Bulan Ramadan adalah suatu bulan di mana turunnya Al-Quran kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Jesteru itu, sayugianya bagi kita menghargai Al Quran dalam seluruh kehidupan seharian kita supaya kita sentiasa berinteraksi dengan Al-Quran adalah dicadangkangkan beberapa perkara berikut :
PERTAMA: MENCINTAI AL-QURAN AL-KARIM
Antara tanda-tanda seorang itu cinta pada Allah ialah mereka mencintai Al-Quran. Lihatlah cucunda Rasul SAW yang bernama Al-Hasan bin Ali yang berpesan : maksudnya,
"Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu menggangap Al-Quran sebagai satu Rasail (yakni perutusan dari tuhan mereka, mereka mentadabburnya (yakni menghayati dan mendalaminya) pada waktu malam dan mengamalkannya pada waktu siang"
Sikap cinta terhadap Al-Quran telah melahirkan generasi yang mengutamakan al-Quran dari segala-galanya. Pernah berlaku di zaman Rasul SAW seorang sahabat nabi yang dipanah ketika menunaikan solat, meneruskan bacaan satu surah al-Quran yang panjang iaitu surah al-Kahfi. Setelah selesai solat, beliau ditanya mengapa beliau melakukan demikian, sahabat tersebut menjawab : "Aku sedang membaca satu surah dan aku tidak suka menghentikannya". Beginilah sikap para sahabat terhadap Al-Quran Al-Karim.
KEDUA : MEMBACA AL-QURAN DENGAN BAIK
Allah SWT memerintahkan kita membaca al-Quran dengan betul dan mengikut hukum tajwid. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Muzammil ayat 4 :
وَرَتِّلِ ٱلْقُرْءَانَ تَرْتِيلًا
"Dan Bacalah Al-Quran dengan tartil yakni perlahan-lahan"
Rasul SAW dalam banyak hadith menggalakkan kita membaca Al-Quran dan memperbanyakkanya dan menjelaskan bahawa Allah SWT memberikan ganjaran membaca setiap huruf dengan sepuluh ganjaran serta mendapat kedudukan yang tinggi di dalam syurga.
Orang yang membaca Al-Quran akan mendapat syafaat Allah SWT di akhirat kelak. Dari Abi Umamah Al-Bahili R.A berkata : Aku dengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Bacalah Al-Quran, maka sesungguhnya ia datang pada pada hari kiamat nanti sebagai syafaat (penolong) kepada tuan yang membacanya....."
Hadith Riwayat Imam Muslim
KETIGA: MEMAHAMI AL-QURAN
Allah SWT menurunkan al-Quran bukan untuk dibaca semata-mata tetapi lebih jauh dari itu, Allah SWT menurunkan al-Quran untuk dihayati dan difahami. Firman Allah Taala di dalam Surah al-Zumar 23 :
ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ ٱلْحَدِيثِ كِتَـٰبًۭا مُّتَشَـٰبِهًۭا مَّثَانِىَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى ٱللَّهِ يَهْدِى بِهِۦ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِنْ هَادٍ ٢٣
"Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (mutu-mutu ayatnya) lagi berulang-ulang hukum-hukum, pelajaran dan kisah-kisah, gementar kerana Al-Quran kulit-kulit orang yang takut kepada tuhan-Nya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka diwaktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu dia memberi hidayah kepada siapa yang dikehendakinya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorangpun pemberi petunjuk baginya"
Justeru itu Al-Quran perlu dijadikan kitab petunjuk dalam seluruh kehidupan kita. Kita wajib memahami dan meyakini segala isi kandungan Al-Quran tanpa syak dan ragu-ragu lagi. Kita tidak boleh ragu-ragu dengan hukum-hukum yang ada di dalam Al-Quran, seandainya kita ragu dengan satu ayat yang ada di dalam Al-Quran dan hukum-hukumnya maka ianya boleh menjejaskan keimanan kita kepada Allah SWT atau dengan kata lain boleh membatalkan iman kita. Kalau Al-Quran menyebut sesuatu itu haram kita wajib percaya dan yakin bahawa itu adalah haram, begitu juga kalau Al-Quran mengatakan bahawa itu adalah halal, maka kita yakin dan percaya bahawa ianya halal.
KEEMPAT : BERAMAL DENGAN KANDUNGAN AL-QURAN
Antara tujuan utama Al-Quran diturunkan adalah untuk diamalkan sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat mahupun negara. Janganlah Al-Quran itu hanya dibaca pada hari kematian atau sebagai pembukaan kepada sesuatu majlis semata-mata bahkan hendaklah sentiasa menjadi kelaziman seharian kita. Sepatutnya Al-Quran menjadi amalan dalam kehidupan umat Islam. Al-Quran adalah kitab penyelesaian kepada masalah manusia.
Janganlah kita menjadi seperti golongan yang mencabar Al-Quran secara teori dan amali. Cuba kita lihat kejahilan dan kerendahan nilai manusiawi hari ini, sehingga anak tidak melayan ibu bapa, suami tidak menghiraukan rumah tangga, berlaku krisis jiwa dan moral yang terlalu parah, kes-kes bunuh diri, maksiat-maksiat yang merebak, menyebarkan penyakit-penyakit berbahaya yang tidak mampu diubati oleh perubatan moden, jenayah yang merebak, maksiat tidak dianggap maksiat di atas nama kebebasan, jenayah berlaku di barat mengikut perkiraan saat, bukan lagi perhitungan hari,bulan dan tahun. Setiap saat berlaku jenayah rompakan, pembunuhan dan perjudian, hiburan dibawa ke mana-mana, berlaku keruntuhan nilai yang parah, walaupun negara barat itu terdapat negara yang kaya, namun kekayaan itu memusnahkan mereka sendiri, kekayaan yang membakar diri sendiri.
Justeru itu tidak ada jalan penyelesaian melainkan dengan kembali dan beramal dengan Al-Quran. Marilah kita mengambil peringatan dari pesanan Nabi SAW yang bermaksud :
"Akan zahir di kalangan umatku di akhir zaman nanti, mereka membaca Al-Quran tetapi al-Quran hanya sampai ke halkumnya sahaja tetapi tidak sampai ke hati"
Sebagai kesimpulannya marilah kita buktikan keimanan kita kepada Al-Quran Al-Karim dengan menghargai Al-Quran yang menjadi mukjizat agung nabi Muhammad SAW yang pastinya membahagiakan hidup sepanjang zaman, Berusahalah melaksanakan segala tuntutan Al-Quran dan meninggalkan segala larangan di dalamnya. Marilah kita melaksanakan amanah Al-Quran yang akan menyelamatkan kita di alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat Insya Allah.
Aamin ya rabbal aalamiin.