recent
Terkini | تركيني

Yang Dikendong Jangan Berciciran, Yang Dikejar Biar Dapat

Laman utama

Tahun 2022 bakal melabuhkan tirainya. Sesungguhnya lembaran tahun ini sudah pastilah menyimpan pelbagai kenangan pahit dan manis, perasaan suka dan duka yang menjadi pengalaman berharga dalam hidup kita. Bertambahnya tahun memberi maksud makin berkurang umur kita. Sebagai hamba Allah yang taat kepada penciptaNya, inilah kesempatan kita untuk laksanakan amal soleh disebabkan bertambahnya usia bukan satu jaminan umur yang panjang kerana kematian tidak mengenal usia tua atau muda. 

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 18-19 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ ١٨

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ نَسُوا۟ ٱللَّهَ فَأَنسَىٰهُمْ أَنفُسَهُمْ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ ١٩

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik."

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menekankan perintah amalan bermuhasabah dimulai dan diakhiri dengan kalimah takwa. Ini menunjukkan ia perlu berpaksikan nilai takwa kepada-Nya. Dengan erti kata lain, sejauh manakah peristiwa lalu dan nostalgia silam yang kita harungi itu, berupaya menjana serta mempertingkatkan kadar ketakwaan kita kepadaNya.

Sepanjang tahun 2022 ini pelbagai dugaan dan musibah telah berlaku khususnya di negeri Kelantan dan di Malaysia secara amnya. Sebagai contoh kejadian banjir besar yang berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang, tanah runtuh di Batang Kali, tragedi kepala air yang berlaku di Kedah dan lain-lain lagi sudah cukup menakutkan kita dan ia juga merupakan satu teguran dari Allah SWT kepada kita. Bahkan banyak lagi sebenarnya musibah yang berlaku tetapi kita kadang-kadang kurang peka seperti berlaku bencana alam, kemalangan, kegagalan, kesusahan disebabkan kemiskinan hidup dan sebagainya.

Maka muhasabah sewajarnya dijadikan amalan seharian tidak hanya apabila menjelang setiap awal atau akhir tahun sahaja. Ini kerana tiada seorang pun terlepas daripada melakukan kesilapan atau sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT sama ada sengaja ataupun tidak dan ianya besar mahupun kecil. Malah, tiada seorang pun boleh mendakwa dirinya maksum atau terpelihara daripada melakukan sebarang kesalahan dan dosa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Setiap insan pasti melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat"

(HR Tirmizi dan Ibnu Majah)

Kini tahun 2023 bakal menjelma tidak lama lagi. Kita mestilah mengatur langkah dan menyusun strategi ke arah yang lebih baik dan positif bermula daripada diri sendiri, keluarga mahupun organisasi. Ianya menuntut kita untuk lebih bersedia dalam aspek rohani, mental dan material. Namun, walau dengan apa cara sekalipun persediaan yang dilakukan, ingatlah bahawa kita mestilah meletakkan keyakinan kepada ketentuan Allah SWT setelah berusaha, berdoa dan bertawakal kepada-Nya. Nilaikan kembali kelemahan dan kekurangan diri seperti sikap malas, pentingkan diri sendiri, bersangka buruk dan lain-lain. Berazamlah untuk berubah menjadi insan yang bertanggungjawab, rajin berusaha, mengambil berat terhadap orang lain dan berdaya saing untuk memacu kecemerlangan diri, keluarga dan organisasi ke arah kehidupan yang sejahtera dan makmur.

Setiap tahun pasti dalam kalangan kita telah menetapkan pelbagai azam. Justeru, bersempena tahun baharu ini, beberapa panduan bagaimana untuk memulakan perubahan dalam diri agar azam yang ditetapkan dapat dicapai dengan berkesan untuk diambil tindakan. Antaranya :

Pertama : Muhasabah dan meletakkan azam untuk menambah baik kehidupan setiap masa semata-mata kerana Allah SWT. Sebagai individu muslim, perlu kita bermuhasabah adakah kualiti solat fardhu dan sunat kita meningkat? Adakah kita banyak melakukan infaq, sedekah dan wakaf? Adakah kita berbuat baik sesama manusia? Adakah kita sentiasa solat berjemaah di masjid atau di surau? Adakah kita telah meninggalkan segala bentuk maksiat dan larangan Allah?

Tanamkanlah azam yang baik semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Sabda Baginda Nabi SAW :

"Manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara : masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang sakitmu, masa kayamu sebelum masa fakir (miskin) mu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, dan masa hidupmu sebelum datang masa matimu"

(HR Al-Baihaqi)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah perlu dimanfaatkan masa muda, masa sihat, masa kaya, masa lapang dan masa hidup kita untuk beribadah kepada Allah, bersyukur atas nikmat Allah dan berbuat yang terbaik dalam kehidupan bermasyarakat. Semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang beruntung. Aamiin Yaa Rabbal A’lamin.

Kedua : Perancangan dan Pelaksanaan. Setiap azam yang telah di tetapkan, hendaklah membuat perancangan yang teratur disusuli dengan pelaksanaan termasuk strategi atau pendekatan yang digunakan serta sumber untuk menggerakkannya supaya memberi impak yang terbaik. Setiap perancangan yang dilaksanakan itu, hendaklah menepati syariat Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah As-Saff ayat 2-3 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ ٢

كَبُرَ مَقْتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُوا۟ مَا لَا تَفْعَلُونَ ٣

"Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Ketiga : Istiqamah. Untuk mengekalkan sesuatu yang telah kita miliki, pasti akan mendepani pelbagai cabaran. Justeru itu, marilah kita beristiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepada perintah Allah serta kesabaran dalam meninggalkan larangan-Nya. Sentiasalah berdoa semoga kita akan terus istiqamah terhadap perubahan ke arah kebaikan dan sentiasa memperolehi petunjuk Allah SWT.

Sebagai penutupnya, marilah sama-sama kita bermuhasabah setiap amalan yang telah kita lakukan sepanjang tahun 2022 serta menginsafi atas segala ujian dan ketentuan yang Allah SWT berikan kepada kita semua. Antara pengajaran yang boleh kita ambil adalah seperti berikut :

  1. Dalam menghadapi musibah yang menimpa diri atau yang melanda manusia secara umum, perbuatan mengeluh, menyalahkan takdir dan menuding jari kepada orang lain perlu dielakkan kerana tidak akan menyelesaikan masalah.
  2. Setiap apa yang berlaku sama ada baik atau buruk adalah ketentuan Allah SWT dan manusia perlu sabar dan redha atas ujian-Nya.
  3. Umat Islam mestilah membuat persiapan dengan memperbanyakkan amal-amal soleh untuk kehidupan hari akhirat di samping tidak meninggalkan kepentingan kebahagiaan hidup di dunia ini.
  4. Perbanyakkanlah muhasabah bukan hanya sekadar mengingati dan menilai kelemahan serta dosa-dosa yang telah dilakukan bahkan dengan memaksa diri untuk kembali taat melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.
  5. Keampuhan strategi perlu disertakan dengan perubahan ke arah yang lebih baik dan letakkan keyakinan kepada ketentuan Allah SWT setelah berusaha, berdoa dan bertawakal kepada-Nya.

مَّنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ أَسَآءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّـٰمٍۢ لِّلْعَبِيدِ ٤٦

"Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya"

(Surah Fussilat : 46)

google-playkhamsatmostaqltradent