Bulan Syaaban merupakan salah satu bulan yang agung dan merupakan bulan kelapan dalam kiraan takwim hijrah selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Syaaban membawa maksud berpecah-pecah. Perpecahan ini bererti bangsa Quraisy terpaksa berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari air di tengah-tengah padang pasir. Sebahagian pula berpendapat, Syaaban itu bererti pemisah, kerana Syaaban adalah pemisah antara bulan Rejab dan Ramadan.
Rasulullah SAW menjelaskan Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak, dengan nilai berganda bagi mereka melaksanakan kebaikan dan ibadat dengan ikhlas dan bersungguh. Baginda pernah bertanya kepada sahabat : "Tahukah kamu sekalian mengapa bulan ini dinamakan Syaaban?" Mereka menjawab : "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui". Baginda menjawab : "Kerana pada bulan ini bercabang banyak kebaikan".
Dengan keutamaan yang ada pada Syaaban ini, Baginda memanfaatkan kesempatan untuk meningkatkan prestasi ibadat dan amal kebaikan sehingga seolah-olah Baginda tidak pernah melakukan sedemikian pada bulan lain.
Banyak peristiwa yang berlaku ketika Nisfu Syaaban yang wajar kita ketahui, antaranya :
Pertama : Perpindahan kiblat umat Islam.
Menurut dalam tafsir At-Thabari, sejarah pertukaran arah kiblat dari Masjid Al-Aqsa ke Kaabah berlaku pada bulan Syaaban tahun ke-2 hijrah ketika Baginda Nabi SAW ke Madinah. Pada waktu itu, majoriti penduduk Madinah adalah dalam kalangan Yahudi di mana kiblat mereka adalah menghala ke Baitul Maqdis. Melihat keadaan itu, orang-orang Yahudi sangat gembira dengan perbuatan Rasulullah SAW kerana mereka beranggapan seolah-olah Rasulullah SAW meniru kaum Yahudi dan Nasrani dalam beribadah. Sedangkan Baginda SAW lebih menyukai jika kiblat menghala ke arah Baitullah.
Disebabkan itu, Nabi SAW berdoa lalu Allah perkenankan doa Baginda SAW. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 144 :
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ
Maksudnya: "Sering Kami melihat kamu (wahai Muhammad) berulang kali menadah ke langit, maka Kami benarkan kamu berpaling mengadap kiblat yang kamu sukai, oleh itu halakan mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); Dan di mana saja kamu berada, maka hadaplah mukamu ke arahnya"
Kedua : Pengampunan dosa oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya.
Bulan yang penuh dengan kemuliaan ini sangat dituntut kepada kita semua agar menjadikan bulan ini diisi dengan amal ibadah seperti bertaubat, berselawat ke atas Nabi, berzikir, bertasbih dan sebagainya.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan"
(Sahih Ibn Hibban)
Berdasarkan hadis tersebut, pengampunan akan diberikan kepada semua makhluknya melainkan mereka yang menyekutukan Allah dan mereka yang bermusuhan. Maka sewajarnya, perlulah dihiasi dengan pelbagai amal ibadah serta taqwa kepada Allah SWT. Di antara amal ibadah itu ialah bertaubat, berselawat ke atas nabi, berzikir, bertasbih dan sebagainya. Contohnya amalan yang sinonim dengan masyarakat kita pada hari ini iaitu dengan membaca surah Yasin 3 kali setiap kali tibanya malam nisfu syaaban. Antara yang didoakan :
- Memohon dipanjangkan umur untuk mentaati segala perintah dan menjauhi larangan Allah SWT
- Memohon keluasan rezeki yang halal serta diberkati
- Memohon ditetapkan iman yang sempurna
Amalan seumpama ini sangat dianjurkan kerana Nabi SAW tidak pernah mengkhususkan sesuatu amalan selagi tidak bertentang dengan syariat.
Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam bulan Syaaban memberi seribu makna kepada kita semua. Di sebalik yang berlaku tersebut membawa mesej dan hikmah yang tersendiri, Antaranya :
Pertama : Pertukaran arah kiblat menjadi satu simbolik kepada kesatuan dan perpaduan umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah seolah-olah mengajar kita supaya sentiasa menjadi lebih baik terutama dari sudut memperolehi redha Allah SWT. Ia juga termasuk yang berlaku dalam kehidupan seharian kita, redha Allah mestilah diutamakan. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud :
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam)"
Kedua : Perbanyakkan zikir kepada Allah sebagai satu latihan sebelum datangnya bulan Ramadan. Kemuliaan malam Nisfu Syaaban dikenal sebagai malam penentuan takdir, penuh pengampunan, serta penuh pertolongan Allah boleh menghindarkan diri kita dari terhanyut sementara menanti bulan sesudahnya iaitu bulan Ramadan. Sebagaimana seseorang yang berzikir di tempat orang-orang yang lalai dari ingat kepada Allah, maka zikir itu akan menjadikan amalan itu sangat istimewa. Hikmahnya, jika kita melakukan amalan-amalan baik, maka malam Nisfu Syaban membuat kita tidak tergolong sebagai orang-orang yang lalai. Dan secara tidak langsung menjadikan pembakar semangat melakukan puasa wajib di bulan Ramadan. Imam As-Shafie menyebut dalam kitab Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya selalu dikatakan bahawa permohonan akan dikabulkan dalam lima malam, yaitu malam Jumaat, malam hari raya Idul Adha, malam hari raya Idul Fitri, awal malam di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban"
Berdasarkan apa yang telah dinyatakan, jelaslah kepada kita agar mengambil kesempatan demi mencapai keampunan dari Allah SWT. Marilah sama-sama kita muhasabah diri sebelum kedatangan Ramadhan untuk memperbaiki diri dalam mencapai mardhatillah, Amin Ya Rabbal a’lamin.
Kesimpulan yang boleh kita hayati adalah :
- Tingkatkan usaha untuk memperbanyakkan amal ibadah dan melatih beristiqamah dalam beramal semata-mata kerana Allah SWT.
- Lakukan ibadah kepada Allah SWT dengan memastikan kesempurnaannya mengikut ajaran Islam yang sebenar.
- Perbanyakkan selawat ke atas junjungan baginda SAW sebagai satu cara kasih kepada baginda SAW.
- Lazimkan diri kita dengan sentiasa mempertingkatkan ibadah sunat kepada Allah SWT sebelum bertemu bulan Ramadan.