Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Sesungguhnya solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, dia telah meruntuhkan agamanya. Maka beruntung dan selamatlah mereka yang sentiasa menjaga ibadat solatnya setiap masa. Sebenarnya kita semua tidak mahu menjadi orang yang rugi pada Hari Qiamat disebabkan tidak pernah mengambil berat tentang sembahyang ketika berada di atas Bumi Allah ini.

Orang yang beriman akan tetap menjaga amalan solat fardhu lima waktu sehari semalam, di samping berusaha menunaikannya secara berjemaah, ditambah pula dengan solat-solat sunat, selalu melazimkan diri untuk solat di masjid, sentiasa mencari saf paling hadapan.

Walaupun ketika berdepan dengan pandemik virus COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau apa sahaja situasi yang berlaku di dalam dunia ini, kita perlu ingat, punca berlakunya kemelesetan ekonomi atau apa-apa musibah keburukan di atas dunia ini berpunca daripada keburukan tangan-tangan manusia termasuklah mengabaikan perintah dan kewajiban sembahyang oleh umat Islam. Ingat, jangan terlalu memarahi cucu yang tidak solat, seandainya solat datuk dan ayahnya sendiri pun sentiasa mengelat. Bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Sebagai akhirnya, marilah kita sama-sama memberi keutamaan kepada ibadah solat dengan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Carilah peluang untuk mempelajari ilmu berkaitan hukum hakam solat agar kita dan semua ahli keluarga serta seluruh masyarakat kita akan beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan lebih-lebih lagi ketika dihisab di akhirat nanti. Allah SWT berfirman :

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk"

(Surah Al-Baqarah : 43)
google-playkhamsatmostaqltradent