Tabbayun adalah salah satu ajaran Islam yang sudah diperkenalkan sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi. Dalam dunia yang serba moden ini, tabayyun boleh diertikan sebagai semak dan periksa ke atas sesuatu berita yang tersebar. Ironinya, masyarakat banyak melupakan pentingnya bertabayyun.
Prinsip tabayyun iaitu semak atau periksa sesuatu perkara terlebih dahulu merupakan suatu perkara yang perlu diamalkan setiap insan apabila menerima sesuatu maklumat di laman media sosial.
Allah SWT memerintahkan supaya kita menyelidiki serta mendapatkan kesahihan berita serta maklumat yang disampaikan oleh seseorang. Hal ini kerana, bagi mengelakkan dari terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku.
Di zaman teknologi yang serba canggih ini, tabayyun bukan suatu perkara yang sukar. Kuncinya terletak pada kemahuan kita umat Islam untuk melakukan semak dan periksa akan sesuatu informasi yang diperolehi. Dan perlu diingat bahawa tabayyun adalah merupakan perintah dari Allah SWT di dalam Al Quran. Allah SWT menjelaskan hal ini di dalam Surah al-Hujurat ayat 6 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ ٦
Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"
Pada masa kini, kita boleh dapati banyak maklumat yang dikongsikan oleh pengguna media sosial sehingga menjadi tular, namun pada akhirnya maklumat tersebut didapati bukan sahaja palsu malah mengelirukan masyarakat.
Perlu diingat berita-berita palsu ini boleh menganggu gugat keharmonian kita dan mengancam keselamatan rakyat dan negara. Budaya menyemak kesahihan berita dan maklumat adalah sangat penting sebelum menyebarkannya serta memastikan ia dari sumber yang diyakini sahih.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra ayat 36 :
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا ٣٦
Maksudnya : Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Setiap dari kita hendaklah mengkaji dahulu maklumat yang diterima kerana dibimbangi ia adalah perkara tidak benar dan andai kita turut menyebarkannya, maka kita termasuk dalam golongan yang menceritakan berita tidak betul.
Selain itu, boleh jadi percakapan kita, berita atau maklumat kepada orang ramai mengikut apa yang kita dengar dan kita tahu boleh membawa kepada suatu pendustaan dan kesilapan. Benarlah sabda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah yang maksudnya :
"Cukuplah seorang itu dianggap berdusta apabila dia bercakap segala apa yang dia dengar"
(Riwayat Muslim)
Justeru, cabaran umat Islam dalam mendepani zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat begitu canggih masa kini, kita seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan mahupun berkongsi sesuatu berita.
Selain itu, pemberitaan atau perkhabaran yang mudah diterima pada hari ini melalui Facebook, emel, Twitter, surat khabar, majalah atau sebagainya tidak dapat dipastikan akan ketepatan dan kesahihan sesuatu maklumat. Perkara ini amat penting bagi kita semua, kerana perkhabaran atau berita yang tidak mempunyai asas atau dalil, menjadikan kita hanya sebagai manusia yang diibaratkan seperti tin yang kosong, bunyinya kuat tetapi sebaliknya tidak mempunyai nilai maklumat atau tidak bermanfaat.
Tambahan pula, medium seperti WhatsApp, Facebook, TikTok, emel dan sebagainya dijadikan tempat untuk memburukkan seseorang individu, penyebaran berita palsu yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama manusia. Ingatlah amaran Nabi SAW melalui hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu’anhu bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud :
"Zaman (masa) akan semakin singkat, dicabutnya ilmu, akan timbul fitnah, dimasukkan ke dalam hati sifat kikir dan akan banyak al-harj. Mereka (para sahabat) bertanya : 'Apakah al-harj, wahai Rasulullah?' Baginda menjawab : 'Al-harj itu Pembunuhan'"
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Begitu bahayanya angkara fitnah yang mana umat Islam harus lebih berhati-hati jika ingin menyebarkan sebuah informasi di media sosial.
Perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh didenda maksimum sehingga RM50,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru, sebagai umat Islam jauhilah kerja-kerja penyebaran fitnah dan berita palsu. Janganlah pula kita berasa seronok dengan menularkan berita-berita yang kita tidak tahu akan kesahihannya hanya semata-mata untuk menjadi juara di laman sosial.
Sukar untuk dinafikan bahawa rakyat Malaysia cenderung untuk berkongsikan sesuatu yang "panas" atau terkini, namun sering kali terlepas pandang proses menyemak kesahihan sesuatu berita itu yang bakal mengakibatkan berlaku penyebaran berita tidak benar.
Usah kita jadikan ia sebagai satu kebiasaan terutamanya di platform-platform media sosial atau aplikasi komunikasi. Biasakan diri untuk menyemak sesuatu berita yang diterima agar kita tidak menjadi penyebar berita palsu tanpa disedari.
Oleh itu, masyarakat digesa agar tidak mudah mempercayai apa yang mereka baca dalam talian dan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan mengenai isu berkenaan atau memanjangkan mesej berkenaan.
Kesimpulannya, kita perlu ambil perhatian beberapa perkara seperti berikut :
- Baca. Jangan baca tajuk sahaja. Baca artikel mahu pun ulasan penuh berkenaan sesuatu berita atau isu.
- Semak. Semak sumber berita sama ada dari pihak berautoriti atau akhbar tempatan.
- Sebar. Sebarkan jika berita atau fakta yang disemak diyakini sahih dan dari sumber yang sah.