Kehidupan kita sebagai manusia adalah tidak lengkap menurut Islam melainkan apabila kita memikul dua tugas utama di bumi ini sebagai hamba Allah SWT dan khalifah-Nya dengan tanggungjawab melaksanakan segala perintah Allah SWT dalam segala urusan kehidupan menurut ketetapan al-Quran dan sunnah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 30 :
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌۭ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةًۭ ۖ قَالُوٓا۟ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ ٣٠
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa-apa yang kamu tidak mengetahui".
Ayat di atas menjelaskan tanggungjawab utama manusia sebagai khalifah adalah untuk menguruskan urusan kehidupan menurut acuan Islam secara menyeluruh daripada perkara yang sekecil-kecilnya sehinggalah urusan yang paling besar seumpama menguruskan negara.
Urusan pemilihan kepimpinan negara juga adalah tugas agama, maka melantik pemimpin untuk menguruskan kehidupan dengan agama adalah menjadi tanggungjawab utama kita sebagai umat Islam. Jika perlantikan pemimpin bertepatan dengan ciri-ciri yang ditentukan oleh Allah SWT, maka ia akan diredhai oleh Allah SWT, dan begitulah sebaliknya.
Tanggungjawab memilih pemerintah untuk melaksanakan tugas Khalifah di bumi ini bukan sekadar tanggungjawab yang akan dinilai prestasinya melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atau proses audit tetapi ia juga akan dinilai melalui sistem penilaian dosa dan pahala di akhirat kelak. Hal inilah yang perlu disedari oleh pemimpin dan mereka yang dipimpin. Tanggungjawab besar ini telah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim:
"Tiada seorang yang diamanahkan oleh Allah SWT memimpin rakyat kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya syurga."
Peringatan seperti inilah yang perlu disematkan oleh pemimpin untuk memastikan kepimpinannya cemerlang di dunia dengan nilai integriti yang mantap dan diredai Allah SWT di akhirat kelak dengan nilai taqwa yang tinggi. Bahkan Ia tidak hanya sekadar memikirkan penilaian pengundi terhadap prestasinya setiap tempoh pemilihannya sebagai wakil rakyat setiap 5 tahun sekali atau seumpamanya. Nilai inilah juga yang menghasilkan pemimpin yang amat berkualiti seperti khulafa’ al-Rasyidin, Umar Abdul Aziz, Solahuddin al-Ayyubi dan lain-lain yang termaktub dalam sejarah ketamadunan Islam. Peranan pemimpin untuk melengkapkan tugasan khalifah dalam siasah pentadbiran negara amatlah penting dalam Islam. Bahkan ia menjadi wajib untuk menyempurna tugas menguruskan urusan keduniaan dengan panduan agama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Mawardi tentang siasah, iaitu "menguruskan dunia dengan panduan agama" demi mendapatkan keredaan Allah.
Pemimpin hendaklah bertanggungjawab memastikan tugas mereka menyebarkan Islam kepada golongan bukan Islam supaya beriman kepada Allah SWT. Sebagaimana Rasulullah SAW mengislamkan penduduk Mekah yang syirik kepada beriman kepada Allah SWT.
Setiap pemimpin yang dilantik adalah bertanggungjawab dalam membela dan mempertahankan agama Islam. Pemimpin wajib mencontohi Rasulullah dalam kepimpinannya seperti Rasulullah SAW tidak melaksanakan solat fardhu melainkan secara berjemaah di masjid. Firman Allah SWT dalam surah al-anfal ayat 27:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ٢٧
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)"