PERGI TAK KEMBALI | Waktu amat mencemburui kita, sedar atau pun tidak. Waktu tetap akan meninggalkan kita tanpa sesaat yang berbaki. Setelah bulan Ramadhan Al-Mubarak berlalu pergi meninggalkan kita, kini Syawal pula akan menutup tirainya. Hari-hari di dalam hidup kita akan terus berkitaran, yang berlalu akan terus berlalu, yang pergi tidak akan kembali lagi.
Bergembiralah bagi mereka yang memenuhi masa-masa berlalu dengan pelbagai ibadah dan kebajikan. Dan rugilah mereka yang telah diberi peluang dan kesempatan menikmati setiap inci kehidupan di dunia ini tetapi tidak berupaya mendapat keampunan daripada Allah subhanahu wa ta'ala. Allah telah menjanjikan pelbagai tawaran keampunan dan rahmat selagi hayat dikandung badan. Namun masih ada sebahagian kita mensia-siakan masa yang dikurniakan bahkan ada lagi yang masih tenggelam bergelumang dalam dosa dan maksiat.
Persoalannya kini, adakah kita telah mengambil iktibar daripada waktu yang telah dan sedang meninggalkan kita? Kita juga satu hari nanti umpama waktu, akan PERGI TAK KEMBALI dalam kehidupan ini. Bagaimanakah pula akan persiapan dan bekalan kita menuju Ilahi? Soalan ini perlu ditanya kepada diri kita sendiri dan jawapannya hanya kita yang tahu.
Usahalah lakukan persiapan untuk hari di mana tiada pertolongan lagi, dan hanya mengharapkan kasih sayang, rahmat daripada Allah sebagai penyelamat agar dimasukkan kita ke dalam syurga Allah subhanahu wa ta'ala.
Maka beruntunglah bagi sesiapa yang berjaya menikmati nikmat kehidupan di alam sana nanti. Perasaan suka, bergembira sudah pasti akan dirasai. Sebagaimana sabdaan Baginda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam dalam hadis baginda, yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitabnya yang bermaksud :
Daripada Ubadah Ibn Somith, Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam pernah bersada : "Barang siapa yang suka untuk bertemu dengan Allah, maka Allah pun suka untuk bertemu dengannya, dan barang siapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun tidak suka untuk bertemu dengannya. Aisyah rodhiallahu 'anha atau sebahagian isteri Baginda shollallahu 'alaihi wa salam berkata : "Sesungguhnya kami memang tidak senang untuk bertemu dengan kematian". Nabi shollallahu 'alahi wa salam bersabda : "Usahlah begitu, akan tetapi seorang Mukmin apabila kedatangan maut (mati) kepadanya, mukmin itu akan diberikan khabar gembira dengan keredhaan dan kemurahan Allah kepadanya sehingga tidak ada sesuatu yang lebih disukai nya daripada apa yang akan dihadapinya, maka seorang mukmin suka bertemu dengan Allah dan Allah juga suka untuk bertemu dengannya. Dan sesungguhnya untuk orang-orang kafir, apabila kedatangan maut diberi khabar gembira dengan azab dan seksaan Allah kepada mereka, maka tidak ada sesuatu yang lebih dibenci daripada apa yang dihadapinya. Orang-orang kafir tidak suka untuk bertemu dengan Allah dan Allah tidak suka untuk bertemu dengan mereka"
Antara tiga pesanan utama yang ditinggalkan oleh Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam buat tatapan kita sebagai bekalan PERGI TAK KEMBALI nanti seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Sohih Muslim :
Pertama : Sedeqah Jariah
Sedekah yang mengalir itu umpama pahala yang terus akan mengalir sekalipun telah lama meninggal dunia. Sebagai misalnya, pahala yang akan terus mengalir seperti perbuatan wakaf merupakan sedeqah yang bermanfaat kepada pembuatnya selagi mana harta itu mendatangkan manfaat kebaikan buat orang lain.
Kedua : Ilmu yang Bermanfaat
Yang dimaksud ilmu yang bermanfaat adalah ilmu itu diamalkan dan diajarkan kepada orang lain dan dapat menambah ketaqwaan mereka kepada Allah subhanahu wa ta'ala. Seseorang yang mengajarkan ilmu kepada orang lain kemudian diamalkan atau diajarkan lagi kepada orang lain maka ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya atau yang mengajarkannya sekalipun dia telah meninggal dunia.
Ketiga : Anak yang Soleh yang Sering Mendoakan Ibu dan Ayahnya.
Menurut Ibn Hajar Al-Makki maksud soleh di sini adalah anak yang beriman kepada Allah. Di antara tanda kesolehan anak adalah apabila anak-anak itu sendiri mahu mendoakan kesejahteraan kepada orang tuanya. Persoalannya juga di sini, bagaimana pula dengan anak-anak kita pada ketika ini? Adakah anak-anak yang ingin kita tinggalkan satu hari nanti tergolong dalam kalangan anak-anak yang soleh yang mengutamakan agama Islam ini dalam kehidupan mereka? Adakah kita sebagai ibu dan ayah memantau mereka agar mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah?
Sebagai penutupnya, marilah kita renungi sejenak firman Allah subhanahu wa ta'ala dalam surah Ali-Imran ayat 185 :
كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ ١٨٥
Maksudnya : Ketahuilah bahawa tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa kematian itu tidak mengenali sesiapa. Besar manakah pangkat kedudukan seseorang itu, berharta ataupun tidak. Maka, persiapankanlah bekalan kita untuk menghadapai episod cemas dalam kehidupan di dunia ini yang pastinya "PERGI TAK KEMBALI" kerana sesungguhnya kematian pasti akan datang menemuinya dan tidak akan dilewatkan atau diperawalkan walaupun sesaat pun.