recent
Terkini | تركيني

Lelaki Qawwam Tonggak Keluarga Bahagia

Laman utama

Terdapat segelintir masyarakat kita pada masa kini, sedang mengalami krisis akhlak yang sangat membimbangkan. Kerapuhan institusi kekeluargaan menjadi salah satu penyumbang kepada masalah sosial pada hari ini. Antaranya adalah perceraian, keganasan rumah tangga dan suami atau bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab dalam urusan rumah tangganya. Justeru sebagai seorang lelaki yang bergelar suami atau bapa kita harus sedar betapa besarnya peranan dan tanggungjawab tersebut kerana ianya bakal dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak. Oleh itu, lelaki khususnya suami harus mempunyai sifat qawwam dalam memimpin isterinya ke arah mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam ayat 34, Surah An-Nisa' :

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ

"Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka"


Qawwam dari perkataan "Qaaim" yang bererti bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, menguruskan, prihatin, memimpin, mengawal dan membela. Seorang lelaki yang qawwam adalah lelaki yang mempunyai sifat-sifat berkenaan terhadap kaum wanita.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kaum lelaki adalah insan yang diciptakan Allah SWT untuk memikul tanggungjawab utama dalam meneraju institusi kekeluargaan. Peranan lelaki amat penting bagi memastikan keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat hidup yang sempurna dan bahagia.

Jelaslah kepada kita bahawa tanggungjawab yang digalas oleh kaum lelaki amat besar dalam menentukan kestabilan institusi kekeluargaan yang secara tidak langsung akan membawa kesejahteraan kepada masyarakat. Di antara tanggungjawab dan peranan utama kaum lelaki adalah seperti berikut :

Pertama : Lelaki dijadikan oleh Allah SWT sebagai pemimpin.

Kepemimpinan itu bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya adalah amanah yang cukup berat. Ianya bukanlah satu kelebihan ataupun kemegahan, tetapi satu pengorbanan. Dalam institusi kekeluargaan, suami sebagai pemimpin dalam keluarga perlu menjadi contoh dan tauladan yang terbaik terhadap keluarganya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang imam (ketua negara) adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan seorang lelaki dalam keluarga adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya (ahli keluarganya)"

(Hadis Riwayat Bukhari)

Kedua : Lelaki sebagai pelindung kepada wanita dan keluarga.

Tugas seorang lelaki yang qawwam ialah menjaga dan memelihara wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya serta melindungi keluarganya daripada bahaya di dunia dan akhirat. Dalam menjalani kehidupan berumahtangga, lelaki ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding wanita.

Hal ini dirakamkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah At-Tahrim ayat 6 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ٦

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan"

Ketiga : Lelaki diamanahkan menjaga kebajikan wanita.

Suami yang baik akan menyantuni dan menghormati isteri meksipun. Apabila terjadi persengketaan, dia tidak sesekali mengasari tubuh badan isteri, mengeluarkan kata-kata yang kesat padanya. Sebagai pembimbing, cubalah untuk berbincang secara harmoni dan bertolak ansur. Hormatilah isteri dengan mengelak dari menyindir, mengutuk, mencaci atau maki hamun terhadapnya. Para suami hendaklah melayani isteri dengan sopan santun dan penuh hormat kerana mereka juga adalah ibu kepada anak-anak kita.

Keempat : Lelaki bertanggungjawab dalam memberi nafkah.

Tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada tanggungan diletakkan di atas bahu lelaki. Dalam erti kata lain, berdosalah bagi suami yang mengabaikan nafkah ke atas orang yang berada di bawah tanggungannya. Selain itu, dalam isu pemberian nafkah, secara toleransinya suami juga perlu memahami walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami bagi memberikan nafkah itu tidak hilang secara automatik meskipun dalam situasi di mana pendapatan isteri adalah jauh lebih besar daripada suami.


Rasulullah SAW merupakan ikon dan contoh lelaki qawwam. Baginda adalah teladan terbaik umat Islam. Sebelum dilantik menjadi Rasul, baginda terlebih dahulu merupakan seorang ‘suami’. Baginda juga bergelar bapa yang sentiasa menunjukkan akhlak yang terbaik, melakukan tugasan di rumah dan sentiasa mengambil berat dengan apa yang berlaku ke atas ahli keluarga Baginda. Budi pekerti dan keperibadian Rasulullah SAW terhadap isteri dan anak-anak wajar dicontohi pasangan suami isteri zaman ini.

Sebagai ketua keluarga, berusahalah untuk menjadi yang terbaik dalam melindungi, membimbing dan memimpin ahli keluarga. Sesungguhnya, apabila tanggungjawab lelaki khususnya golongan suami diperkasakan, maka kaum isteri akan menikmati natijah kebahagiaan dan akan terbentuklah keluarga harmoni yang seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan negara yang sejahtera.

Perbanyakkan membaca doa sepertimana yang disarankan oleh Allah SWT di dalam surah Al Furqan ayat 74 :

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍۢ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا ٧٤

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami dengan beroleh isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa'"


Akhir kalam, beberapa kesimpulan dapat dibuat sebagai pedoman kita semua.

  1. Lelaki yang bergelar suami atau bapa hendaklah melaksanakan tuntutan qawwam iaitu bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, menguruskan, prihatin, memimpin, mengawal dan membela isteri dan keluarganya berlandaskan kehendak Al Quran dan As-Sunnah.
  2. Dalam institusi kekeluargaan, lelaki sebagai ketua keluarga hendaklah memelihara dan melindungi ahli keluarganya daripada terjerumus ke lembah kemurkaan Allah SWT.
  3. Pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang bertakwa dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin seterusnya melahirkan keluarga dan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

google-playkhamsatmostaqltradent