Kini kita sudah memasuki bulan Zulhijjah yang dikurniakan Allah pelbagai keistimewaannya khususnya 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda yang bermaksud :
"Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan : 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda, "Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali"
(HR Al-Bukhari)
Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa melakukan amal soleh pada 10 hari terawal di bulan Zulhijjah lebih disukai oleh Allah berbanding amalan-amalan pada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia adalah perkara yang paling disukai oleh Allah, maka tentunya ia sesuatu yang afdhal di sisi-Nya.
Allah bersumpah dengan bulan ini melalui Firman Nya, dalam surah al-Fajr : 1-2
وَٱلْفَجْرِ ١ وَلَيَالٍ عَشْرٍۢ ٢
''Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta) hari dalam bulan Zulhijjah)."
Allah bersumpah dengan 10 malam tersebut, kerana ia sangat penting dan berkat untuk berbuat ibadat pada hari-hari yang sepuluh ini. Maksud 10 malam ini ialah 10 hari terawal Zulhijjah mengikut pandangan sahih oleh jumhur dari kalangan salaf dan ia juga adalah pandangan yang sahih daripada Ibnu Abbas RA.
Oleh itu, mengingati Allah sebanyak-banyaknya pada 10 hari awal Zulhijjah adalah sebagai tanda mensyukuri di atas segala nikmat-Nya yang dizahirkan melalui ibadah mengorbankan binatang ternakan, dan mengorbankan diri melakukan ibadah haji semata-mata kerana Allah. Sesungguhnya amalan yang terbaik ialah dengan banyak mengingati Allah SWT pada hari-hari mengerjakan ibadah haji bagi orang yang mampu mengerjakannya.. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 198-199 :
لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا۟ فَضْلًۭا مِّن رَّبِّكُمْ ۚ فَإِذَآ أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَـٰتٍۢ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ عِندَ ٱلْمَشْعَرِ ٱلْحَرَامِ ۖ وَٱذْكُرُوهُ كَمَا هَدَىٰكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِۦ لَمِنَ ٱلضَّآلِّينَ ١٩٨ ثُمَّ أَفِيضُوا۟ مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ ٱلنَّاسُ وَٱسْتَغْفِرُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٩٩
"Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya. Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"
Allah menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah sebagai tempoh paling afdhal untuk beribadah yang dapat dikongsi bagi semua orang sama ada yang mengerjakan haji dan mereka yang tidak mengerjakannya. Sesiapa yang tidak mampu mengerjakan haji, maka dia boleh melakukan amal soleh yang selainnya di tempat tinggalnya sepanjang 10 hari tersebut. Keadaaan ini lebih utama daripada jihad yang pada asalnya merupakan amalan yang lebih utama daripada ibadah haji.
Dalam bulan Zulhijjah terdapat satu hari yang amat mulia di sisi Allah dinamakan Hari Arafah yang berlaku pada 9 Zulhijah. Pada hari ini, jemaah haji pergi ke padang Arafah dari Mina untuk beribadah, bermunajat dan berdoa kehadrat Allah SWT seterusnya melengkapkan rukun ibadah haji. Hari Arafah merupakan hari pembebasan daripada azab api neraka oleh Allah bagi semua umat Islam sama ada yang berwukuf di Arafah dan yang tidak berwukuf dengan banyak melakukan ibadah, bermunajat dan berdoa kehadrat Allah SWT memohon keampunanNya serta pembebasan dari azab Neraka.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"'Sesungguhnya Allah membanggakan ahli-ahli Arafah kepada para malaikat penghuni langit, dengan berkata, 'Lihatlah kepada hamba-Ku, mereka telah berhimpun dan berkumpul di hadapan-Ku dalam keadaan berdebu dan kusut."
(HR Ibnu Hibban)
Imam Malik meriwayatkan dalam kitab al-Muwaththa' daripada hadis diriwayatkan oleh Thalhah bin Ubaidillah bin Kariz bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya :
"Tiada satu hari di mana syaitan merasakan dirinya paling kerdil, paling jauh, paling hina dan paling marah pada mana-mana hari lain, kecuali pada hari Arafah. Kerana dia (syaitan) melihat turunnya rahmat Allah dan diampunkan segala dosa besar umat manusia. Begitulah yang telah ditunjukkan kepada Syaitan pada hari Badar.'' Ditanya kepadanya, ''Apa yang ditunjukkan kepadanya pada hari Badar?'' Baginda bersabda, ''Bukan kah dia melihat Jibrail mengatur barisan para malaikat pada hari Badar"
Kita yang tidak menunaikan haji disunatkan untuk berpuasa pada hari arafah kerana fadhilatnya amat besar iaitu menghapuskan dosa untuk tempoh dua tahun. Daripada Abu Qatadah bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Puasa pada hari Arafah, Aku berharap pada Allah agar dihapuskan dosa yang sebelum dan selepas tahun itu"
(HR Muslim)
Oleh itu, marilah kita merebut peluang untuk melakukan ibadat dan ketaatan pada Allah SWT pada kesempatan bulan Zulhijjah yang penuh barakah ini. Semoga dengan rahmat Allah SWT akan menjadikan kita hamba-hamba yang mendapat pandangan rahmatNya disepanjang hidup kita di dunia dan akhirat. Sesungguhnya beruntunglah insan-insan yang diberikan peluang dan keinginan dalam melakukan ketaatan, bahkan lebih beruntung lagi bagi mereka yang melakukan amal ibadat dan diterima pula akan ibadat tersebut oleh Allah SWT. Mudah-mudahan Allah akan merahmati dan mengampunkan dosa-dosa kita semua.