recent
Terkini | تركيني

Marilah Kita Merendahkan Diri (Bertawadu')

Laman utama

Sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini, sifat bertawadu' atau merendahkan diri adalah sebahagian dari akhlak mulia yang perlu dimiliki oleh setiap muslim. Sebenarnya orang yang bertawadu'lah yang mampu meraih penghormatan sesama insan dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan ayat 63, 

وَعِبَادُ الرَّحْمٰنِ الَّذِيْنَ يَمْشُوْنَ عَلَى الْاَرْضِ هَوْنًا وَّاِذَا خَاطَبَهُمُ الْجٰهِلُوْنَ قَالُوْا سَلٰمًا

Ertinya : "Dan hamba-hamba Allah yang diredhai-Nya ialah mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang jahil menyapa mereka, meraka menjawab dengan perkataan yang selamat (dari perkara yang tidak diingini)"


Rasulullah SAW menerusi hadis-hadis baginda juga menganjurkan kepada umat Islam agar sentiasa bersikap tawadu' sama ada dalam beribadat mahupun dalam amalan harian dan tingkah laku pergaulan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan wahyu kepada aku agar kamu saling merendahkan diri sehingga tidak ada lagi seseorang yang berlaku zalim terhadap orang lain dan tidak ada lagi seseorang yang sombong terhadap orang lain." 

Hadis riwayat Muslim.


Sedarlah wahai manusia! Apabila dalam kalangan umat Islam saling membudayakan sikap tawadu', pastilah keadaan dunia ini akan menjadi aman tenteram dan penuh kebahagiaan. Mengapa? Kerana dalam masyarakat, tidak akan ada orang yang menzalimi orang lain, tidak ada lagi orang sombong, ego dan mendabik dada, berbangga diri dan meremehkan orang lain. sebab itulah setiap muslim harus berusaha mengamalkan sikap tawadu' sehingga seluruh manusia akan terikut sama mengamalkan sikap tersebut pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud

"Sedekah tidak akan mengurangi harta kekayaan dan Allah tidak akan menambah terhadap seseorang yang memberi maaf kepada orang lain kecuali kemuliaan, serta tidaklah seseorang yang sentiasa merendahkan diri kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan darjat kemuliaannya." 

Hadis Riwayat Muslim


Hakikatnya, tawadu' itu tidak akan menjadikan seseorang itu rendah dan rasa hina sebaliknya akan menjadikan dirinya orang mulia lagi terhormat. Manakala kesombongan sesama manusia itu tidak akan membawa seseorang menjadi unggul dan mulia sebaliknya rasa hina dan tidak berguna. Jesteru itu, marilah kita memiliki sifat dan sikap tawadu' demi meraih kebahagiaan, kemuliaan dan kehormatan.

Demikianlah penting dan perlunya umat Islam kembali kepada akhlak yang mulia. Masyarakat perlu memahami tuntutan ayat-ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang memberikan suluhan dan pencerahan kepada umat Islam agar menghiaskan diri dengan sikap tawadu' sama ada dalam pergaulan seharian mahupun dalam bermasyarakat sehinggalah kemuliaan yang hakiki dapat diraih secara pasti dan sempurna. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Syu'ra ayat 215,


وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ ۚ

Ertinya : "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman"


Marilah kita merenung kepada nasihat-nasihat yang telah disampaikan oleh Imam Al-Ghazali tentang bagaimana cara-cara mengatasi kesombongan dan keangkuhan dalam diri iaitu:

  1. Apabila kita bertemu dengan anak-anak, anggaplah anak-anak itu lebih mulia daripada kita kerana mereka belum banyak melakukan dosa
  2. Apabila kita bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat
  3. Apabila kita bertemu dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana mereka telah mempelajari dan mengetahui banyak ilmu
  4. Jika kita melihat orang bodoh, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka melakukan dosa dalam kebodohan sedangkan kita melakukan dosa dalam keadaan berilmu dan mengetahuinya
  5. Jika kita melihat orang jahat, janganlah anggap kita lebih mulia kerana boleh jadi suatu hari nanti dia akan bertaubat atas kesalahannya
  6. Jika kita bertemu dengan orang kafir, katalah dalam hati bahawa suatu hari nanti mungkin mereka akan mendapat hidayah Allah SWT.

google-playkhamsatmostaqltradent