recent
Terkini | تركيني

Masa Lalu Sebagai Ibrah, Masa Hadapan Sebagai Harapan

Laman utama

Masa terus menginjak pergi. Secara sedar atau tanpa kita sedari, tahun 2022 telah pergi meninggalkan kita. Putaran masa membawa kepada pertambahan umur kita, menyebabkan baki pinjaman umur semakin berkurang. Kita hendaklah terus bergerak menyusur arus kehidupan mengikut taqdir Allah SWT dengan redha dan pasrah. Masa diuruskan oleh Allah, kita diminta untuk mengurus diri untuk mengikut masa.

Masa lalu biarlah berlalu. Yang baik itu jadikan tauladan dan kenangan dan yang buruk itu jadikan sempadan dan iktibar. Tahun 2023 kini telah membuka tirainya. Persoalannya adalah bagaimana kita boleh jadikan masa lalu itu sebagai ibrah manakala masa kini dan akan datang sebagai harapan dan cita-cita yang perlu dicapai.

Firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 140 :

وَتِلْكَ ٱلْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَآءَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ

"Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim"

Setiap yang berlaku itu terkandung sejuta hikmah disebaliknya. Sama ada ianya untuk peringatan kepada diri kita, saudara mara kita, sahabat handai kita malah memberi tauladan kepada insan-insan lain disekeliling kita. Yang lebih penting ingatlah bahawa perkara dan peristiwa yang bertandang didalam kehidupan ini menandakan Allah ingin menguji kita sama ada ianya berbentuk nikmat atau musibah, jika ianya nikmat dan kita bersyukur maka, Allah tambahi nikmat dan pahalaNya kepada kita, sebaliknya jika musibah dan ujian yang menimpa, bersabarlah; maka Allah memberikan kita tiga perkara iaitu, diberikan pahala kerana sabar, diampunkan dosa-dosa yang telah kita lakukan dan diangkatkan darjat kita disisiNya.

Nabi SAW bersabda di dalam sebuah Hadis Dari Suhaib bin Sinan Ar-Rumi RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

"Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya"

(Hadith Riwayat Muslim)

Kita selaku hamba Allah SWT, dituntut untuk bermuhasabah, sama ada kita telah menyempurnakan dan menunaikan segala kewajipan yang telah diperintahkan Allah kepada kita ataupun sebaliknya kita banyak sekali lalai dan alpa dalam perjalanan hidup ini. Ini termasuklah menilai kesungguhan kita dalam mentaati segala perintah seperti mendirikan sembahyang fardhu lima waktu dengan sempurna, mengeluarkan zakat, berpuasa, menjauhi perbuatan munkar seperti berdusta, viral perkara yang membawa kerosakan, beramal dengan rasuah dan seumpamanya.

Di samping itu, kita hendaklah juga menyemak atau memeriksa sama ada kita telah berjaya ataupun sebaliknya kecundang dalam soal menyempurna peranan dan melaksanakan tugas yang diamanahkan seperti tanggungjawab diri kita sebagai seorang ibu atau ayah kepada anak-anak, tanggungjawab sebagai seorang anak kepada ibubapa, tugas sebagai seorang pelajar, tugas sebagai seorang pegawai, penjawat awam atau pekerja, amanah sebagai seorang ketua dan sebagainya. Jika setelah bermuhasabah, kita dapati tugas dan tanggungjawab kita pada tahap yang baik, maka berusahalah menuju ke arah yang lebih baik lagi. Jika tidak, berazamlah dan berusahalah supaya ditahun baru ini kita dapat melaksanakan dengan lebih baik dan cemerlang.

Adakalanya kita menjadi orang yang sangat mudah berjanji. Ada-ada saja janji yang kita taburkan pada orang di sekeliling kita. Janji adalah ikatan. Selagi kita tidak sempurnakan, ianya terus terikat dan membelenggu diri kita sehingga bila-bila. Renung-renungkanlah jika pada tahun ini kita mampu menunaikan segala janji yang kita ikrarkan jika ada. Kotakanlah janji yang kita buat sedaya yang termampu kerana ianya akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak.

Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya ialah berhutang. Jangan pandai berhutang jika kita tidak mampu melangsaikannya. Ayuhlah kita...ditahun ini jika ada saki baki hutang yang tidak dapat kita lunaskan pada tahun-tahun lalu, berusahalah kita lunaskan secara berdikit-dikit atau dibayar secara konsisiten kepada tuan empunyanya.

Ingatlah baginda Nabi SAW pernah mengingatkan dalam Hadis Baginda : 

"Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya"

(HR al-Bukhari)

Usaha dan ikhtiar itu mestilah secara berterusan dan dengan sepenuh hati. Kata pepatah "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Jangan berputus asa dalam usaha, kerana kita merancang, Allah Maha Penentu. Sentiasalah berpijak diatas landasan yang benar dan bermatlamat mencari keredhaan Allah. Allah tidak akan mensia-siakan usaha hamba selagi mana hambaNya masih berpaut pada inayahNya dan sentiasa mengharapkan keredhaanNya.

Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah berpesan, sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Nasaihul Ibad karya Ibnu Hajar al-Asqalani, katanya : "Jadikanlah dirimu manusia yang paling baik di sisi Allah, dan jadikanlah dirimu manusia yang paling jelek dalam pandangan dirimu sendiri, serta jadilah dirimu manusia yang (biasa) normal di hadapan orang lain".

وَٱلْعَصْرِ ١

إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ ٢

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ ٣

"Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar"

(Surah Al-Asr : 1-3)

google-playkhamsatmostaqltradent