recent
Terkini | تركيني

Hutang, Racun Kehidupan

Laman utama

Kehidupan ini ada madunya dan ada racunnya. Madu adalah dambaan manusia ibarat segala nikmat kemewahan, kenikmatan dan keselesaan. Namun racun adalah kesusahan, kesengsaraan, kesempitan dan kekurangan. 

Hutang ialah sesuatu tanggungan yang perlu ditunaikan sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya. Namun dalam Islam secara khususnya hutang ialah sebarang kewajipan dalam bentuk kewangan ke atas seseorang yang terjadi kesan daripada transaksi, kerosakan harta benda, kecederaan ataupun melunaskan hak-hak Allah seperti zakat.

Masyarakat pada hari ini dilingkari dengan hutang yang bermacam-macam. Hutang kenderaan, perumahan, pendidikan, kad kredit, peribadi dan lain-lain. Bahkan tidak kurang juga yang berhutang kepada individu atau institusi tertentu. Hutang dengan institusi sememangnya ada dokumen atau perjanjian. Statistik keberhutangan di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara hampir kepada 85 peratus hutang isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK). Itu belum melibatkan hutang dengan individu.

Sebaliknya hutang individu pula kebiasaannya tidak memiliki surat perjanjian hanyalah bergantung kepada kepercayaan dan sifat belas ihsan ingin tolong saudara atau rakan. Hutang boleh terjadi dengan sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan. Amat malang apabila kepercayaan ini dikhianati atau disalah gunakan oleh penghutang demi kepuasan diri. Jadi timbullah sifat tamak sehingga sanggup menipu dan mengambil hak orang lain tanpa rasa malu dan takut.

Berapa banyak hari ini kita mendengar pihak-pihak teraniaya disebabkan ketamakkan dan kerakusan jiwa. Sebagai contoh, majikan yang culas membayar gaji atau upah pekerjanya sendiri. Hasilnya pekerja terpaksa kerja sambil lewa atau mengkhianati majikan sendiri ataupun mencari kerja di tempat lain. Sedangkan ada majikan yang boleh membeli kenderaan mewah atau pergi melancong tanpa memikirkan hak pekerja.

Upah yang tidak dibayar dikira hutang oleh majikan kepada pekerja. Kesannya berlaku krisis rumah tangga kerana tiada duit bahkan ada pasangan yang berakhir dengan penceraian. Ketahuilah orang yang berhutang ibarat mendapat kepuasan dan kenikmatan seperti madu. Dia ambilnya hak orang lain untuk keselesaan dan kepentingan diri atau keluarga. Namun bagi yang memberi hutang atau pinjam ibarat racun yang menyelubungi kehidupan diri dan keluarga. Setiap waktu dan detik menunggu hak yang diambil dikembalikan semula.

Lihatlah ada sebahagiannya pula apabila dituntut untuk membayar hutang, pelbagai alasan dan penipuan diberikan untuk mengelak daripada membayar hutang piutang. Benarlah seperti sabda baginda Rasulullah bahawa sifat-sifat penghutang akan menipu dan menipu dan menipu sehinggalah masuk ke kubur.

"Sesungguhnya seseorang yang berhutang, dia akan bercakap lalu berbohong, dia berjanji lalu mengingkari"

(HR Al-Bukhari)

Penipuan dan pengkhianatan ini adalah punca kepada kerosakan jiwa dan hati orang beriman. Ia membawa persengketaan dan permusuhan dalam jiwa orang yang dizalimi. Masyarakat boleh menjadi kacau bilau dan porak peranda. Sebahagiannya sanggup membalas melampaui batasan syarak dan undang-undang dengan melakukan keganasan malah membunuh sekalipun.

Ajaran yang diperintahkan Allah SWT kepada baginda Rasulullah sangat sempurna demi keharmonian dan kebahagiaan manusia. Sebaliknya sifat tamak haloba boleh mengaburi hati dan mata manusia dari kesengsaraan akhirat. Tambahan lagi, dalam riwayat yang lain baginda Nabi SAW menyatakan bahawa penghutang yang tidak membayar hutang seperti seorang pencuri.

"Siapa sahaja yang berhutang lalu berniat tidak mahu melunasinya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) dalam status sebagai seorang pencuri"

(HR. Ibnu Majah)

Hutang yang dilakukan mestilah dibayar pada masa yang dijanjikan kerana manusia berpegang pada janji. Hutang melibatkan harta atau barangan menjadi topik utama kehidupan dunia. Walau bagaimanapun hutang tuntutan kewajipan syarak juga jangan dilupakan. Betapa ramai umat islam pada hari ini meremehkan kewajipan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Solat hendaklah diqada, puasa pun begitu juga diqada dan bayar fidyah atau denda kerana lewat qada.

Sementara zakat yang tidak dibayar setiap tahun dianggap hutang dan perlu ditunaikan dengan kadar segera kerana adalah hak milik asnaf-asnaf tertentu. Culas dalam membayar zakat juga adalah faktor keberkatan ditarik oleh Allah SWT. Di samping menghalang Lembaga Zakat mengagihkannya kepada pihak-pihak tersebut.

Seandainya si penghutang itu mati maka tanggungjawab melunaskan hutang diuruskan oleh anak-anak. Harta peninggalan penghutang mestilah dijelaskan terlebih dahulu sebelum di faraidkan. Jika tiada harta ditinggalkan, anak-anak wajib menjelaskannya bagi pihak si mati. Itu sebahagian tanda anak-anak yang soleh atau berbakti kepada orang tuanya.

Hutang yang tidak dibayar akan menyebabkan seseorang itu terhalang daripada rahmat Allah. Duit ringgit yang diperolehi, rumah atau mahligai yang dimiliki, kenderaan yang dinaiki di dunia tidak boleh ditukar ganti atau digunakan di akhirat nanti. Harta yang diperolehi adalah perantara sahaja untuk kita menukarkannya dengan ganjaran pahala apabila melakukan kebaikan.

Kesan yang sangat dahsyat ditunjukkan oleh Rasulullah apabila tidak membayar hutang. Pada zaman baginda ada sahabat yang meninggal dunia dan diketahui oleh Rasulullah mempunyai hutang. Justeru baginda tidak ingin solat jenazah ke atasnya. Namun apabila ada sahabat yang sanggup membayar hutang tersebut barulah baginda solat bersama-sama. Hutang telah mengakibatkan tiada rahmat Allah kepada si mati sedangkan solat jenazah bertujuan memohon rahmat dan keampunan Ilahi.

Antara beberapa panduan yang boleh diambil ialah :

  1. Hutang wajib dibayar segera.
  2. Jika telah meninggal dunia, maka tanggungjawab warisnya membayar daripada harta si mati sebelum diagihkan mengikuti faraid jika ada. Jika tiada harta peninggalan, maka waris mestilah berusaha membayar hutang-hutang si mati.
  3. Anak yang berbakti ialah yang sentiasa mengambil berat tentang ibu dan ayah dengan menjelaskan hutang piutang sama ada hutang melibatkan hak manusia ataupun hak Allah seperti qada puasa, zakat, fidyah atau kifarat.
  4. Ia juga boleh menyebabkan berlakunya masalah rumahtangga atau konflik dalam masyarakat.
  5. Allah benci dan murka dengan orang yang menangguhkan membayar hutang bila mampu bahkan akan ditarik keberkatan dan rahmat oleh Yang Maha Esa.

google-playkhamsatmostaqltradent