Telah menjadi fitrah manusia, suka berkawan dan hidup bermasyarakat. Sahabat sejati dalam Islam adalah teman yang selalu menemani kita dalam suka dan duka, serta mendorong kita ke arah kebaikan dan ketaqwaan, menjaga aib dan rahsia, serta memberikan nasihat yang baik dan bermanfaat. Sahabat sejati juga adalah mereka yang berakhlak mulia dan sentiasa mengingatkan kepada kebaikan.
Islam menjelaskan berbagai acuan persahabatan sesama manusia. Malah, Islam menggunakan istilah 'persaudaraan' iaitu jauh lebih rapat berbanding 'persahabatan.' Hal ini kerana persaudaraan sesama muslim didasari oleh asas akidah Islamiah yang menjadikan hubungan tersebut sentiasa dalam keadaan harmoni dan diberkati. Umat Islam perlu saling mengasihi antara satu sama lain. Ini kerana umat Islam perlu bersatu dan berpadu bagi menyerlahkan keindahan Islam.
Rasulullah SAW bersabda :
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
"Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang dan perasaan belas kasihan dan rasa simpati mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh badan turut merasai keletihan dan tidak sihat."
(Hadis riwayat al-Bukhari, No Hadis 6011 & Muslim, No hadis 2586)
Begitulah konsep persahabatan dan persaudaraan yang diajarkan dalam Islam. Kita perlu saling memperkuatkan antara satu sama lain. Bukannya mencari keaiban dan meruntuhkan sesama sendiri.
Peranan seorang sahabat amat penting iaitu perlu membawa sahabatnya ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa membawa sahabatnya kepada mengingati Allah SWT pada setiap masa. Selain itu, seseorang insan dinilai keperibadiannya berdasarkan siapa yang menjadi sahabatnya. Jika kita mampu menjadi sahabat yang baik, maka kita membawa kebaikan buat sahabat di sekeliling kita.
Rasulullah SAW bersabda :
الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
"Seseorang itu bergantung kepada agama sahabatnya. Kerana itu, perhatikanlah setiap seorang di antara kalian dengan siapa dia bersahabat."
(Hadis riwayat Abu Dawud, No hadis 4833)
Hadis ini memberi petunjuk yang jelas bahawa jalinan persahabatan mampu memberi pengaruh yang besar dalam penilaian keperibadian seseorang. Saranan hadis ini tidak bermakna kita hanya boleh bersahabat dengan orang yang baik sahaja dan menjauhi orang yang kurang baik. Ini bersalahan dengan konsep dakwah dalam Islam. Kita juga boleh bersahabat dengan semua golongan. Namun, jika kita mempunyai sahabat yang kurang baik akhlaknya, maka kitalah yang bertanggungjawab untuk membawanya ke arah kebaikan. Sekiranya kita tidak mampu mengubahnya, jadi pastikan diri sendiri tidak terjebak dalam kemungkaran yang dilakukan oleh sahabat tadi.
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali mengatakan di dalam kitabnya Bidayatul Hidayah tentang lima ciri sahabat sejati menurut Islam ;
Pertama : Dapat membezakan yang hak dan yang batil serta yang baik dan yang buruk.
Kedua : Berakhlak mulia. Akhlak ini tidak hanya dilihat dalam situasi normal, tetapi juga ketika marah. Apakah ia mampu mengawal emosi ataupun sebaliknya.
Ketiga : Tidak fasik iaitu menjauhi dari melakukan dosa besar. Carilah sahabat yang berperilaku soleh, iaitu mereka yang selalu menjauhkan diri dari melakukan dosa besar. Dalam Al-Quran menerusi surah Al-Kahfi ayat 28, Allah SWT berfirman:
وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا
"Janganlah engkau ikuti orang yang Kami lalaikan hatinya untuk mengingati Kami dan orang yang mengikuti hawa nafsu dan adalah keadaannya itu melewati batas."
Keempat : Tidak cintakan dunia secara melampau. Persahabatan dengan orang yang gila dunia (serakah) adalah racun mematikan kerana watak tabiat itu meniru dan meneladani. Pergaulan dengan orang serakah dapat menambah keserakahan seseorang. Sementara persahabatan dengan orang zuhud dapat menambah kezuhudan seseorang itu.
Kelima : Jujur merupakan sifat penting yang perlu dimiliki seorang sahabat. Islam memerintahkan umatnya agar berhati-hati dan jangan sampai memilih sahabat pendusta.
Ingatlah jalinan persahabatan perlulah didasari dengan tujuan yang betul. Sekiranya sesuatu ikatan persahabatan itu terjalin atas sebab duniawi atau bagi tujuan kemungkaran, maka ikatan tersebut tidak akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT, malah akan mencetuskan perbalahan di kemudian hari.
Sesungguhnya melalui persahabatan juga boleh membina jalan takwa. Marilah kita meneladani konsep persahabatan Rasulullah SAW bersama para sahabat yang didirikan atas dasar takwa sehinggakan Allah SWT memuji mereka dengan gelaran "Khaira Ummah" iaitu umat yang terbaik yang menjadi tauladan buat generasi manusia yang lain. Lebih beruntung lagi apabila hubungan persahabatan di dunia ini bakal menguntungkan kehidupan akhirat. Seseorang manusia yang menerima rahmat Allah SWT akan diberi peluang menyelamatkan sahabatnya yang berada dalam neraka.
Marilah kita menghayati sebuah hadis Rasulullah SAW tentang kebaikan memiliki sahabat: Mafhumnya
"Setelah orang mukmin itu dibebaskan dari neraka, demi Allah, Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kalian begitu gigih dalam memohon kepada Allah untuk memperjuangkan nasib saudaranya yang berada di dalam neraka pada hari kiamat. Mereka memohon: 'Wahai Tuhan kami, mereka itu (yang masih tinggal di neraka) pernah berpuasa bersama kami, solat dan juga haji."
Maka dijawab oleh Allah: 'Keluarkan (dari neraka) orang yang kalian kenal." Sehingga wajah mereka diharamkan untuk dibakar oleh api neraka. Mukminin ini pun mengeluarkan ramai saudaranya yang telah dibakar di neraka, ada yang dibakar sampai betisnya dan ada yang sampai lututnya. Kemudian orang mukmin itu menyatakan kepada Allah: “Wahai Tuhan kami, orang yang Engkau perintahkan untuk dibebaskan dari neraka, sudah tidak ada yang berbaki."
Maka Allah berfirman: 'Kembali lagi (ke neraka), keluarkanlah yang masih memiliki iman seberat dinar.' Maka dikeluarkanlah orang mukmin dalam jumlah ramai sekali yang diseksa di neraka. Kemudian mereka menyatakan kepada Allah: 'Wahai Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun orang yang Engkau perintahkan agar dibebaskan.'"
(Hadis Riwayat Muslim)
Begitulah penting dan manfaatnya jika bersahabat atas dasar Iman dan Islam serta kecintaan kepada Allah SWT sehingga dapat memberi pertolongan kepada orang lain ketika di akhirat nanti.