Anak-anak merupakan antara anugerah terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Disebalik anugerah ini juga terkandung amanah yang sangat berat yang perlu ditunaikan amanah tersebut oleh setiap ibu dan ayah. Anak-anak juga merupakan satu ujian terhadap ibu dan ayah.
Ada di kalangan kita yang diuji dengan dikurniakan anak-anak. Ada juga yang diuji dengan tidak dikurniakan anak. Allah SWT berfirman;
لِّلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ يَهَبُ لِمَن يَشَآءُ إِنَـٰثًۭا وَيَهَبُ لِمَن يَشَآءُ ٱلذُّكُورَ ٤٩ أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًۭا وَإِنَـٰثًۭا ۖ وَيَجْعَلُ مَن يَشَآءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۭ قَدِيرٌۭ ٥٠
Maksudnya : "Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa"
Syeikh Tantawi RH dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan; "Dalam hal ini Allah SWT ingin memberitahu bahawa kekuasaannya dalam menentukan sama ada diberikan anak lelaki atau perempuan atau pun kedua-duanya sekali dan Allah SWT juga berhak tidak memberikannya".
Imam Ibnu Kathir menyatakan di dalam tafsirnya : "Didatangkan kepada manusia dalam empat keadaan, ada di antaranya mendapat anak perempuan, dan ada yang mendapat anak lelaki, dan ada daripadanya mendapat kedua-duanya, dan ada daripadanya tidak mendapat anak. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT berhak menentukannya agar manusia beriman dan bergantung harap kepadanya"
Buat mereka yang dikurniakan anak-anak, maka ingatlah bahawa disebalik ianya adalah harta yang tidak ternilai harganya, ianya juga adalah sebab bagi berbagai ujian buat kita sebagai ibu bapa. Dalam satu hadis Baginda Nabi SAW yang bermaksud;
"Daripada Muhammad bin al-Aswad bin Khalaf, daripada ayahnya RA, bahawa Nabi SAW telah mengambil dan mendukung Husain kemudian menciumnya. Lantas Baginda mengadap para sahabat seraya bersabda: “Sesungguhnya anak boleh menjadikan seseorang itu bakhil, penakut, jahil dan kesedihan"
(Riwayat al-Hakim)
Az-Zamakhsyari RH menjelaskan bahawa hadis ini bermaksud, seorang anak akan menjadikan bapanya seorang yang bakhil kerana hendak menyimpan dan mengekalkan hartanya untuk anak-anak. Maka dia menjadi bakhil untuk berbuat kebajikan.
Begitu juga anak-anak menjadi sebab ibu bapa menjadi jahil dan kurang ilmu pengetahuan agama kerana sudah tentu dengan adanya anak, maka ibu bapa akan sibuk daripada menuntut ilmu disebabkan menguruskan urusan anak-anak. Urusan membesarkan mereka, urusan pelajaran mereka, sakit demam mereka dan sebagainya.
Seterusnya disebut bahawa anak-anak juga menjadi sebab ibu bapa menjadi takut untuk berjuang pada jalan Allah kerana bimbang dibunuh dan mati. Bimbang anak-anaknya akan terabai selepas kematiannya.
Anak-anak juga menjadi sebab ibu bapa berdukacita dan bersedih hati, kerana ibu bapa sentiasa memikirkan soal makan minum, sakit demam dan segala urusan mereka. Apatah lagi apabila anak-anak diuji dengan masalah kesihatan. Ibu bapalah orang yang paling risau serta bimbang.
Masa berlalu dengan begitu pantas. Kadang-kadang tanpa kita sedari, anak-anak yang masih terasa baru kita lahirkan, sudah pun memasuki alam persekolahan. Kemudiannya memasuki pula alam pekerjaan dan perkahwinan.
Persoalannya, selama kita membesarkan mereka, adakah telah kita tunaikan segala tanggungjawab kita terhadap mereka?. Apakah telah kita berikan segala hak mereka yang wajib kita berikan kepada mereka?.
Sebahagian ulama menggariskan 10 tanggungjawab utama seorang ibu bapa terhadap anak-anak;
- Memilih ibu yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anak kita
- Memilih nama yang baik setelah anak dilahirkan
- Mendidik anak-anak dengan didikan agama yang sempurna
- Memberi keutamaan dalam soal pendidikan anak-anak agama dan lain-lainnya
- Membantu dan menolong mereka pada perkara kebaikan dan perkara yang memberi manfaat buat mereka
- Berlaku adil terhadap anak-anak, lebih-lebih lagi dalam pemberian sesuatu dan juga dalam soal-soal yang lain
- Memilih pasangan yang baik untuk mereka
- Menghahwinkan mereka apabila sudah tiba masanya
- Membantu mereka jika anak-anak dalam kesusahan dan kemiskinan
- Selalu mendokan kebaikan buat mereka, dan jangan sekali-sekali mendoakan keburukan untuk mereka
Anak-anak kita sekarang sedang berada di dalam musim cuti sekolah yang panjang. Amat penting bagi kita sebagai ibu bapa untuk memanfaatkan masa cuti ini, dan menyusun serta mengatur jadual pelajaran seharian mereka. Gunakan peluang yang ada ini untuk anak-anak mendalami ilmu bacaan Al-Quran dan juga ilmu-ilmu asas Fardhu Ain yang lain yang mana semua ini amat penting sebagai bekalan hidup kita sebagai seorang Muslim.
Sedarlah, kita amat kesuntukan masa untuk mendidik anak-anak kita lebih-lebih lagi dengan ilmu agama. Jika kita gagal untuk memberikan ilmu agama yang secukupnya buat anak-anak kita, maka kita sebenarnya telah mengatur perancangan untuk merosakkan masa depan agama mereka. Kegagalan ini bukan sahaja penyesalan di dunia bahkan akan membawa hingga ke akhirat sana.
وَلْيَخْشَ ٱلَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا۟ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةًۭ ضِعَـٰفًا خَافُوا۟ عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْيَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًا ٩
Maksudnya. : "Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran)".