recent
Terkini | تركيني

Islam Cara Hidup

Laman utama

Islam merupakan satu-satunya al-Din yang diredai Allah subhanahu wa ta'ala yang akan menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan yang abadi kepada umat manusia keseluruhannya. Mereka yang memilih Islam sebagai pegangan, akan sentiasa terpelihara nilai-nilai kemanusiaan dan sentiasa melalui perjalanan hidup yang sejahtera dan harmoni. Walaupun begitu, masih terdapat kebanyakan umat Islam yang belum memahami dan menghayati hakikat agama Islam dengan sebenar-benarnya.

Merenung senario umat Islam masa kini, terdapat dalam kalangan umat Islam yang mengaku dirinya sebagai Muslim namun mereka masih lagi melakukan larangan Allah seperti mencuri, meminum arak, berzina, melakukan rasuah, pecah amanah dan pelbagai kemungkaran yang lain. Tidak kurang juga terdapat segelintir umat Islam yang berfahaman sempit dan jumud dengan anggapan Islam hanyalah untuk akhirat semata-mata dan mereka meminggirkan terus urusan dunia yang merupakan jambatan menuju alam akhirat. Kesannya, umat Islam kini begitu mudah dilabelkan sebagai pelampau agama, golongan ekstrimis, fundamentalis, bersifat kuno dan pelbagai lagi gelaran yang mencalari maruah dan imej umat Islam sebagai khairu ummah dan ummatan wasatha.

Seiring dengan gelombang kesedaran Islam masa kini, kita sewajibnya menilai dan memahami hakikat beragama menurut perspektif Islam. Al-Din Islam yang diredai Allah subhanahu wa ta'ala tidak hanya sekadar ucapan lidah bahawa dia beriman kepada Allah, bahkan keimanan perlu dipamer dan diterjemahkan dengan amalan yang disyariatkan seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa, melaksanakan haji dan lain-lain amalan ibadat. Ini bermakna hakikat beragama sebenarnya luas pengertiannya sehingga merangkumi hubungan dua hala atau paksi iaitu hubungan yang terjalin erat antara seseorang hamba dengan Tuhannya dan hubungan yang tersimpul antara sesama manusia. Allah subhanahu wa ta'ala telah menegaskan perkara ini melalui firmanNya dalam surah al-Baqarah, ayat 208 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةًۭ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ ٢٠٨

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah dan hayatilah agama Islam secara keseluruhannya"

Jelaslah kepada kita bahawa hakikat beragama sebenarnya menuntut kita untuk menjadikan agama sebagai teras perlembagaan dalam kehidupan seharian. Ini bermakna, kita tidak sewajarnya meminggirkan tuntutan agama walaupun kita dalam kesibukan mengejar kemewahan dunia dan bergelut dengan ledakan globalisasi, modenisasi dan dunia tanpa sempadan yang semakin rancak di pentas kehidupan dunia kini. Oleh itu, agama sewajibnya berfungsi sebagai momentum konkrit yang mengakari setiap aspek kehidupan manusia sehingga mampu memancarkan nilai-nilai Islam kepada seluruh umat manusia. Sebagai contohnya, dalam urusan pekerjaan seharian, sewajarnya sesorang pekerja itu mempamerkan etika dan sikap yang dianjurkan oleh Baginda Nabi shollallahu 'alaihi wa salam dalam melakukan sesuatu tugasan, antaranya nilai amanah, bersungguh-sungguh, berusaha mempelajari sesuatu yang baharu demi memenuhi keperluan kerjaya, melaksanakan tanggungjawab secara berakhlak, mempertingkatkan nilai kompetensi kendiri, berdaya saing dan etika-etika bekerja Islam yang lain. Gesaan ini selaras dengan hadith Nabi shollallahu 'alaihi wa salam yang diriwayatkan oleh Husain bin ‘Ali radhiallahu 'anhu, bahawa Nabi shollallahu 'alaihi wa salam bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta'ala menyukai perkara-perkara (akhlak-akhlak) yang tinggi dan mulia dan Allah subhanahu wa ta'ala membenci perkara-perkara (akhlak-akhlak) yang keji"

(Riwayat al-Thabarani)

Perlu ditegaskan nilai kerohanian perlu berjalan seiringan dalam setiap aktiviti keduniaan yang dilakukan oleh umat Islam. Perkara ini amat bertepatan dengan titah perintah Ilahi yang memerintahkan umat Islam supaya menjejaki keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Qasas, ayat 77 :

...وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا 

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu daripada kenikmatan duniawi..."

Sudah tentulah tersirat hikmah dan objektifnya disebalik keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi dalam kehidupan manusia. Islam menjuruskan matlamatnya ke arah melahirkan insan yang soleh dan produktif serta proaktif dalam setiap dimensi kehidupan di samping berusaha untuk membentuk sebuah komuniti masyarakat yang harmoni lagi kolektif di bawah lembayung keadilan Islam dan sentiasa mendapat keredaan Ilahi. Inilah adunan atau formula kecemerlangan yang mencipta tamadun kegemilangan Islam suatu ketika dahulu yang dirintis oleh Rasulullah shollallahu 'alaihi walam dan generasi selepasnya. Formula inilah juga yang berjaya menghasilkan personaliti unggul lagi terbilang seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman Ibn Affan, Saidina Ali radhiallahu 'anhum dan ramai lagi yang melakar episod gemilang dalam sejarah Islam.

Apa yang perlu diteladani di sini ialah generasi Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam dan Sahabat radhiallahu 'anhum benar-benar memahami dan menghayati Islam serta menterjemahkannya dalam realiti kehidupan mereka. Mereka menjadikan Islam sebagai dasar kehidupan mereka dengan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai sumber perundangan dan rujukan. Maka tidak hairanlah mereka mampu menempa dan memahat era keemasan Islam dalam lipatan sejarah sehingga mampu menyaingi dua kuasa besar iaitu Rom dan Parsi. Ini bermakna intipati kejayaan dan keunggulan sebenarnya terungkap dalam penghayatan Islam dan mempraktikkannya dalam realiti kehidupan. Kegemilangan generasi Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam dan sahabat selepasnya telah membuktikan hal tersebut. Oleh itu, merekalah yang sewajarnya menjadi teladan terbaik yang menjadi ikutan umat Islam seluruhnya dalam usaha mereka untuk memartabatkan kembali maruah umat Islam sebagai umat yang terbaik yang dituntut oleh Islam.

Islam tidak pernah membawa gagasan esktrimisme, fanatisme, sekularisme dan sebagainya dalam kamus kehidupan umat Islam. Memadailah Islam sebagai al-Din yang diperakui di sisi Allah subhanahu wa ta'ala sebagai agama yang syumul dan paling sempurna merangkumi setiap aspek kehidupan manusia daripada ibadat, perdagangan, kemasyarakatan, sosial politik, kebudayaan dan sebagainya. Justeru, umat Islam sewajibnya kembali kepada Islam dengan menjunjung al-Quran dan hadis sebagai sumber dan dasar kehidupan sejagat. Dengan ini, barulah umat Islam dapat membebaskan diri daripada belenggu kemunduran, kejahilan, kemiskinan dan pelbagai lagi kemelut yang mencengkam umat Islam sekian lama. Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam pernah bersabda maksudnya :

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya"

(Hadis riwayat Malik)

Sedarlah bahawa kita telah dan masih diuji dengan pelbagai bentuk ujian dan cubaan seperti bencana, wabak penyakit dan sebagainya, yang telah memberi kesan besar dalam kehidupan kita. Marilah kita bermuhasabah dan bertanya kepada diri kita, adakah kita masih belum sedar dengan peringatan-peringatan yang telah diturunkan oleh Allah subhanahu wa ta'ala ini dengan terus melakukan maksiat dan dosa? Marilah kita bermuhasabah dan menginsafi bahawa dunia ini semakin hampir ke penghujungnya. Telah banyak tanda yang disebut oleh Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam semakin hari semakin nyata berlakunya.

Maka, atas dasar kasih sayang dan persaudaraan sesama Muslim serta tanggungjawab yang besar bagi setiap Muslim untuk memberi nasihat dan peringatan, khatib dari lubuk hati yang ikhlas ingin memberi nasihat dan peringatan agar marilah sama-sama kita menghindarkan diri dari kemungkaran dan kemaksiatan. Ayuh dan bersegeralah kita mempersiapkan diri serta ahli keluarga dengan bekalan iman dan takwa agar kita tidak tumpas dengan godaan dan rayuan dunia yang bersifat fana. Mudah-mudahan sedikit nasihat dan peringatan ini menjentik hati-hati kita untuk kembali mendaulatkan Islam dengan mempraktikan serta menterjemahkan kesyumulan ajaran Islam dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang muslim.

google-playkhamsatmostaqltradent