recent
Terkini | تركيني

Pengurusan Harta Pusaka

Laman utama

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa, ayat 29 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًۭا ٢٩

"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan (menggunakan) harta sesama kamu dengan cara yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali melalui perniagaan yang dilakukan atas dasar reda meredai (suka sama suka) antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sesama sendiri! Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu."

Apabila seseorang itu meninggal dunia, segala harta benda yang dimiliki semasa hidup di dunia ini pasti tidak akan dibawa bersama. Biar pun hartanya melimpah ruah sekali pun, ia tetap akan ditinggalkan. Semua itu akan menjadi harta pusaka kepada waris-waris yang berhak terhadap harta tersebut. Harta pusaka ialah harta peninggalan si mati yang mempunyai nilai, sama ada harta tak alih seperti rumah dan tanah, atau harta alih iaitu wang ringgit, saham, barang kemas, polisi insurans, dividen yang terbit daripada hartanya dan sebagainya yang ditinggalkan setelah kematiannya.

Islam mengajar kita cara menguruskan harta pusaka dengan baik dan betul. Namun sesetengah umat Islam masih sukar memahami dan melaksanakannya. Ilmu pengurusan harta pusaka disebut sebagai ilmu faraid yang mesti difahami serta mengetahui cara-cara dan prosedur permohonan pembahagian harta pusaka mengikut syarak dan perundangan yang ada di Malaysia. Kelewatan dalam mengurus pembahagian harta pusaka menyebabkan waris-waris tidak mengetahui kedudukan hak harta pusaka mereka sebagai ahli waris yang betul kepada si mati.

Adalah menjadi tanggungjawab waris untuk memastikan harta peninggalan si mati dapat difaraidkan dan diagihkan pembahagian mereka mengikut hukum syarak, setelah terlebih dahulu menyelesaikan segala hutang-piutang dan wasiat si mati yang wajib disegerakan. Kita wajib menjaga harta pusaka kerana ia termasuk dalam maqasid syar’iyyah iaitu menjaga harta setiap individu supaya terpelihara.

Kelewatan menyelesaikan pengagihan harta pusaka selepas berlakunya kematian akan mengakibatkan harta menjadi beku dan terbiar serta kesukaran dalam pembahagian harta kepada waris-waris yang berhak mengikut faraid yang boleh menyebabkan harta tersebut dibahagikan secara batil.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim dan Al-Baihaqi yang bermaksud :

"Pelajarilah ilmu faraid, kerana ia termasuk bahagian dari agamamu dan setengah dari ilmu. Ilmu ini adalah yang pertama kali akan dicabut dari umatku"

Oleh itu, marilah kita membahagikan harta si mati mengikut ilmu faraid bukan dengan kaedah yang lain yang bercanggah dengan syarak supaya hidup kita diberkati dan diredai Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188 :

وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٨

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)"

google-playkhamsatmostaqltradent