recent
Terkini | تركيني

Memanfaatkan Musim Cuti Sekolah

Laman utama

Cuti sekolah adalah saat yang dinanti-nantikan oleh anak-anak kerana mereka mahu bebas daripada buku-buku pelajaran, aktiviti kokurikulum atau pun kelas tambahan. Inilah masanya untuk mereka berehat, berseronok dan melakukan sesuatu yang disukai oleh mereka.

Sebenarnya masa cuti persekolahan bukanlah untuk dihabiskan sepenuhnya dengan berseronok dan melupakan terus pelajaran sekolah. Ibu bapa mestilah merancang aktiviti yang dapat memanfaatkan masa cuti sekolah anak-anak mereka dengan sebaik-baiknya.

Perlu diingat bahawa pada musim cuti sekolah inilah pelbagai peristiwa atau tragedi kerap kali berlaku seperti kemalangan jalanraya, mati lemas dan lain-lain.

Oleh itu, bantulah anak-anak menguruskan masa cuti bagi memastikan mereka selamat. Demikian juga, bantulah mereka agar tidak terjebak dengan aktiviti sosial yang tidak bermoral dan merosakkan seperti merempit, menghisap rokok dan vape sehingga terjebak dengan penagihan dadah. Tugas kitalah mendidik mereka sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud : 

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang akan menjadikan anak itu seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi"

Masa itu ibarat emas, namun kebanyakan manusia kadang-kadang terlupa dan terleka untuk memanfaatkan nikmat masa lapang dan kesihatan tubuh badan dengan sebaik-baiknya. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud :

"Dua nikmat yang sering memperdaya manusia; kesihatan dan kelapangan masa"

Ketahuilah bahawa orang yang bijak mengurus masa dengan melakukan perkara yang berfaedah adalah orang yang berjaya. Sebaliknya orang yang lalai dan membuang masa adalah orang yang rugi. Firman Allah Ta'ala dalam Surah Al-'Asr ayat 1 hingga 3 :

وَٱلْعَصْرِ ١ إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ ٣

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"

Amanah ibu bapa bukan hanya setakat memenuhi keperluan fizikal dan pendidikan anak-anak tetapi yang lebih utama ialah menyemai dalam diri mereka nilai-nilai agama sejak daripada kecil lagi. Kita hendaklah mengambil contoh Luqman al-Hakim mendidik anak-anaknya. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam surah Luqman ayat 17

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ ١٧

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya"

Pengawasan ibu bapa kepada ahli keluarga agar tidak terlibat dengan perkara-perkara yang merugikan dan mendatangkan dosa adalah tanggungjawab yang penting dan utama. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman dalam surah al-Tahrim ayat 6 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ٦

"Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"

Justeru janganlah sesekali membiarkan anak-anak menghabiskan masa cuti sekolah dengan perkara yang tidak berfaedah. Contohnya menonton siaran dan program di televisyen tanpa pengawasan, bermain game (permainan) di telefon pintar tanpa had masa dan berjumpa kawan-kawan tanpa mengira masa siang atau malam.

Sebagai ibu-bapa juga hendaklah sentiasa berdoa untuk kesejahteraan anak-anak kerana doa ibu-bapa boleh menyebabkan kehidupan anak dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada segala bencana. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam Surah al-Furqan ayat 74 :

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍۢ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا ٧٤

"Dan orang yang berkata, Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa"

Terdapat bermacam-macam aktiviti yang boleh dirancang dan dilaksanakan pada musim cuti persekolahan seperti mengajak anak-anak menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid. Di samping itu, bimbinglah anak-anak mempelajari al-Quran. Ajaklah mereka membantu kerja-kerja di rumah dan menziarahi sanak saudara. Bawalah anak-anak melawat ke tempat-tempat menarik di negeri kita khususnya seperti ke tempat- tempat bersejarah ataupun tempat perlancongan seperti tanah tinggi, air terjun, sungai, pantai, taman negara dan lain-lain sekiranya cuaca mengizinkan. Anak-anak juga boleh memanfaatkan perpustakaan awam dan boleh dihantar untuk menyertai kursus jangka pendek seperti kelas ICT, kelas fadhu ain, kem solat, kelas-kelas kemahiran atau apa sahaja aktiviti yang bersesuaian dan dapat memberi nilai tambah kepada pembentukan jati diri anak-anak kita.

Antara contohnya program yang bermanfaat seperti Program Smart Tahfiz 8.0 anjuran Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Mustafa yang akan diadakan pada 19-30 Januari ini di Masjid Mukim Wakaf Bharu dan Masjid An-Nur Kota Kubang Labu.

Kesimpulannya, sebagai ibu-bapa, kita perlu mengambil berat terhadap aktiviti anak-anak semasa cuti sekolah. Isilah masa cuti anak-anak dengan perkara yang berfaedah terutamanya mendalami agama dan kemahiran-kemahiran yang lain. Uruskan masa anak-anak dengan baik dengan meraikan perkembangan emosi, mental dan fizikal mereka. Waspadalah dalam melakukan aktiviti-aktiviti bagi mengelakkan berlakunya tragedi kepada anak-anak. Semoga anak-anak kita terpelihara di musim cuti sekolah ini.

google-playkhamsatmostaqltradent