recent
Terkini | تركيني

Kekasih Dambaan Syurga

Laman utama

Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul apabila tibanya bulan kelahiran Baginda Rasulullah SAW iaitu bulan Rabiul Awwal. Mungkin ada dari kalangan kita yang ingin mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan Rabiul Awal itu? Rabi’ bermaksud musim bunga jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Bunga selalunya dikaitkan dengan wangian. Ianya seolah-olah memberi gambaran kepada kita bahawa kedatangan Baginda pada bulan Rabiul Awal membawa wangian syurgawi kepada seluruh makhluk di alam ini. Bahkan kedatangan Baginda adalah rahmat terbesar dikurniakan kepada seluruh alam. Allah berfirman dalam surah Anbiyaa ayat ke 107.

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ ١٠٧

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Bukti kemuliaan Baginda dapat dilihat sewaktu Baginda melalui peristiwa Isra dan Mikraj. Baginda merupakan satu-satunya Rasul yang dibawa mengadap Allah SWT dan dikurniakan kefarduan solat yang merupakan amalan yang menjadi tiang agama.

Bersempena dengan bulan yang agung ini juga kita dituntut memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar sebagai kekasih Allah. Lihatlah bagaimana Allah memuliakan Baginda melalui firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 56.

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا ٥٦

"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".

Berdasarkan ayat ini jelas membuktikan bahawa Baginda Rasulullah SAW adalah makhluk atau kekasih Allah sehingga Allah sendiri mengucapkan selawat kepada Baginda sebagai suatu penghormatan. Bahkan kita juga dituntut selawat kepadanya. Selawat memberi makna yang sangat besar kepada kita kerana ia adalah satu tanda seseorang itu amat menyayangi Rasul kekasih Allah SWT. Ulama sering menyebutkan banyak kelebihan berselawat kepada Rasulullah SAW. Antaranya :

  1. Melaksanakan perintah Allah SWT.
  2. Bersama dengan selawat Allah SWT dan para malaikat kepada Rasulullah SAW.
  3. Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).
  4. Mendapat syafaat Baginda pada hari kiamat nanti dan lain-lain.
  5. Menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan.

Antara hadis tentang kelebihan selawat ialah :

"Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat."

(Hadis Riwayat Tabrani)


"Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat adalah yang paling banyak berselawat kepadaku".

(Hadis Riwayat Tirmizi)


"Perbanyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku."

(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)


Namun, hakikatnya selawat sahaja tidak mencukupi tanpa kita menunaikan segala perintah Allah yang lain. Kewajipan yang difardukan ke atas kita janganlah dilalaikan atau diabaikan kerana kesempurnaan iman datangnya dari ketaatan. Melaksanakan sunnah-sunnah yang dibawa oleh Baginda juga satu keutamaan. Sunnah-sunnah yang dibawa dan ditunjukkan oleh Baginda telah dinyatakan dalam hadis-hadis baginda dan diceritakan juga dalam buku karangan para alim ulama silam.

Sebagai umat yang mengakui Baginda Rasulullah SAW sebagai kekasih, sewajarnya kita berusaha mendalami dan mengamalkan apa yang dibawa oleh Baginda supaya mencapai darjat kekasih Baginda. Selawat kepada Baginda juga dikira salah satu daripada hak-hak lidah yang perlu ditunaikan.

Antara hak-hak lidah seperti yang dikatakan oleh para alim ulama ialah;

  1. Mengucap dua kalimah syahadah
  2. Zikir (baca quran, tasbih, tahmid, tahlil dan sebagainya)
  3. Berselawat kepada Rasulullah
  4. Menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan.

Kesimpulannya, Maulidur Rasul yang disambut saban tahun hendaklah sentiasa dapat membawa kesegaran dan motivasi kepada kita untuk menambahkan lagi ketaatan, amalan dan rasa sayang cinta kita kepada Baginda Nabi SAW. Jesteru itu, Marilah kita amalkan segala sunnah Baginda agar kasih sayang kita akan dibalas oleh baginda dengan syafaat baginda di akhirat kelak. Oleh itu laksanakanlah perkara-perkara berikut:

  1. Mencintai nabi adalah suatu tuntutan dalam agama.
  2. Allah meredhai sesiapa yang mengikuti jejak Baginda
  3. Penghayatan tentang sirah dan sunnah-sunnah Baginda mestilah sentiasa diambil berat sama ada untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
  4. Orang yang banyak berselawat maka lebih hampir dirinya dengan Baginda di syurga nanti.
  5. Kehidupan kita lebih berharga apabila kita menghargai jasa dan pengorbanan Baginda dalam setiap detik kehidupan kita.

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٣١

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

(Surah Ali-'Imran : 31

google-playkhamsatmostaqltradent