Alhamdulillah, hari ini 7 Syawal 1444 H kita masih berada dalam suasana 'Idil Fitri dan kemeriahannya masih terasa. Bulan Syawal juga dilihat sebagai satu medan untuk menentukan sama ada amalan kita di bulan Ramadhan benar-benar terkesan di hati dan perbuatan kita. Sekiranya kita masih mengekalkan rutin ibadah di bulan Ramadhan seperti membaca al-Quran, bersolat di awal waktu, sabar dengan ujian, tidak mengumpat atau menjauhi dari segala perbuatan yang membawa kepada maksiat, bererti madrasah Ramadhan telah membuatkan kita benar-benar menjadi mukmin yang sejati. Namun, jika kita telah meninggalkan amalan-amalan pada bulan mulia itu, bererti kita hanya sekadar beribadat mengikut adat dan budaya sahaja, bukan ikhlas kerana Allah subhanahu wa ta'ala.
Sementara itu, janganlah kita lupakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, Rasulullah sollallahu 'alaihi wa salam bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya"
(Hadis Riwayat At-Tabrani)
Manusia dijadikan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi ini dan dituntut beribadah kepada Allah subhanahu wa ta'ala demi meraih kehidupan yang lebih abadi di akhirat kelak. Allah subhanahu wa ta'ala berfirman dalam surah al-An'am ayat 165 :
وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَكُمْ خَلَـٰٓئِفَ ٱلْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍۢ دَرَجَـٰتٍۢ لِّيَبْلُوَكُمْ فِى مَآ ءَاتَىٰكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ ٱلْعِقَابِ وَإِنَّهُۥ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۢ ١٦٥
Maksudnya : "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"
Bersempena dengan hari pekerja yang akan disambut pada 1 Mei setiap tahun, kita dianjurkan supaya menghargai titik peluh setiap orang yang bergelar pekerja. Penghargaan ini diterjemahkan dengan diberikan cuti wajib sempena hari pekerja di seluruh dunia. Begitu juga di negara kita. Hasil usaha keras para pekerja di segenap peringkat maka kita dapat melihat dan merasai pembangunan dan kemakmuran di hadapan kita ini. Kemakmuran dan kedamaian ini menyebabkan ramai warga asing sanggup mengorbankan nyawa, harta dan wang ringgit semata-mata untuk berhijrah mengubah nasib diri dan keluarga di negeri orang.
Kerja bermaksud melakukan sesuatu tindakan atau aktiviti, sama ada dengan tujuan mendapat upah atau tidak. Sementara itu ibadah pula ialah melakukan apa yang diperintahkan tuhan sesuai dengan syarak dan diberikan pahala atau ancaman dosa bila melanggarinya. Kita telah diajar oleh Baginda Rasulullah sollallahu 'alaihi wa salam untuk bekerja demi mencari nafkah diri dan orang yang di bawah tanggungan kita. Perhatikan Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wa salam sendiri bekerja sebagai pengembala kambing dan pedagang, Nabi Adam sebagai petani, Nabi Idris sebagai tukang jahit, Nabi Nuh sebagai tukang kayu dan Nabi Daud sebagai tukang besi. Pendek kata, kita perlu berusaha mencari rezeki yang telah Allah janjikan.
Islam menunjukkan bahawa kerja adalah sunnah para Rasul. Sebagai contoh Rasulullah sollallahu 'alaihi wa salam bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya"
(Hadis Riwayat at-Tabrani)
Justeru, banyak kelebihan bekerja yang dikatakan oleh Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wa salam dan Baginda juga tidak menyukai golongan yang tidak berusaha mencari rezeki sendiri atau menganggur. Lihatlah betapa ramai di antara kita yang bangun di waktu pagi keluar dari rumah mencari rezeki. Bahkan ada sebahagian yang sanggup meninggalkan kampung halaman semata-mata mencari rezeki yang lebih baik di tempat lain. Ruginya apabila pekerjaannya itu tidak membawa apa-apa imbuhan akhirat dan hanya mendapat imbuhan sekadar di dunia sahaja.
Dalam suasana kita bekerja, suatu perkara yang pasti dititik beratkan ialah menjaga keselamatan diri dan nyawa sewaktu bekerja. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia pada tahun 2021 sebanyak 21,534 kes kecederaan pekerjaan telah direkodkan di seluruh Malaysia, di mana 301 daripadanya adalah kes menyebabkan kematian. Justeru, kita perlulah sentiasa berdoa dan berusaha meningkatkan aspek keselamatan di tempat-tempat kerja supaya pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang, trend kemalangan pekerjaan di negara kita akan bertambah baik. Insya-Allah.
Melaksanakan sesuatu pekerjaan dalam kehidupan adalah dituntut dalam agama. Menjaga nyawa juga adalah kewajiban di dalam Islam. Justeru, apabila kita bekerja dan menjaga nyawa diri sendiri dan orang lain, secara tidak langsung kita telah menjalankan dua perkara yang dituntut dalam Islam. lanya bertepatan dengan tema sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia tahun ini laitu memastikan persekitaran kerja yang selamat merupakan hak asasi setiap pekerja dan dituntut dari setiap umat Islam.
Kesimpulannya :
- Kerja dan ibadah hendaklah seiring
- Islam menggalakkan umatnya bekerja untuk menyara diri dan keluarga
- Orang yang bekerja disukai Allah, Rasul dan manusia.
- Bekerja adalah fitrah manusia
- Niat adalah suatu yang membezakan antara dikira urusan dunia atau akhirat.
- Ilmu sangat penting dalam urusan kehidupan dunia atau akhirat kita.
Akhirnya marilah kita berazam disamping berusaha dengan lebih baik dan cemerlang dalam setiap gerak geri dan kerja kita. Di samping menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai seorang hamba tuhan dan khalifah dibumi. Alangkah beruntungnya jika segala usaha kita selama ini mendapat redha Ilahi.