Secara umumnya perjalanan hidup kita di atas dunia ini akan menghadapi pelbagai ujian hidup sama ada gembira atau sedih. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hadid ayat 23 :
لِّكَيْلَا تَأْسَوْا۟ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا۟ بِمَآ ءَاتَىٰكُمْ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Ayat ini mengingatkan kita supaya bersifat sederhana, bijak mengawal perasaan, iaitu jangan terlalu gembira, jangan menjadi sombong apabila mendapat nikmat dan jangan pula bersedih jika tidak memperolehi sesuatu perkara yang kita suka. Kesedihan yang melampau membawa kepada kemurungan.
Penyakit kemurungan adalah gangguan hati yang melampau menyebabkan seseorang merasa sedih yang amat sangat dan mengganggu cara berfikir. Penyakit ini boleh dihadapi oleh semua orang dan berlarutan selama berbulan-bulan hingga bertahun-tahun. Apa yang membimbangkan kita ialah telah terdapat pertambahan kes-kes bunuh diri dalam kalangan mereka yang mengalami kemurungan ini. Oleh sebab itu, penyakit ini hendaklah mendapat rawatan segera.
Berdasarkan kajian, seseorang yang mengalami kemurungan mempunyai tanda yang berbeza-beza. Bagaimanapun secara umumnya tanda-tanda kemurungan itu ialah
- sedih yang berpanjangan,
- mudah marah,
- hilang minat untuk melakukan kerja-kerja seharian,
- menghadapi susah tidur atau terlebih tidur,
- tidak ada selera makan atau terlebih makan,
- merasai hilang matlamat hidup,
- hilang nafsu seks,
- putus asa untuk hidup,
- merasai hidup di dunia ini adalah gelap,
- hidup tidak berguna lagi dan
- merasai lebih baik mati daripada hidup.
Mereka yang mengalami gangguan kemurungan sering mendakwa mendapat arahan bisikan suara ghaib. Kita perlu sedar bahawa musuh manusia iaitu syaitan sentiasa mengintai gerak geri manusia. Syaitan akan mengambil peluang terbaik membisikkan di telinga manusia yang menghadapi masalah hidup. Syaitan membisikkan supaya mengambil tindakan yang bertentangan dengan kehendak agama.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya syaitan mendatangi kamu dalam setiap keadaan, sehingga ketika kamu makan pun syaitan turun hadir"
(HR Muslim)
Tidak ada punca khusus seseorang mengalami kemurungan. Tetapi ia boleh berpunca daripada sejarah kemurungan dalam keluarga, mengalami trauma iaitu terlalu lama memendam rasa yang menakutkan atau menyedihkan.
Sedarlah, Islam melarang kita bersedih secara berlebihan kerana akan merosakkan badan kita. Sebagai orang yang beriman kita hendaklah berani menghadapi cabaran hidup.
Allah berfirman dalam surah Al-Imran ayat 139 :
وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
Persoalan besar timbul dalam fikiran kita ialah bagaimana cara merawat penyakit kemurungan ini? Berdasarkan kajian yang dibuat ke atas mereka yang berjaya sembuh daripada penyakit kemurungan, maka terdapat beberapa ikhtiar rawatan yang membawa kepada suasana hati yang sihat.
- Jangan malu untuk mendapat rawatan. Hendaklah segera membuat rawatan di hospital, patuhi nasihat pegawai perubatan, pegawai kaunseling.
- Ahli keluarga hendaklah memberi kasih sayang dan sokongan untuk menguatkan semangat dan keyakinan diri pesakit. Kasih sayang keluarga dan masyarakat ini dapat menghiburkan hati pesakit dan menghilangkan kesedihan.
- Menjaga kesihatan fizikal seperti ambil makanan yang sihat, tidur yang cukup dan melakukan senaman.
- Mendekati Allah SWT yang menciptakan kita. Boleh jadi dengan kesibukan urusan dunia, kita terputus lama hubungan dengan Allah SWT menyebabkan hati kita sedih. Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra'd ayat 28 :
أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوب
Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Ayat ini amat hebat sekali. Allah menjadi penjamin kepada kita. Sesiapa yang sering berzikir atau mengingati Allah akan dapat menyelamat hati yang tidak tenteram. Semakin banyak kita berzikir kepada Allah, fikiran kita semakin terbuka, hati semakin tenteram. Keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah semakin bertambah.
Soalannya, bagaimana pengisian zikir ini? Mengikut pengalaman mereka yang sembuh penyakit kemurungan ini, pengisian zikir itu ialah :
- Banyak membaca Al-Quran, beristighfar, tasbih, tahmid, tahlil, selawat dan lain-lain yang sentiasa basah di bibir.
- Meningkatkan kualiti solat dengan memahami makna dalam solat, istiqamah solat di awal waktu, istiqamah solat tahajud, melakukan solat taubat di atas dosa-dosa yang lalu dan banyakkan berdoa.
- Memperbanyakkan amalan sunat yang diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti memulakan setiap amalan dengan "Bismillah", bersedekah, menghadiri majlis ilmu yang melibatkan aktiviti pergaulan dengan masyarakat.
- Membuang sifat-sifat keji dalam diri seperti sombong, dendam dan menjadikan diri kita sebagai seorang yang suka memaafkan orang.
- Melakukan muhasabah diri bahawa disebalik kesedihan itu sebenarnya ada banyak nikmat Allah dan masih boleh menyumbang kebaikan kepada diri sendiri dan masyarakat.
- Banyak bersabar dan banyak berdoa kepada Allah SWT
قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُKatakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.