recent
Terkini | تركيني

Guru Insani Pemangkin Generasi Madani

Laman utama

Sesungguhnya Islam sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Bahkan Allah SWT mengiktiraf kedudukan orang yang berilmu, sebagaimana dalam surah al-Mujadalah ayat 11

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ 

"Allah meninggikan kedudukan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan"

Ayat tersebut jelas menunjukkan Allah SWT mengangkat tinggi nilai-nilai keilmuan dan yang berkaitan dengannya, termasuklah orang yang menyampaikan ilmu dan penuntut ilmu. Ini menunjukkan martabat guru sangat tinggi dan mulia selaras dengan ketinggian ilmu itu sendiri.

Guru berperanan sebagai duta rahmah yang sentiasa kreatif dan inovatif untuk mendepani gelombang transformasi Pendidikan. Mereka bertanggungjawab melahirkan generasi muda yang patriotik, berilmu dan memiliki jati diri yang kukuh untuk mendepani kehidupan di dunia dan menggapai kebahagiaan di akhirat. Guru juga berperanan menyediakan pengajaran yang bermakna, membimbing dan mentarbiyah anak bangsa sehingga mencapai maqasid pendidikan dan karamah insaniyah dengan melalui pembudayaan Ilmu.

Dari Abu Umamah Al Bahili, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : 

"Sesungguhnya Allah dan malaikat dan seluruh penduduk langit dan bumi sehinggakan semut di dalam lubang dan ikan di lautan turut mendoakan guru yang mengajar kebaikan kepada manusia"

(Riwayat Imam Tirmizi)

Kerjaya sebagai seorang guru merupakan pekerjaan yang mulia. Mereka bukan sahaja berilmu dan menyampaikan ilmu, malah mereka juga adalah muallim, mudarris, muaddib, murabbi dan mursyid yang merujuk kepada peranan dan penglibatan guru terhadap usaha-usaha membentuk akhlak dan kecemerlangan para pelajar.

Sedarlah siapa pun kita pada hari ini, di manapun kedudukan kita, semuanya adalah hasil daripada jasa dan pengorbanan guru. Justeru, wajarlah mereka dihargai bersesuaian dengan kedudukan dan kemuliaan guru yang telah di angkat dalam Islam.

Sesuai dengan nilai dan makna pendidikan, maka hari ini, peranan guru adalah sangat besar dan mencabar untuk melahirkan pelajar yang cemerlang ilmu dan adab. Untuk ini guru perlu memberi komitmen yang terbaik sekaligus merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) dan sekali gus mewujudkan suasana "Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera".

Adab dalam menuntut ilmu sangat dititik beratkan untuk mendapat keberkatan. Imam Malik Rahimahullah pernah berkata kepada seorang pemuda Quraisy : "Pelajarilah adab sebelum mempelajari suatu ilmu".

Para Sahabat Nabi sangat memuliakan guru mereka. Urwah ibn Mas’ud menceritakan bagaimana para Sahabat Nabi amat menghormati guru mereka iaitu Rasulullah SAW.

Menurut beliau : "Para sahabat akan bercakap dengan suara yang rendah (sopan) ketika bertutur dengan Baginda SAW, serta tidak menajamkan pandangan mereka (merenung dengan tajam) kerana menghormati Rasulullah SAW".

Imam Nawawi berkata dalam kitab al-Majmu’ : "Seorang murid hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penghormatan. Hendaklah dia meyakini keahlian gurunya berbanding yang lain. Kerana perkara itu akan menjadikan seorang murid dapat mengambil banyak manfaat daripadanya, dan lebih dapat memberi kesan dalam hati terhadap apa yang di dengari daripada guru tersebut".

Justeru, jelaslah kepada kita bahawa adab ketika menuntut ilmu akan mewujudkan hubungan harmoni antara guru dan murid. Nilai ini sudah pastinya dapat melahirkan generasi pelajar yang beretika dan bersahsiah tinggi untuk mendepani keperluan semasa dan cabaran akan datang bagi melahirkan insan cemerlang.

Dewasa ini, cabaran sebagai seorang pendidik bukan hanya berhadapan dengan karenah murid-murid di sekolah sahaja. Hilangnya hormat dan adab kepada seorang guru telah menjadi perkara biasa. Jika nilai hormat kepada guru kian pudar, kita bimbang hilangnya keberkatan dalam menuntut ilmu. Justeru sidang jumaat sekalian, marilah kita saling berganding bahu membantu guru untuk memastikan anak- anak kita memiliki adab dalam menuntut ilmu.

Daripada Ubadah bin As-Somid Radhiallahu, Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Bukanlah termasuk golongan kita orang yang tidak menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua, dan mengetahui keutamaan ulama kita"

(Riwayat Imam Ahmad)

Kesimpulannya, 

Pertama : Umat Islam hendaklah menyakini bahawa menuntut ilmu merupakan satu kewajipan ke atas setiap individu.

Kedua : Umat Islam hendaklah menyakini bahawa menghormati guru merupakan satu amalan yang mulia khususnya untuk memperoleh keberkatan dalam menuntut ilmu.

Ketiga : Umat Islam hendaklah memahami bahawa peranan melahirkan ABC (Anak yang Baik lagi Cerdik) adalah tanggungjawab bersama.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ ٦٩

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya"

(Surah Al-'Ankabut : 69)

google-playkhamsatmostaqltradent