recent
Terkini | تركيني

Rasulullah SAW Ikutan Sepanjang Zaman

Laman utama

Setiap tahun kita menyambut sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati kelahiran Insan Agung Nabi Muhammad SAW yang merupakan nikmat terindah buat umat akhir zaman, disamping Baginda diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Anbiya ayat 107 :

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ ١٠٧

"Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat semesta alam"

Imam al-Baidhawi dalam kitab tafsirnya menyebutkan kenapa disebutnya pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai 'rahmat' dan kasih sayang bagi seluruh alam ialah kerana diutusnya Nabi Muhammad SAW di muka bumi ini adalah menjadi sumber kebahagiaan dan kebaikan bagi kehidupan setiap makhluk di dunia mahupun di akhirat kelak.

Kasih sayang yang ditebarkan Nabi Muhammad SAW bukanlah hanya ucapan semata-mata, tetapi Baginda mempraktikkan dalam kehidupan seharian dan implementasikan dengan nyata. Kasih sayang ini bentuknya universal kepada seluruh makhluk ciptaan Allah SWT di atas muka bumi ini.

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan. Sebagai manusia biasa, Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami, bapa, mentua dan datuk. Baginda menunjukkan contoh ikutan terbaik dalam memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 21 :

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ٢١

"Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah SWT (dalam masa susah dan senang)"

Sebagai suami, Baginda Nabi SAW begitu menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang, bertimbang rasa, hormat serta sabar dan tidak pernah sekalipun mengasari mereka bahkan menghadapi kerenah isteri dengan penuh kesabaran dan kemaafan. Baginda SAW juga tidak keberatan membantu isterinya melakukan kerja rumah.

Kesantunan Rasulullah SAW terhadap isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda Aisyah Radhiallahu anha yang meriwayatkan :

"Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya"

(Hadis Riwayat Bukhari)

Selain itu, Baginda juga merupakan seorang bapa yang sangat penyayang. Setiap kali apabila Baginda melihat puterinya iaitu Saidatina Fatimah (r.ha) masuk ke rumahnya, Baginda terus menyambut dan berdiri, kemudian mencium kepala dan tangannya. Aisyah (r.ha) pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah sebab Baginda amat sayang kepada Fatimah (r.ha). Baginda menegaskan, 

"Wahai Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui mengenai Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku"

Sebagai seorang datuk pula, bolehlah kita melihat bagaimana kasih sayang datuk terhadap cucunya apabila Baginda SAW melayani kedua-dua cucu kesayangan iaitu Sayyidina Hassan dan Sayyidina Hussin, anak Fatimah (r.ha) dan suaminya Sayyidina Ali (r.a). Rasulullah SAW bukan saja sentiasa membelai dan mencium kedua cucunya itu, malah apabila cucu Baginda menghampiri Baginda, Baginda terus mendukungnya. Baginda juga apabila keluar rumah, selalu membawa cucunya bersama. Baginda selalu meriba mereka. Pernah diceritakan suatu ketika Baginda sedang sujud dalam solat, cucu Baginda duduk di atas belakang Baginda sehinggakan Baginda sujud agak lama.

Selain itu, Baginda juga adalah seorang panglima perang yang terhebat. Lebih dari 25 peperangan pernah terjadi sepanjang sejarah Islam. Namun, dari jumlah itu, hanya sembilan peperangan yang berakhir dengan pertempuran. Selebihnya diakhiri dengan pihak musuh menyerah kalah atau tercapainya perdamaian. Pertempuran-pertempuran tersebut di antaranya adalah Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq (Parit), Perang Khaibar, Fathu Makkah, Perang Hunain, dan Perang Tabuk.

Sebagai panglima perang, Baginda mampu menimbulkan perasaan takut dalam diri para musuhnya, tahu cara terbaik memperoleh informasi tentang kekuatan musuh, serta memotivasi pasukannya untuk tidak gentar melawan para musuh Allah.

Baginda akan bermusyawarah terlebih dahulu dengan para sahabat sebelum memulakan peperangan sebagai persediaan menghadapi musuh dan memilih posisi yang sesuai untuk menyerang dan bertahan.

Demikianlah beberapa contoh yang ditunjukkan oleh baginda kepada kita bahawa Nabi Muhammad SAW adalah suri tauladan yang terbaik untuk kita ikuti sepanjang kehidupan di atas muka bumi ini.

Marilah kita sama-sama bertanyakan kepada diri kita sendiri, setakat ini adakah cukup dan memadai apa yang kita telah lakukan untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Kita mungkin tidak mampu untuk menjadi seperti Zaid bin Harithah yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi mempertahankan Nabi SAW daripada dicederakan oleh penduduk Taif. Atau seperti Talhah bin Ubaidillah dan Abu Dujanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi Nabi SAW daripada terkena anak panah musuh dalam peperangan Uhud.

Kita seharusnya menterjemahkan kecintaan kepada Baginda dengan cara mempelajari, menghayati dan mengamalkan sebaik mungkin sunnah Baginda SAW yang telah ditinggalkan kepada kita.

Sebagai kesimpulannya, marilah kita bersama-sama menghayati intipati berikut :

  1. Menyambut Maulidur Rasul secara tidak langsung menterjemahkan kecintaan kita kepada Baginda selaku utusan Allah SAW di atas muka bumi dan amalan sebegini adalah dibolehkan menurut syarak.
  2. Berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah merupakan bekalan yang akan menyelamatkan manusia daripada setiap keburukan di dunia dan akhirat.
  3. Selaku umat yang beriman kepada Allah dan Rasul, jangan sesekali menyakiti Rasulullah dengan melakukan perkara-perkara maksiat yang tidak disukai dan dibenci oleh Baginda.
  4. Kita seharusnya mengambil apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW dan diadaptasikan dalam kehidupan seharian kita.

google-playkhamsatmostaqltradent