recent
Terkini | تركيني

Keistimewaan Bulan Syaaban

Laman utama

Syaaban merupakan bulan kelapan dalam tahun hijriah, ia berada antara bulan Rejab dan Ramadan. Sesungguhnya Syaaban merupakan bulan yang mempunyai keistimewaan yang banyak. Baginda Rasulullah SAW tidak melepaskan peluang keistimewaannya untuk mencari keredaan dan rahmat Allah SWT pada bulan ini. Baginda memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Syaaban. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Saidatuna Aisyah RA berkata yang bermaksud :

"…Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban"

Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata : Ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa dalam bulan Sya’ban? Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 

"Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa"

Sempena bulan Syaaban pada tahun ini, marilah kita berazam untuk memperbanyakkan amalan seperti puasa sunat, berzikir, membaca al-Quran dan solat-solat sunat khususnya membiasakan diri untuk hadir solat berjemaah di masjid. Oleh itu, ajaklah keluarga dan rakan taulan untuk bersama beribadah pada bulan Syaaban yang mulia ini, moga-moga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang lalai daripada mengingati Allah SWT. Sesungguhnya perbuatan mengajak dan menyeru untuk bersama-sama melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT adalah amalan yang terpuji. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 114 :

 لَّا خَيْرَ فِى كَثِيرٍۢ مِّن نَّجْوَىٰهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَـٰحٍۭ بَيْنَ ٱلنَّاسِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًۭا 

"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah SWT, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar"

Pada bulan Syaaban khususnya pada malam Nisfu Syaaban, kita digalakkan supaya memperbanyakkan Istighfar kerana keampunan Allah SWT terbentang seluas-luasnya. Marilah kita mengambil peluang ini memohon keampuan daripada Allah SWT serta memaafkan kesalahan sesama kita. Firman Allah SWT dalam surah Nuh ayat 10 :

فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا 

"Maka aku (Nabi Nuh) berkata (kepada mereka), 'Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun'"

Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Allah melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan"

Selain itu juga, kita digalakkan memperbanyak berdoa semasa malam nifsu Syaaban kerana malam tersebut adalah malam yang dimustajabkan doa oleh Allah SWT. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Syafie dalam kitab al-Umm yang bermaksud: "Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam Jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam Nisfu Syaaban".

Amalan beramal ibadat dengan membaca al-Quran iaitu surah Yasin, beristighfar, berzikir, berdoa dan lain-lain ibadah adalah termasuk menghidupkan malam Nifsu Syaaban, ini adalah amalan para Tabi’in sebagaimana yang diriwayatkan Ibnu Rajab yang mengatakan: "Berkaitan malam Nisfu Syaaban, pada zaman dahulu para Tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para Tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguhsungguh beribadah pada malam itu".

Sesungguhnya amalan pada malam Nifsu Syaaban walaupun tidak dinyatakan secara khusus oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat kita pada hari ini dengan membaca Yasin dan berdoa namun ia tidak bertentangan dengan dalil umum Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan amal ketaatan dengan ibadah puasa, berzikir, membaca al-Quran, qiamulail, beristighfar dan berdoa.

Firman Allah SWT dalam Surah Fussilat ayat 33 :

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًۭا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ 

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, 'Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?'"

google-playkhamsatmostaqltradent