Ramadhan adalah bulan yang ke sembilan dalam kalendar Islam. Ramadhan memiliki keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri berbanding bulan-bulan yang lain. Allah SWT melebihkan Ramadhan dari bulan-bulan yang lain, antaranya ialah pada bulan ini diturunkan kitab suci al-Quran al-Karim di dalamnya.
Ramadhan juga memiliki satu malam yang nilai ibadah pada malam tersebut adalah lebih baik dari seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar. Pahala beribadah pada bulan Ramadhan digandakan berbanding ibadah pada bulan-bulan yang lain. Pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya.
Ini semua adalah sebahagian daripada kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki oleh bulan Ramadhan dan tidak dimiliki oleh bulan-bulan yang lain. Sungguh istimewa bulan Ramadhan ini. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud :
"Telah datang kepada kamu bulan yang penuh barakah, diwajibkan kepada kamu ibadah puasa, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu-pintu neraka serta segala syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak mendapatkan kebaikannya bererti ia telah benar-benar terhalang atau terjauhkan (dari kebaikan)"
Pejam celik, sedar atau pun tidak, lebih kurang satu minggu dari sekarang kita akan menyambut kedatangan Ramadhan bagi tahun 1444 Hijri. Sungguh cepat masa berlalu.
Walau bagaimanapun, bulan Ramadhan sememangnya amat dirindui kedatangannya oleh setiap lapisan masyakat kita. Anak-anak kita gembira menyambut kedatangan Ramadhan kerana inilah masanya mereka dapat pergi ke masjid dengan bebas sehingga lewat malam. Walaupun mungkin mereka tidak bersolat tarawih, tetapi mereka dapat bermain-main dengan rakan sebaya. Kalangan peniaga pula tidak sabar menanti kedatangan Ramadhan kerana inilah masanya untuk mereka mencari rezeki yang lebih berbanding bulan-bulan yang lain.
Kalangan ahli kumpulan tadarus al-Quran pula semestinya sudah bersedia untuk memulakan aktiviti tadarus masing-masing. Kalangan ahli ibadah pula pasti telah membuat persiapan untuk bersolat tarawih, qiamullail, tadarus al-Quran dan sebagainya.
Boleh dikatakan segenap lapisan umat islam sememangnya akan sibuk dengan peranan masing-masing di sepanjang Ramadhan. Ini jelas menunjukkan bahawa Ramadhan amat istimewa dan kedatangannya membawa satu suasana yang tidak dapat kita rasai di bulan-bulan yang lain.
Namun apa yang lebih penting di sebalik setiap kegembiraan dan kemeriahan ini adalah ibadah puasa yang menjadi tuntutan ke atas kita semua yang mukallaf. Ini merupakan tuntutan yang wajib dan mesti dilaksanakan dengan sempurna. Siapa pun kita dan walau sesibuk mana sekali pun kita di bulan Ramadhan dengan tugasan harian, maka jangan sekali-kali semua kesibukan tersebut menjejaskan ibadah puasa yang menjadi tuntutan wajib atas kita semua.
Di samping tuntutan wajib berpuasa pada siang hari, kita dituntut pula untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat terawih dan lain-lainnya. Janganlah disebabkan keletihan berpuasa dan bekerja mencari rezeki di siang hari menyebabkan kita meninggalkan ibadah sunat di malam hari. Buatlah walaupun sedikit dan janganlah ditinggalkan terus. Ya, kita semua pastinya letih namun inilah masanya untuk kita mengaut pahala sebanyak mungkin dan tempohnya tidaklah lama, hanya 30 hari sahaja. Keletihan akan hilang setelah kita tidur dan berehat pada waktu malam, namun pahala kebajikan yang kita lakukan akan kekal di dalam buku amalan. Rebutlah peluang ini sementara kita masih memilikinya.
Setiap amal ibadah yang kita lakukan mestilah berlandaskan kepada ilmu pengetahuan dan bukannya dilakukan dengan semberono. Amal ibadah yang dilakukan tanpa ilmu, tidak akan diterima oleh Allah SWT. Demikianlah ibadah puasa yang akan kita laksanakan tidak lama lagi. Sebaiknya sebelum kita sama-sama menempuh Ramadhan kali ini, elok kiranya kita mengulangkaji semula hukum-hakam berkaitan dengan ibadah puasa. Ini secara tidak lansung akan memantapkan lagi persediaan kita untuk melaksanakannya. Janganlah kita hanya sibuk dengan persiapan menu juadah berbuka puasa dan bersahur, tetapi lupa membuat persiapan ilmu berkaitan fiqh puasa yang amat penting.
Puasa Ramadhan jika dilakukan dengan penuh penghayatan sememangnya ia dapat membentuk kita menjadi seorang Muslim yang bertaqwa kepada Allah SWT. Apabila sifat taqwa ada dalam diri setiap Muslim, maka kita akan melihat suasana kehidupan manusia akan lebih teratur dan dipenuhi dengan kebaikan. Kadar kes jenayah sudah semestinya akan berkurangan disebabkan rasa takut kepada Allah SWT semakin menebal. Masalah sosial akan dapat kita atasi dengan izin Allah SWT. Semua ini akan dapat kita saksikan apa-bila manusia memiliki sifat taqwa dalam diri masing-masing, dan sifat taqwa ini dapat kita miliki melalui ibadah puasa yang akan sama-sama kita jalani.
Semoga Ramadhan kali ini akan membawa seribu kebaikan buat kita semua, dan mudah-mudahan setiap amal yang kita lakukan akan diterima oleh Allah SWT.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa"