Berbahagialah kita kerana di saat ini kita masih berada di bulan Rejab yang mulia, iaitu salah satu bulan haram (yang dihormati). Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 36 :
إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًۭا فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌۭ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا۟ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ كَآفَّةًۭ كَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمْ كَآفَّةًۭ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ ٣٦
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa"
Keempat-empat bulan haram itu ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Sebab dinamakan bulan haram (ertinya bulan suci) kerana Allah mewajibkan supaya menghormati bulan tersebut, dan diharamkan peperangan dan pertumpahan darah.
Sesungguhnya kesucian bulan Rejab itu tidak disangkal lagi kerana pada bulan Rejab inilah junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah diisrakkan dari negeri Makkah ke Baitul Maqdis. Dari sana, baginda dimikrajkan pula ke Sidratul Muntaha (langit ketujuh).
Hal ini dirakamkan di dalam al-Quran, melalui firman-Nya di dalam Surah al-Isra’, ayat 1 :
سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ ١
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui"
Seterusnya, Baginda Nabi SAW diangkat menemui Allah SWT, untuk menerima perintah kewajipan solat fardu sebanyak lima puluh waktu. Sembahyang lima puluh waktu itu kemudian diringankan menjadi lima waktu sehari semalam.
Ini menunjukkan mesej yang jelas bahawa solat adalah agenda utama yang menjadi keperluan dalam kehidupan manusia. Malah Allah SWT secara berulang-ulang memerintahkan kita mengerjakan solat dan memuji-muji orang yang mengerjakan solat, serta bakal menganugerahkan ganjaran yang istimewa kepada insan yang sentiasa menjaga solatnya iaitu ‘Jannah al-Firdaus’ sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Mu’minun, ayat 9-11.
وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ ٩ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ ١٠ ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ١١
"Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi - yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya"
Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Allah SWT memperlihatkan kepada Rasulullah SAW, berbagai-bagai rahsia alam dunia dan alam akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Najm ayat 18,
لَقَدْ رَأَىٰ مِنْ ءَايَـٰتِ رَبِّهِ ٱلْكُبْرَىٰٓ ١٨
"Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya"
Baginda telah diperlihatkan dengan keagungan dan kebesaran Allah SWT, dan diperlihatkan dengan beberapa golongan manusia yang menjadi pedoman dan pengajaran kepada umat manusia. Ada perkara-perkara yang membahagiakan, seperti suruhan membelanjakan harta kepada jalan Allah (fi sabilillah) dan berjuang pada jalan Allah. Golongan ini digambarkan seperti orang yang bercucuk tanam dalam tempoh sehari, pada hari itu juga mereka memungut hasilnya, dan setiap kali tangannya selesai memetik hasil, ia kembali berbuah ranum dan mekar seperti situasi awalnya.
Ada pula perkara-perkara yang menakutkan, seperti golongan yang meringan-ringankan tuntutan solat fardu. Golongan ini diumpamakan seperti satu kaum yang memecahkan kepala mereka sendiri, apabila sembuh kepala mereka itu, lalu dipecahkannya lagi berkali-kali.
Perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW ini bukanlah omongan kosong, bukanlah dongeng yang direka-reka; tetapi ia adalah kisah realiti yang sarat dengan ibrah dan pengajaran. Malah kisah-kisahnya dengan peredaran masa, telah mula menyingkap kebenarannya, meskipun telah lebih ribuan tahun berlalu, bahkan sesetengahnya sudahpun berlaku.
Perkara pembedahan sudah menjadi perkara biasa, sedangkan Malaikat Jibril yang mula-mula melakukan pembedahan membelah dada Nabi SAW, mengeluarkan jantungnya lalu dibersihkan dengan air zam-zam, kemudian dikembalikan jantung baginda ke tempatnya dengan dibekalkan dengan hikmah dan iman, serta dipenuhkan pula dengan kesabaran, pengetahuan dan keyakinan.
Penerbangan jauh dan penerokaan angkasa lepas di zaman moden ini sudah menjadi kelaziman, sedangkan 1400 tahun yang lalu, Nabi SAW yang menjadi perintis pengembaraan pantas menjangkaui ribuan kilometer dengan kenderaan buraq.
Lihatlah betapa kukuhnya iman para sahabat Nabi dalam mengimani kisah-kisah di luar batas pemikiran manusia ini, sehingga Abu Bakar digelar dengan gelaran as-siddiq, melalui keimanannya yang jitu membenarkan lisan Nabi Muhammad SAW; berbanding dengan penerimaan umat manusia di zaman sains dan teknologi ini yang telah mengakui hakikat kebenarannya melalui fakta dan data yang tersedia.
Oleh itu, peristiwa-peristiwa lain dalam kisah Israk dan Mikraj ini pun kelak akan menjadi kenyataan. Lambat laun semua umat manusia akan mengakui kebenarannya. Mudah-mudahan apabila seorang muslim mengimani kebenaran Israk dan Mikraj ini, maka istiqamahlah mengamalkan pengajaran yang terkandung di dalamnya, kerana yang penting dalam suatu kisah ialah meneladani pengajarannya. Perkara yang baik dikerjakan dan perkara yang buruk ditinggalkan.