Di bulan yang barakah ini, Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu syurga, menutup pintu neraka serta syaitan dibelenggu. Bulan istimewa yang menganugerahkan maqam taqwa bagi para hambaNya yang melaksanakan puasa dengan penuh keimanan, dengan digandakan pahala amalan dan dimudahkan keampunan.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa"
Apakah yang dimaksudkan dengan takwa? Dinukilkan di dalam Tafsir Ibnu Kathir ketika menjelaskan ayat kedua surah al-Baqarah bahawa amirul mukminin Umar al-Khattab RA bertanya kepada Ubai bin Kaab RA tentang makna takwa. Lalu Ubai bertanya kembali, "Pernahkah engkau melalui suatu lorong yang banyak duri?". "Pernah", jawab Umar.
"Apakah yang engkau lakukan?" tanya Ubai. "Aku akan berhati-hati dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaluinya", jawab Umar lagi. Maka Ubai pun berkata, "Seperti itulah takwa".
Jika kita bayangkan lorong itu sebagai suruhan Allah SWT yang perlu kita lalui dan duri itu pula sebagai kemaksiatan dan dosa yang dilarang Allah SWT, maka kita pasti akan bersungguh-sungguh melalui jalan tersebut seraya berhati-hati melaluinya. Kerana apa? Kerana duri-duri ini akan melukakan kita, mencederakan kita dan menghalangi kita daripada sampai ke destinasi dengan selamat. Namun laluan tersebut tetap kita lalui dengan bekalan kesungguhan dan kewaspadaan.
Lalu, bagaimana supaya kita dapat bergelar orang yang bertakwa pada bulan Ramadan di sisi Allah SWT? Hal tersebut boleh kita mencapainya insya-Allah dari tiga sudut iaitu :
Pertama : Dari sudut hubungan dengan Allah SWT adalah merangkumi akidah dan amal ibadah, kita beriman dan menjauhi segala bentuk khurafat dan kesyirikan. Penuhilah hak-hak Allah SWT dalam ibadah seharian dengan khusyuk dan ikhlas, serta janganlah melakukan perkara yang diharamkan dengan meninggalkannya. Tunaikan kefarduan solat, berpuasalah jika tiada uzur, dan tunaikanlah zakat di bulan ini. Bertaubatlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat atas kesilapan dan dosa-dosa yang telah dilakukan. Selepas menunaikan yang fardu, perbanyakkanlah amalan sunat seperti solat tarawih, berqiyamullail, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain. Mudah-mudahan kita beroleh keampunan di dunia dan akhirat. Rasullullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu"
(Riwayat al- Bukhari)
Kedua : Dari sudut hubungan sesama manusia yang merangkumi muamalah dan perundangan, maka kita tunaikan hak-hak dan kefarduan sesama kita yang diwajibkan Allah SWT. Penuhilah hak nafkah, menjaga harta anak yatim, hak-hak orang yang dalam kelaparan, hak ibu bapa dan kaum kerabat terdekat. Carilah pekerjaan yang halal, tunaikanlah akad-akad muamalat kita dengan mematuhi syaratnya, seperti akad jual beli yang betul dalam berniaga, akad pekerjaan dengan syarat masa dan kerjanya serta bermacam urusan yang lain.
Jika kita berniaga, adalah fardu ain bagi kita untuk mengetahui hukum-hakam berniaga, begitu juga sebagai pekerja yang diupah, majikan, petani, baik penjawat awam mahupun swasta, semuanya wajib untuk mengetahui hukum-hakam berkaitan pekerjaannya itu. Dengan kata lain, tuntutlah ilmu berkenaan apa-apa yang kita kerjakan. Jika kita termasuk golongan penguasa, maka kita uruskan umat serta menguatkuasakan Islam dalam kehidupan masyarakat dan bernegara, baik aspek akidah dan ibadahnya, aspek politik, pemerintahan, ekonomi, pergaulan, pendidikan, bahkan aspek hubungan antara negara dan aspek kehakimannya. Berdakwahlah sesama manusia dan lakukanlah amar makruf dan nahi mungkar.
Hindarilah perkara yang haram yang dilafaz melalui ucapan-ucapan lidah yang boleh menyakiti sesama saudara, termasuklah tingkah laku dan perbuatan kita. Hindarilah amalan riba, judi, zina, mencuri, merompak dan merampas harta orang lain. Jauhi amalan-amalan muamalat yang dilarang melalui media elektronik seperti peraduan-peraduan yang mempunyai akad yang meragukan, bahkan yang terdapat dalam perniagaan dan pelaburan yang tidak patuh syariah.
Ketiga : Dari sudut peribadi dan akhlak kita yang berhubung dengan diri kita sendiri. Kita perlu memastikan makanan yang kita makan makanan yang halal, kita berpakaian sesuai tuntutan syariat dan kita tonjolkan akhlak yang baik. Jangan kita makan dan minum sesuatu yang haram, mendedahkan aurat, bersikap sombong, riak, dan lain-lain sifat mazmumah yang tercela.
Kesemua amalan ini adalah untuk menjadi orang yang bertakwa dalam ketiga-tiga kategori ini. Imam Hasan Al-Basri pernah mengungkapkan kata-kata iaitu : "Orang yang bertakwa adalah orang yang takut dan meninggalkan apa yang diharamkan Allah. Juga memenuhi apa yang diwajibkan Allah".
Semoga kita dapat menjadi orang yang bertakwa seiring dengan seruan kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan. Maka kita juga dituntut untuk menjadi hamba Allah SWT yang terbaik dalam bulan yang penuh kebaikan ini.