recent
Terkini | تركيني

Rasulullah SAW Sebagai Uswah Hasanah

Laman utama

Mengenang perjuangan dan pengorbanan baginda Nabi Muhammad SAW merupakan suatu tuntutan dalam Islam. Tuntutan ini selaras dengan hasrat bagi menjadikan setiap muslim itu bertanggungjawab untuk memastikan risalah yang telah dibawa oleh Nabi SAW ini, dapat diteruskan kelangsungannya. Sempena mengingati bulan Maulidul Rasul SAW ini, marilah kita berusaha menambah pengetahuan terhadap riwayat hidup dan sirah perjuangan Nabi kita Muhammad SAW.

Sirah Nabi Muhammad SAW merupakan salah satu cabang ilmu yang penting dan paling mulia bagi seorang Muslim mempelajarinya. Hal ini kerana, sirah nabawiyah ini memuatkan riwayat hidup insan paling agung dan paling sempurna akhlak dan budi pekertinya. Melalui penghayatan sirah, kita akan dapat menjadikan Nabi SAW benar-benar sebagai ikutan dan suri teladan dalam kehidupan kita.

Allah SWT menegaskan kepada kita agar sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan suri teladan dalam kehidupan seharian. Rasulullah SAW merupakan uswah hasanah bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah SWT dan mengharapkan balasan hari Kiamat serta banyak berzikir.

Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 21 :

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ٢١

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"

Menurut riwayat ayat ini diturunkan semasa Perang Ahzab atau Perang Khandaq iaitu berlaku pada bulan Syawal tahun yang ke-5 Hijrah.

Dinamakan Perang Ahzab adalah kerana dalam peperangan ini, kaum musyrikin dan golongan kafir bersekutu serta bergabung dengan kaum Yahudi untuk menyerang kaum Muslimin di Madinah.

Ibn Kathir menjelaskan, ayat ini merupakan dasar dan asas yang paling utama dalam seruan dan gesaan agar meneladani Rasulullah SAW, sama ada dalam perkataan, perbuatan, mahupun tindakan dalam kehidupan Baginda. Oleh kerana itu, Allah SWT menyuruh manusia agar meneladani Rasulullah SAW dalam hal kesabaran, keteguhan, “ribat” iaitu keterikatan dengan tugas, komitmen dan kesungguhannya.

Tujuan ayat ini diturunkan adalah menghilangkan ketakutan dan kebimbangan serta mengembalikan kekuatan dan keberanian yang mula pada awalnya akibat ancaman musuh. Demikian, Allah SWT menyedarkan kaum Muslimin agar sentiasa meneladani sikap dan watak Nabi Muhammad SAW dalam kesabaran dan keteguhan membela agama Allah SWT.

Atas sebab itu, firman Allah SWT melalui ayat ini benar-benar menimbulkan kesedaran dan membina kekuatan kepada mereka yang tergoncang jiwanya, gelisah, gusar dan bimbang dalam dalam berhadapan dengan musuh ketika hari Ahzab itu : "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik" dan firman itu disusuli dengan : "iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

Hakikatnya, umat Islam diperintahkan untuk meneladani Rasul SAW meskipun dalam situasi dihujani kebimbangan, ketakutan dan kepayahan ketika menghadapi ujian. Menurut Ibn Abbas, ayat ini juga sangat berkait rapat dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 214 :

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ ٱلْبَأْسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوا۟ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصْرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصْرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ ٢١٤

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)"

Al-Qurtubi turut menjelaskan maksud uswah hasanah, iaitu kesungguhan Nabi SAW menggerakkan usaha bagi mendapat nusrah Allah SWT merupakan suatu usaha yang seharusnya diambil teladan oleh seluruh umat Islam dengan sebaik-baiknya. Meletakkan Nabi SAW sebagai suri teladan itu tidak hanya terhad kepada perkara-perkara yang menyenangkan dan menggembirakan sahaja. Sebaliknya, dalam keadaan berduka dan diselubungi kebimbangan pun, Nabi SAW turut menunjukkan contah dan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh kita.

Allah SWT turut memperkaitkan tentang Uswah Hasanah itu dengan keyakinan seseorang Mukmin yang meletakkan harapan dan sandaran hanya semata-mata kepada Allah SWT dan mengharapkan balasan yang baik di hari Akhirat kelak. Hal ini membuktikan bahawa, hanya mereka yang benar iman dan keyakinannya terhadap segala janji Allah SWT pasti akan menjadikan Nabi SAW sebagai suri teladan dan ikutan dalam setiap ruang kehidupan, baik disaat ditimpa kesusahan mahupun disaat kesenangan.

Sebagai kesimpulannya :

  1. Memperingati Maulidul Rasul SAW merupakan suatu asbab yang menjadikan kita sentiasa mengenang perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Baginda SAW.
  2. Allah SWT menjadikan sirah RasulNya sebagai contoh teladan kepada setiap mukmin dalam semua aspek kehidupan mereka dalam sekecil-kecil urusan hingga sebesar-besar urusan hidup.
  3. Setiap individu Islam mahupun para pendakwah hendaklah meneliti dan mempelajari sirah Rasulullah SAW sebagai suatu proses untuk memperolehi kemuliaan, lantaran mengambil dan menuruti segala teladan daripada Baginda Nabi SAW.
  4. Allah SWT menjadikan risalah nabawiyyah ini sebagai risalah yang paling sempurna, menyantuni keperluan setiap manusia dalam pelbagai suasana dan zaman. Mudah-mudahan, kita semua mendapat kemuliaan berada bersama Rasulullah SAW di dalam syurga yang kekal abadi.

Firman Allah SWT :

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌۭ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ ۚ أَفَإِي۟ن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ ٱنقَلَبْتُمْ عَلَىٰٓ أَعْقَـٰبِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ ٱللَّهَ شَيْـًۭٔا ۗ وَسَيَجْزِى ٱللَّهُ ٱلشَّـٰكِرِينَ 

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa prang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tiada ada bandingnya)"

google-playkhamsatmostaqltradent