recent
Terkini | تركيني

Malu

Laman utama

Islam merupakan agama yang sempurna merangkumi aspek hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Kesempurnaan ini terpancar dalam peribadi junjungan yang mulia Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sejak lebih dari 1400 tahun yang lalu. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menekankan dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah daripada Anas Bin Malik yang bermaksud :

"Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu"

Hadis ini menerangkan bahawa setiap agama mempunyai teras dan teras akhlak Islam ialah malu. Marilah kita menghayati firman Allah Ta'ala dalam surah al-A'raf ayat 26 menerangkan sifat malu yang perlu ada kepada umat manusia.

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًۭا يُوَٰرِى سَوْءَٰتِكُمْ وَرِيشًۭا ۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ٢٦

"Wahai anak Adam, kami telah menurunkan pakaian kepada kamu bagi menutupi aurat kamu, dan juga (di turunkan juga) perhiasan, dan ketahuilah pakaian takwa (malu) itulah yang sebaik baiknya, yang demikian itulah adalah tanda kurnian Allah supaya mereka mengenangnya"

Menurut imam at-Tabari dalam tafsirnya, iman dan sifat malu merupakan sebaik-baik pakaian bagi manusia. Imam al-Mawardi pula menyatakan bahawa malu terbahagi kepada tiga.

  1. Malu kepada Allah.
  2. Malu kepada orang sekeliling.
  3. Malu kepada diri sendiri.

Apa yang kita lihat di hadapan mata, di saluran media sosial, sebahagian manusia tidak lagi malu kepada Allah Ta'ala, masyarakat sekeliling bahkan kepada diri mereka sendiri.

Kenapa sebahagian manusia hari ini telah hilang perasaan malunya dalam melakukan perkara dosa atau maksiat? Seperti mendedahkan aurat di khalayak ramai serta menjolok mata, meninggalkan solat dengan sengaja, mengeluarkan kata kata yang tidak sopan, menularkan video yang tidak senonoh serta membuka keaibkan sendiri, pasangan dan orang lain. Adakah kita mengundang jalan yang dimurkai oleh Allah Subhanahu wa Taala?

Benarlah sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Baihaqi yang bermaksud :

"Sesungguhnya, jika Allah Subhanahu wa Taala berkehendak untuk membinasakan seseorang, nescaya Allah mencabut perasaan malunya"

Ibnu Abbas berkata : "malu dan iman bergandingan satu sama lain, bila dicabut malu pasti iman juga akan mengikutinya"

Seolah-olah sebahagian manusia hari ini tidak menemui sempadan kehidupan yang sepatutnya. Adakah manusia hari ini dengan falsafah baru "dunia tanpa sempadan" dengan memahamkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari 'Uqbah bin Amir, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud 

"Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu suka"

Hadis ini menjelaskan bagaimana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengingatkan bahawa seseorang itu sanggup melakukan perkara keji apabila hilangnya sifat malu dalam dirinya.

Menjadi kewajipan kepada semua pihak bagi memastikan generasi hari ini memiliki perasaan malu untuk melakukan perkara dosa dan maksiat dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh mencabar ini. Kembalilah kita semua kepada landasan Islam yang sebenar. Dan ingatlah umat-umat yang terdahulu telah dibinasakan oleh Allah disebabkan hilangnya sifat malu dan melakukan kemaksiatan kepada Allah Ta'ala.

Percayalah sifat malu akan kembali hadir ke dalam hati sekiranya kita merubah diri dengan melakukan kebaikan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis riwayat Imam al- Bukhari daripada Imran bin Husin yang bermaksud 

"Sifat malu tidak akan datang kecuali dengan melakukan kebaikan"

Marilah kita semua menyedari kepentingan sifat malu dan berusaha untuk memupuknya dalam diri kita. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis riwayat Imam at-Tirmizi yang bermaksud :

"Malu adalah sebahagian dari iman, sedang iman tempatnya di Syurga dan perkataan keji adalah akhlak yang buruk dan akhlak yang buruk itu tempatnya di Neraka"

Dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud :

"Setiap umatku mendapat ampunan, kecuali mujahirin iaitu orang yang terang-terangan berbuat dosa dan mujahirin itu ialah mereka yang berbuat dosa pada malamnya, lantas pada pagi hari dia berkata 'wahai fulan aku telah melakukan kejahatan pada malam tadi, (dia mendedahkan kepada orang lain bahawa dia telah berbuat dosa)'. Padahal Allah telah menutupi aibnya pada malam hari, namun pada pagi hari dia sendiri membuka aib yang telah Allah tutupinya"

Kesimpulannya, Islam agama sempurna merangkumi aspek kehidupan. Malu merupakan teras utama dalam beragama. Orang yang beriman mestilah mempunyai sifat malu iaitu malu kepada Allah Ta'ala, malu kepada orang sekeliling dan malu kepada diri sendiri. Sifat malu akan kembali hadir ke dalam hati seseorang sekiranya kita berubah ke arah melakukan banyak kebaikan.

google-playkhamsatmostaqltradent