recent
Terkini | تركيني

Rebutlah Peluang Ramadhan Yang Masih Berbaki

Laman utama

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan kelebihan. Allah SWT menjanjikan rahmah, kasih sayang dan pengampunan-Nya ke atas sekalian hamba-Nya pada bulan ini. Begitulah sifat Allah SWT yang Maha Pemurah, mengurniakan kita dengan pelbagai bentuk limpahan rahmah, khususnya pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.

Sebenarnya, kita sudah pun berada di dalam fasa sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Alangkah cepatnya masa berlalu meninggalkan kita. Ini bererti, masa yang berbaki daripadanya adalah sedikit. Maka kita perlu bersegera menggiatkan lagi usaha bagi meraih peluang ganjaran berlipat ganda, kasih sayang dan pengampunan daripada Ilahi. Berkaitan dengan hal ini Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Sayyidatina Aishah RA yang bermaksud :

"Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (beribadah apabila telah masuk) malam-malam sepuluh (terakhir) yang tidak pernah beliau lakukan pada malam-malam lainnya"

Antara kelebihan yang terdapat pada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan ini ialah Lailatul Qadar. Ia adalah malam turunnya para malaikat yang mendoakan keampunan ke atas mereka yang cekal beribadah sepanjang malam. Ia adalah malam yang dipenuhi kegemilangan dan limpahan rahmah serta berkat. Allah SWT menyifatkan Lailatul Qadar sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadr, ayat 1-5 :

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ ١ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ ٢ لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌۭ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ ٣ تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍۢ ٤ سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ ٥

Maksudnya : "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Qur'an) ini pada Malam Laitatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Dalam menerangkan maksud ayat "Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan", Imam Ibnu Jarir ath-Thabari dan Imam Ibnu Katsir menukilkan kata-kata Sufyan ats-Tsauri yang bermaksud : "Amal (soleh), puasa dan solat pada malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan (seseorang melakukan ibadah)"

Alangkah besarnya ganjaran dan kelebihan yang diraih sekiranya ibadah kita bertepatan dengan malam berlakunya Lailatul Qadar itu. Jika dianggarkan, tempoh masa seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun! Oleh kerana itu, janganlah kita mensia-siakan peluang ini untuk memperoleh ganjaran, rahmah dan pengampunan daripada Allah SWT. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud :

"Siapa yang bangun beribadah (solat dan sebagainya) pada malam al-Qadr dalam keadaan beriman dan mengharapkan ganjaran, akan diampunkan dosanya yang telah lalu...."

Tentu ramai dalam kalangan kita yang menanti-nantikan ketibaan Lailatul Qadar. Namun, apakah persiapan-persiapan yang sewajarnya kita lakukan sepanjang sepuluh malam terakhir ini bagi mencari malam istimewa itu?

Pertama, persiapan itu hendaklah bermula dengan menanamkan tekad dan semangat untuk memperoleh Lailatul Qadar itu. Pada setiap tahun Allah SWT akan mengurniakan Lailatul Qadar dan pasti ada sebahagian daripada hamba-hamba-Nya yang berjaya memperoleh keberkatan malam tersebut. Bagaimana pula diri kita? Sekiranya bukan pada tahun ini kita berusaha, meningkatkan amal ibadah untuk mendapatkan kelebihan malam tersebut, bila lagi agaknya? Esok lusa belum tentu lagi ada jaminannya umur kita.

Kedua, Lailatul Qadar adalah kurniaan Allah SWT kepada sesiapa yang layak untuk menerimanya. Oleh itu, perhatikan ibadah puasa kita di siang hari, perbanyakkanlah berzikir dan mengingati Allah SWT sepanjang hari. Melalui penjagaan amal ibadah ini akan membuatkan kita lebih terbuka dan bersedia untuk mendirikan amal ibadah pada sepertiga malam nanti dengan harapan kita dikurniakan malam yang mulia itu.

Antara amalan yang digalakkan untuk kita melakukannya pada sepuluh malam yang terakhir terutamanya pada malam al-Qadr itu ialah beriktikaf. Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud :

Daripada Aishah RA, isteri Nabi SAW, sesungguhnya Nabi SAW melakukan i'tikaf pada (setiap) sepuluh malam terakhir daripada bulan Ramadhan hingga Allah mewafatkan Baginda. Amalan beriktikaf ini kemudiannya dilakukan juga oleh isteri-isteri Baginda setelah kewafatan Baginda.

Selain itu, adalah digalakkan juga untuk membanyakkan ibadah seperti solat sunat, bacaan al-Quran, zikir dan doa. Dalam sebuah hadis ada dinyatakan bahawa sayyidatina Aishah RA berkata yang bermaksud :

"Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kainnya (mempertingkatkan amal ibadah), menghidupkan malamnya (dengan amal ibadah) dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk solat malam dan beribadah)"

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW adalah seperti :

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

Mafhumnya : "Ya Allah, sesungguhnya, Engkau Maha Pemaaf, dan Engkau suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku"

Akhirnya, marilah kita perkukuhkan jiwa kita dengan keimanan, hati kita dengan ketakwaan, perbanyakkanlah berdoa di hari-hari yang terbaki dari bulan suci ini. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita peluang pada Ramadhan kali ini untuk mensucikan diri kita dan juga harta kita, sehingga membawa ketenangan dan kesejahteraan ke dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

google-playkhamsatmostaqltradent