Masjid merupakan Rumah Allah paling istimewa yang berada di muka bumi ini sebagai tempat ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. Dalam peristiwa hijrah Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke Madinah, Baginda mengasaskan Masjid Quba' dan mendirikan solat berjemaah bersama para Sahabatnya. Itulah masjid pertama sekali yang diasaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di atas asas takwa. Firman Allah Ta'ala dalam surah al- Taubah ayat 108 :
لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌۭ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ
"Sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya kamu bersolat padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan dirinya). Dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)"
Dalam ayat sebelum itu, Allah Ta'ala juga memberi amaran kepada mereka yang membina masjid bukan bertujuan untuk perpaduan ummah sebaliknya menggalakkan perpecahan sebagaimana firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 107 :
وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مَسْجِدًۭا ضِرَارًۭا وَكُفْرًۭا وَتَفْرِيقًۢا بَيْنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
"Dan ada (antara orang munafik itu juga) yang mendirikan masjid dengan tujuan untuk membahayakan (keselamatan orang Islam) dan (mengukuhkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecahbelahkan perpaduan orang yang beriman"
Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa masjid ini dibina untuk memudharatkan Masjid Quba' dan memecah belahkan kaum muslimin dan Allah Ta'ala menyandarkan perbuatan mereka tersebut sebagai pendusta.
Apabila Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sampai di Madinah, Baginda mengasaskan pula Masjid Madinah. Masjid ini bukan sahaja dijadikan sebagai tempat solat berjemaah, malah Baginda menjadikannya sebagai pusat perancangan pentadbiran negara, mahkamah, pusat pengajian ilmu dan lain-lain lagi.
Melalui masjid, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berjaya mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, yang mana Ansar terdiri daripada kabilah Aus dan kabilah Khazraj. Peristiwa besar ini menjadi bukti bahawa masjid adalah tempat menyatupadukan hati umat Islam yang bermusuh dan bersengketa. Firman Allah Ta'ala dalam surah al-Hujurat ayat 10 :
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ١٠
"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"
Imarah masjid bermaksud membina, membangun, menghidup, memakmur, memelihara, membersih, mendirikan solat, beriktikaf dan sebagainya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi yang bermaksud :
"Sesiapa yang membina masjid, tidak kira kecil atau besar, Allah akan membina baginya rumah di Syurga"
Masjid yang telah dibina tersergam indah, tidak akan memberi faedah sekiranya tidak diimarahkan dengan kehadiran para jemaah yang ramai pada setiap masa, khususnya solat lima waktu secara berjemaah.
Selain daripada tabung masjid, boleh juga diwujudkan tabung-tabung untuk aktiviti kemasyarakatan bagi membolehkan ia digunakan untuk pembangunan kemasyarakatan seperti menghulurkan bantuan persekolahan dan bantuan kecemasan kepada golongan yang memerlukan serta buatlah pelbagai aktiviti yang bersesuaian untuk semua peringkat usia, kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Bagi kanak-kanak, hendaklah disediakan tempat bermain yang menyeronokkan, bertujuan mentarbiah mereka sejak kecil cinta kepada masjid.
Bagi golongan remaja dan dewasa, hendaklah disediakan aktiviti yang boleh menarik minat mereka untuk mendekati masjid dalam pelbagai bentuk sama ada berbentuk ilmiah mahupun santai. Program ilmiah yang bersesuaian seperti pengajian ilmu fardu Ain, membaca al-Quran, ilmu hadis, dan ilmu kemahiran seperti komputer dan lain-lain. Program-program santai seperti sukan Islam, seni bela diri, motivasi, kursus perkahwinan, kursus keibubapaan dan lain-lain untuk membina keperibadian mereka.
Peranan mengimarahkan masjid bukan hanya terletak di bahu pihak pengurusan, pegawai dan jawatankuasa masjid sahaja, malah para jemaah, masyarakat sekitar hendaklah sama-sama bertanggungjawab dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membangun, menjaga kesucian, kebersihan dan keceriaan masjid sebagai tempat ibadah umat Islam dan Rumah Allah di muka bumi ini.
Oleh itu, marilah kita menyahut seruan mengimarahkan masjid lebih-lebih lagi datang solat berjemaah pada waktu subuh seperti kehadiran solat Jumaat dan solat hari raya. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayat oleh imam al-Tirmizi yang bermaksud :
"Apabila kamu melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid, maka saksikanlah keimanan untuknya"
Kesimpulannya, masjid adalah lambang perpaduan umat Islam dengan cara memakmurkan masjid dalam kehidupan kita seharian. Pihak pentadbir masjid juga perlulah merancang dan menganjurkan program-program yang menarik perhatian masyarakat setempat untuk mengimarahkan masjid. Kita sebagai masyarakat umum hendaklah bersungguh-sungguh mengimarahkan masjid dan pengimarahan tersebut menjadi sebahagian kehidupan kita.