Allah SWT telah menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi untuk mengurus, mentadbir dan memakmurkan bumi amanahNya. Allah SWT telah menganugerahkan manusia kekuasaan untuk mentadbir dan memerintah, baik di daratan mahupun di lautan. Dia juga mengurniakan manusia dengan akal fikiran dan memuliakan mereka dengan ilmu pengetahuan, agar manusia mampu mengenal nikmat-nikmat Tuhan, lalu tunduk sujud bersyukur kepadaNya.
Allah SWT jua menciptakan matahari, bulan dan bintang. Semuanya bergerak dan berputar di atas paksi dan orbitnya, taat dan patuh mengikut perintahNya. Allah SWT juga menurunkan hujan dari langit, lalu tanam-tanaman tumbuh sehingga menjadi kebun-kebun, sawah-sawah, dan ladang-ladang yang sangat subur, semuanya tiada lain adalah untuk kebaikan dan manfaat kepada manusia.
Maha Suci Allah, pujilah Allah SWT di atas segala nikmatNya dan janganlah sesekali ingkar dan kufur kepadaNya. Sebaliknya, pintalah kelebihan dari kurniaNya dengan memperbanyakkan ketaatan dan berbakti untuk mencapai keredhaanNya. Sesungguhnya nikmat pemberian Allah SWT, jika hendak dihitung, tidak akan terkira banyaknya.
Hakikatnya, manusia yang diutuskan sebagai khalifah di bumi ini, rupa-rupanya dipenuhi dengan perkara kekufuran, kezaliman, bunuh-membunuh, rompak dan samun, tindas menindas, yang kuat menzalimi yang lemah, si miskin menjadi mangsa kepada si kaya dan orang-orang jahat bermaharajalela dan bebas melakukan onar dan kerosakan.
Justeru, di tengah-tengah kemelut kegawatan itulah, Allah SWT mengutuskan para rasul. Seorang demi seorang berjuang dengan suara yang lantang. Suara keadilan dan kebenaran. Mereka menyebarkan dakwah dan risalah di atas muka bumi ini, semarak dengan cahaya Islam dan sinar hidayah. Para Rasul berjuang membawa panji agama Islam yang menyuburkan keadilan dan persamaan di antara sesama manusia sama ada individu atau kumpulan, tanpa mengira perbezaan warna kulit atau bangsa. Bahkan, seseorang itu tidak memiliki sebarang kelebihan berbanding yang lain, melainkan yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling tinggi nilai taqwanya.
Oleh itu, kita diseru supaya berpegang teguh dengan agama Allah. Ia merupakan tali yang mampu mempertautkan kita menjadi satu. Hanya dengan bersatu melalui perantaraan agama Allah SWT sahajalah, kita akan menikmati betapa indahnya nikmat persaudaraan. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 103 :
وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا
"Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara"
Sesungguhnya kebanyakan manusia telah pun mengetahui peranan agama Islam. Intipatinya yang luas menjadi pedoman hidup di dunia dan akhirat. Mereka mengetahui bagaimana agama mengajak manusia agar berakhlak baik, berbudi pekerti mulia dan membina tamadun dan peradaban yang tinggi. Peraturan agama Islam dapat dipakai oleh pemerintah dan rakyat, pembesar dan orang bawahan, majikan dan anak buah. Semuanya mempunyai peraturan yang sama. Tidak ada pilih kasih dan beza-membeza; yang muda mestilah menghormati yang tua, yang besar menyayangi yang kecil, yang memimpin melaksanakan tanggungjawab kepada yang dipimpin, yang diperintah melaksanakan arahan dari ulul amrinya.
Maka, kesannya, dalam tempoh setengah abad, umat Islam telah berjaya memerintah di Timur dan di Barat. Ia berterusan sehinggalah timbul perselisihan dan permusuhan sesama umat Islam yang merosakkan; dulunya gah kuat, kini semakin pudar lemah, dulunya menguasai dua pertiga dunia, kini menjadi kumpulan-kumpulan kecil yang tidak berkuasa. Dulunya merupakan umat yang satu bersatu padu, sayangnya telah bertukar menjadi umat mundur yang berpecah belah. Allah SWT telah memberi peringatan menerusi firmanNya :
إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُوا۟ دِينَهُمْ وَكَانُوا۟ شِيَعًۭا لَّسْتَ مِنْهُمْ فِى شَىْءٍ ۚ إِنَّمَآ أَمْرُهُمْ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ ١٥٩
"Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya)"
Jelas daripada mafhum ayat tersebut, ancaman kepada mereka yang tidak mahu bersatu dan bersaudara, bahkan suka berpuak-puak, pasti akan menatijahkan perpecahan dan kehancuran sesama Islam. Mereka diperingatkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak dengan balasan yang setimpal atas apa yang telah mereka lakukan.
Segala nikmat yang dianugerahkan Allah SWT di atas muka bumi ini, tadbir dan makmurkanlah dengan penuh rasa tanggungjawab, berkhidmat bakti kepadanya, bekerja dan berusaha untuk mengurus dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin, di samping tunduk dan taat kepada Allah SWT, serta sentiasa bersyukur atas anugerah nikmatNya.
Agama Islam membawa kebaikan yang amat banyak dan perkara paling penting yang dibawa ialah al-Tauhid dan al-Ittihad yang bererti mengesakan Allah SWT dan suruhan bersatu padu. Ini adalah simbolik yang menunjukkan bahawa Tuhan yang disembah itu adalah satu dan cara beribadat kepadaNya juga satu, undang-undangnya satu, kiblatnya untuk seluruh umat juga satu dan sudah pasti pertolongan Allah SWT itu juga datangnya bersama-sama dengan orang-orang yang bersatu, atas dasar agama Islam.
وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِى ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعْدِ ٱلذِّكْرِ أَنَّ ٱلْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِىَ ٱلصَّـٰلِحُونَ ١٠٥
Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh"