recent
Terkini | تركيني

Jangan Berputus Asa

Laman utama

Berputus asa merupakan antara sifat mazmumah yang dikeji oleh Allah SWT. Orang yang berputus asa akan hilang pedoman dan keupayaan diri, menjadikan hidupnya sepi, murung sehingga dunia ini terasa gelap baginya. Dia tidak akan bersemangat dan segala cita-citanya akan akan turut hancur dan lebur. Oleh itu, bagi insan yang tewas dalam medan ujian ini, dia akan mencari sesuatu yang dianggapnya boleh mententeramkan jiwanya. Dia akan cuba mencari jalan lain yang kesannya boleh membawa ketenangan kepada jiwanya dan kerehatan kepada minda seperti meminum minuman keras, mengambil pil-pil yang mengandungi dadah berbahaya, serta menyuntikkan bahan-bahan tersebut ke tubuhnya untuk ketenteraman yang bersifat sementara itu. Gejala-gejala negatif ini timbul daripada sikap putus asa kepada Allah SWT.

Sikap berputus asa ini telah digambarkan oleh Allah SWT melalui firmanNya, di dalam surah Yusuf, ayat 87.

يَـٰبَنِىَّ ٱذْهَبُوا۟ فَتَحَسَّسُوا۟ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَا۟يْـَٔسُوا۟ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ لَا يَا۟يْـَٔسُ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ ٨٧

"Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"

Firman Allah SWT lagi:

قَالَ وَمَن يَقْنَطُ مِن رَّحْمَةِ رَبِّهِۦٓ إِلَّا ٱلضَّآلُّونَ ٥٦

"Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat"

(Surah Al-Hijr : 56)

Berdasarkan kedua-dua ayat tersebut, Allah SWT menjelaskan bahawa orang yang mengaku dirinya beriman, tidak mungkin menjadi orang yang berputus asa, murung di dalam kehidupan, layu tidak bersemangat, malahan lesu tidak ada pedoman. Sikap-sikap seperti ini bukan sifat orang beriman, sebaliknya orang yang beriman, sudah tentu, dia akan sentiasa mencari jalan penyelesaian, mempunyai pengharapan dan pergantungan dalam memperoleh rahmat dan keampunan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah Az-Zumar, ayat 53:

۞ قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٥٣

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

Pengajaran daripada ayat di atas, hakikatnya pintu-pintu pengharapan bagi seseorang Muslim sentiasa terbuka luas. Masukilah pintu-pintu rahmat Allah itu dengan membuang sikap berputus asa, berasa murung, hilang pergantungan. Usahakan untuk membersihkan diri, menyucikan jiwa, berharaplah keampunan daripada Allah SWT, agar kita tergolong di kalangan insan yang meraih rahmat dan kurniaNya serta diselamatkan dari seksaNya di negeri Akhirat kelak.

Kita pasakkan di dalam jiwa, sikap berbaik sangka kepada Allah SWT. Hatta, di saat hujung usia, Nabi Muhamamd SAW memberi pesan kepada umatnya agar mati dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah SWT.

Jabir bin Abdullah mendengar Rasulullah SAW bersabda tiga hari sebelum baginda wafat:

"Jangan sesekali mati seseorang itu melainkan hendaklah dia berbaik sangka kepada Allah SWT, Azza wa Jalla"

(HR Muslim)

Berbaik sangka kepada Allah SWT itu tidaklah dibataskan pada masa-masa tertentu sahaja, bahkan hendaklah sentiasa berterusan sepanjang kehidupan ini. Apatah lagi, manusia memang tidak sunyi dari siri-siri ujian di dalam kehidupan seperti kesusahan, kesempitan, malapetaka, penyakit dan kemiskinan.

Bagi menghadapinya, jangan sesekali berputus asa atau hilang pengharapan dari rahmat Allah SWT dan kurniaNya. Segeralah memohon ampun daripada dosa dan kesilapan yang dilakukan, bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Yakinilah, semakin berat ujian dan dugaan seseorang itu, semakin besar rahmat dan ganjaran dari Allah SWT.

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya besarnya pahala itu sesuai dengan besarnya ujian. Dan hakikatnya, apabila Allah mencintai sesuatu kaum itu, pasti Allah akan memberikan ujian kepada mereka. Oleh itu, sesiapa yang redha (dengan ketetapan Allah), maka Allah akan redha kepadanya. Dan (malangnya), sesiapa yang tidak redha, maka Allah jua tidak akan redha kepadanya."

(Riwayat At-Tirmizi) 

Bersabarlah atas ujian yang dihadapi, sentiasa tabah, cekal dan sabar menanggung dugaan yang ditakdirkan Allah SWT; kerana tidak ada ujian yang dipenuhi dengan kesenangan dan kemudahan, bahkan sunnah ujian itu, pasti disertai dengan kepahitan dan kesukaran.

Sentiasa berharap dan berdoa kepada Allah SWT; lihatlah di sekeliling kita, berkat kesabaran dan sikap tidak mengenal erti putus asa, ada yang Allah SWT takdirkan berubah daripada miskin kepada kaya, daripada sakit menjadi sihat, daripada hina menjadi mulia, daripada kesusahan dan kesempitan hidup berubah menjadi senang dan lapang di dalam kehidupan.

Sebagai kesimpulannya, kita hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dan jangan sesekali bersangka buruk kepadaNya. Suburkan di dalam jiwa, sikap tidak berputus asa dalam mengharapkan kurnia dan keampunanNya, perbanyakkan amal-amal kebaikan dan kebajikan. Moga-moga di saat bertemunya kita dengan Allah SWT kelak, kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya beruntung dan berbahagia, serta berada di bawah naungan rahmat dan redaNya di hari Akhirat kelak, hari yang tiada naungan melainkan naungan Allah SWT semata-mata.

قَالُوا۟ بَشَّرْنَـٰكَ بِٱلْحَقِّ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْقَـٰنِطِينَ ٥٥

قَالَ وَمَن يَقْنَطُ مِن رَّحْمَةِ رَبِّهِۦٓ إِلَّا ٱلضَّآلُّونَ ٥٦

Mereka menjawab: "Kami mengembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa".Nabi Ibrahim berkata: "Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat

(Surah Al-Hijr : 55-56)

google-playkhamsatmostaqltradent