recent
Terkini | تركيني

Maksiat Bertopengkan Kasih Sayang

Laman utama

Kasih sayang adalah anugerah Allah. Ia tiada batasan dan ia juga tidak bermusim. Kasih sayang yang sejati adalah kasih seorang hamba kepada Tuhannya. Berkasih sayang kerana Allah adalah sifat orang mukmin yang sejati. Malahan Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda melalui hadisnya :

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi"

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kasih sayang dalam Islam tidak mempunyai bulan-bulan atau hari-hari tertentu sahaja. Setiap hari adalah hari kasih sayang buat sesama suami isteri, anak kepada ibu bapanya, ibu bapa kepada anaknya, saudara mara, jiran tetangga dan seluruh manusia amnya.

Pada tanggal 14 Februari setiap tahun, beberapa negara terutama negara-negara Barat merayakan hari yang mereka namakan dengan "Hari Kekasih" atau lebih dikenali dengan istilah "Valentine’s Day". Hari yang dianggap istimewa buat mereka. Para remaja, muda mudi akan menghabiskan masa sepanjang malam dengan kekasihnya sambil makan malam bersama, bertukar hadiah, memberi jambangan bunga yang disertakan kad ucapan dan ada yang mengakhiri malamnya dengan perzinaan.

Menurut sejarah, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masehi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan Hari Valentine.

Namun begitu, terdapat pendapat lain mengenai asal usul Hari Valentine`s Day ini :

Pendapat Pertama : Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi 'Juno' (ratu) kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya 'Pesta Lupercalia' iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat Kedua : Pendapat kedua menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, Saint. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, Saint. Valentine dan Saint. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, Saint. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian Saint. Valentine sebagai upacara keagamaan.

Pendapat Ketiga : Pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila Saint. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Kristian Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana Saint. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan Saint. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk Saint. Valentine sendiri.

Berdasarkan kenyataan di atas dapatlah dinyatakan bahawa istilah "Hari Kekasih" atau "Valentine’s Day" tidak ada di dalam Syariat Islam. Hakikatnya perayaan ini dipenuhi dengan unsur-unsur ritual agama Kristian. Apabila perayaan itu berunsurkan keagamaan, maka meraikan perayaan ini bermakna mengakui agama mereka dan meredhai kekufuran yang ada pada mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian dari mereka"

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 64 yang memerintahkan agar seorang Muslim memegang teguh jati dirinya sebagai Muslim, berperilaku sesuai dengan keyakinan Islam dan menolak untuk mengikuti keyakinan orang-orang kafir.

قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ تَعَالَوْا۟ إِلَىٰ كَلِمَةٍۢ سَوَآءٍۭ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِۦ شَيْـًۭٔا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًۭا مِّن دُونِ ٱللَّهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقُولُوا۟ ٱشْهَدُوا۟ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ ٦٤

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam"

Manakala Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 November 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan sambutan ini adalah diharamkan.

Kesimpulannya :

  1. Sambutan "Valentine’s Day" atau "Hari Kekasih" tiada dalam Syariat Islam.
  2. Dalam menyambut perayaan "Hari Valentine" sering terdapat ungkapan kasih sayang berlebihan hingga menjerumuskan kaum muda kepada pergaulan bebas dan perzinaan.
  3. Apabila kita merayakan "Hari Kekasih" atau "Valentine’s Day" ini bererti kita mengakui akan kemaksiatan yang berlaku dan kita mendorong supaya kemaksiatan ini menjadi lumrah atau kebiasaan dalam agama Islam.

google-playkhamsatmostaqltradent