Inflasi dan kenaikan harga barangan, merupakan cabaran yang membimbangkan, khasnya selepas negara mula pulih daripada pandemik. Ramai pengguna, bakal berhadapan dengan kemerosotan kuasa membeli dan kualiti hidup.
Sesungguhnya inflasi ini adalah sebahagian daripada ujian Allah SWT ke atas orang beriman. Hakikatnya, Allah SWT sedang melihat bagaimanakah kita memberikan respons terhadap ujian ini.
Semasa zaman Nabi Muhammad SAW, kenaikan harga barangan pernah berlaku, sehingga sahabat mengadu kepada baginda. Tidak dapat dinafikan, bahawa sekiranya perdagangan berlaku secara baik, maka penentuan harga barangan akan berlaku dengan adil kepada peniaga dan pembeli.
Berlakunya inflasi antaranya disebabkan perancangan jahat kumpulan tertentu, maka ini satu pengkhianatan kepada rakyat dan negara. Antara kejahatan mereka, ialah menyeludup minyak masak, menjual petrol atau diesel kepada pihak yang tidak sepatutnya dan menjual barang kawalan bersubsidi ke pihak luar, sedangkan semuanya itu hak rakyat negara ini. Kesannya, rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga. Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 38 :
۞ إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ
"Sesungguhnya Allah membela orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur."
Imam Tarmizi meriwayatkan yang Nabi Muhammad SAW menyeru kepada peniaga yang bermaksud :
"Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat, melainkan mereka yang bertakwa kepada Allah, berbuat baik dan bersedekah."
Islam juga melarang amalan ihtikar (menyorok) barangan atau monopoli barangan. Menurut Imam al-Nawawi, ihtikar bermaksud seseorang itu memborong makanan lalu menyoroknya agar dapat dijual pada harga yang lebih tinggi. Perbuatan terkutuk ini dilarang dalam Islam. Dalam Musnad Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
"Barang siapa yang menyebabkan harga barangan orang Islam menjadikannya lebih mahal, maka Allah akan menempatkannya dalam neraka pada hari kiamat kelak."
Lihatlah, berapa banyak barangan yang dimonopoli oleh orang tengah dalam negara kita. Adalah menjadi tanggungjawab kepada pihak berkuasa untuk melakukan perubahan dalam penguatkuasaan anti monopoli dan orang tengah, agar peluang yang adil diberikan kepada seluruh rakyat jelata. Mereka yang meraut kekayaan dengan cara yang tidak adil, perlu dibanteras dengan polisi perdagangan yang adil dan mesra rakyat. Ini juga secara tidak langsung mengawal harga barangan, bahkan melahirkan persaingan sihat yang akan memberikan kebaikan kepada pengguna.
Sebagai umat Islam, marilah kita berbelanja dengan berhemah berlandaskan syariat. Sebelum ini, sebahagian kita lalai dengan berbelanja dan makan secara mewah. Apatah lagi dengan wujudnya pelbagai perniagaan moden, sama ada dalam talian atau kedai fizikal, ditambah pula dengan bercambahnya pelbagai kaedah pembayaran e-wallet dan perkhidmatan kredit, ramai yang boros berbelanja tanpa sedar yang akhirnya membawa kepada kesempitan wang. Hidup menjadi sukar ketika harga barangan semakin naik. Janganlah terlalu terikut dengan godaan nafsu dan “trend” semasa. Belilah barang yang perlu sahaja. Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 67 :
وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا۟ لَمْ يُسْرِفُوا۟ وَلَمْ يَقْتُرُوا۟ وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا
"Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu".
Hayatilah pesanan Nabi Muhammad SAW dalam Sahih Bukhari yang bermaksud :
"Allah merahmati mereka yang bertoleransi semasa menjual, membeli, dan menuntut wang."