Alhamdulillah... kita masih diberikan ruang dan peluang oleh Allah SWT untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi Allah SWT ini, dan yang lebih penting lagi, Allah SWT mengizinkan sekalian anggota badan kita untuk melakukan amal ketaqwaan kepadaNya. Mudah-mudahan amal ibadah yang kita laksanakan ini, diterima oleh Allah SWT dan menjadi asbab layaknya kita, untuk mendiami syurga Allah SWT di hari akhirat kelak insya Allah aamin ya rabbal aalamiiin.
Hari ini tanggal 15 Ramadhan 1444 Hijriyyah, dan pada malam 17 Ramadhan ini, menyaksikan suatu peristiwa yang besar, sejarah yang terpahat utuh, berlaku ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, iaitu peristiwa penurunan wahyu yang pertama yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW atau lebih dikenali dengan peristiwa Nuzul Al-Quran.
Nuzul Al-Quran yang berlaku dalam bulan Ramadhan ini mengandungi maksud yang tersendiri, iaitu :
Pertama : Turunnya secara keseluruhan Al-Quran dari Lauhil Mahfuz ke Baitil Izzah di langit dunia pada malam al-Qadar di dalam bulan Ramadan.
Kedua : Al-Quran adalah wahyu Allah SWT buat kali pertamanya diturunkan kepada Rasulullah SAW pada malam ke 17 dalam bulan Ramadan, 13 tahun sebelum peristiwa hijrah baginda SAW ke bumi Madinah al-Munawwarah.
Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Baginda Nabi SAW. Ketahuilah bahawa Al-Quran sebenarnya adalah penunjuk jalan yang lurus dan pedoman untuk kita yang merupakan pengembara di muka bumi Allah SWT. Barang sesiapa yang mengamalkan ajaran Al-Quran serta mengikut petunjuknya, maka sudah tentu dia selamat dan mendapat keselamatan di dalam perjalanannya menuju redha Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 89 :
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ تِبْيَـٰنًۭا لِّكُلِّ شَىْءٍۢ وَهُدًۭى وَرَحْمَةًۭ وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
Maksudnya : Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Qur'an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam.
Ketahuilah bahawa sesungguhnya al-Quran yang sentiasa menjadi teman seharian kita itu merupakan penyelamat manusia dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keimanan. Jika kita tidak menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dalam hidup ini di khuatiri syaitan akan mengambil kesempatan untuk mempengaruhi setiap tindakan yang kita dilakukan.
Peringatan Allah SWT melalui firmannya dalam Surah al-Zukruf ayat 36 :
وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ ٱلرَّحْمَـٰنِ نُقَيِّضْ لَهُۥ شَيْطَـٰنًۭا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٌۭ ٣٦
Maksudya : Sesiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
Beberapa kaedah untuk menjadikan al-Quran sebagai pendamping dan teman abadi kita :
Pertama, sebagai umat islam kita seharusnya mengambil peluang untuk sentiasa mempelajari al-Quran, bertadabbur dengannya dan berusaha menghayati dalam segenap kehidupan.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau"
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Kedua, bagi membuktikan sentiasa bersahabat dengan al-Quran, maka kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menghafaz ayat-ayatnya sekadar termampu, meskipun surah-surah yang pendek, agar hafazan tersebut boleh menjadi penenang, penyubur dan sumber inspirasi dan kekuatan dalaman kita.
Ketiga, sebagai umat Islam kita hendaklah meyakini akan mukjizat al-Quran sebagai kitab agung yang dikurniakan oleh Allah SWT yang menjanjikan kemuliaan terutama bagi mereka yang sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran.
Allah menjanjikan bahawa Al-Quran ini boleh memberi ketenangan kepada jiwa-jiwa yang kosong dan bermasalah. Kepada sesiapa yang menghadapi kecelaruan dalam jiwanya dan merasa tidak tenang, dekatilah al-Quran tidak kira pagi, petang, siang mahupun malam. Baca dan fahamilah, mudah-mudahan menjadi penawar untuk menenangkan kita.
Justeru itu, bermula dari saat ini, berazamlah di dalam hati kita bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, bersempena dengan turunnya Al-Quran ke dunia ini, kita bertekad dengan azam ;
- Ya Allah, kami berazam ya Allah dalam seharian kami, basahilah lidah ini dengan ayat-ayat suciMu.
- Bantulah kami ya Allah, untuk kami memahami kehendak di dalamnya dan seterusnya, dengan taufik hidayahMu jua, kami mampu melaksanakan tuntutan Al-Quran dalam kehidupan kami.
- Bantulah kami ya Allah, sehingga Al-Quran dapat menjadi buah hati kami, Al-Quran kekasih kami, Al-Quran menjadi peneman hidup kami, sehingga kami meninggal dunia ya Allah.
Mudah-mudahan Allah SWT mempermudahkan urusan kita semua untuk mencintai Al Quran dan sudah tentu kita akan mendapat kebahagian di dunia dan di akhirat Insya Allah.
Aamin ya Rabbal aalamiin.
يَهْدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضْوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِهِۦ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ١٦
Maksudnya : Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya, dan (dengannya) Allah SWT keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Allah SWT menunjukkan mereka ke jalan yang lurus