recent
Terkini | تركيني

Mencari Cahaya Ilahi - Jauhi Ajaran Sesat

Laman utama


Mencari Cahaya Ilahi - Jauhi Ajaran Sesat
| Menurut Bahagian Akidah JAKIM, ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islamiah, Al-Quran dan As-Sunnah, mazhab yang muktabar dan Ahli Sunnah wal Jamaah. Di dalam Al-Quran, terdapat lebih daripada 150 ayat yang Allah SWT membicarakan berkaitan kesesatan umat manusia.

Antara ajaran sesat tersebut ialah Ajaran Taslim, Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah, Al-Arqam, Anti Hadis, Fahaman Syiah dan Ajaran Azhar Wahab atau Raja Sakti. Bahkan ada di antara ajaran ini dikesan masih bergerak aktif pada masa ini.

Ajaran sesat bukanlah fenomena baharu yang hanya muncul di akhir zaman, bahkan pada zaman Rasulullah SAW sendiri telah menyaksikan kemunculan beberapa ajaran sesat. Terdapat tiga kumpulan ajaran sesat pada zaman Nabi yang diketuai Al-Aswad Al-'Ansi, Musaylamah Al-Kazzab dan Tulayhah bin Khuwaylid yang ketiga-tiganya mengaku diri mereka sebagai Nabi. Hanya Tulayhah akhirnya bertaubat dan kembali memeluk agama Islam.

Islam merupakan satu-satunya agama fitrah yang lurus lagi benar dan tidak bertentangan dengan akal manusia. Agama Islam menuntut agar manusia sentiasa menggunakan akal dalam memelihara kesucian akidah. Oleh kerana manusia itu seringkali terbelit dengan godaan hawa nafsu yang menyesatkan, dikhuatiri dengan mudah boleh terpesong dari jalan kebenaran. Sesat di jalanan masih boleh berundur, namun sesat aqidah azab seksaannya amat pedih menanti di akhirat. Ingatlah bahawasanya sebesar-besar dosa berzina, meminum arak, mencuri dan membunuh boleh saja diampunkan dengan kehendak Allah SWT, akan tetapi dosa syirik usah ditagih pengampunan oleh Allah SWT bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa', ayat 48 :

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفْتَرَىٰٓ إِثْمًا عَظِيمًا ٤٨

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar"

Manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan naluri sentiasa inginkan keseronokan, manfaat dan keuntungan dan langsung tidak gemar kepada mudhorat dan kerugian. 

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj, ayat 11:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعْبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍۢ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُۥ خَيْرٌ ٱطْمَأَنَّ بِهِۦ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْخُسْرَانُ ٱلْمُبِينُ ١١

Maksudnya : "Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata"

Atas faktor inilah ada di kalangan manusia yang banyak bergelumang dengan dosa akhirnya memilih mengikut mana-mana ajaran sesat kononnya sebagai jalan pintas atau shortcut untuk ke syurga kerana termakan dengan janji-janji manis ajaran tersebut yang kebanyakkannya menjanjikan syurga kepada penganutnya. Malangnya tindakan tersebut bukan jalan pintas ke syurga, bahkan jalan pintas ke neraka!

Antara punca utama manusia boleh terhumban ke dalam kesesatan ialah kerana kejahilan dan kegagalan memanfaatkan nikmat akal yang dikurniakan Allah SWT. Apabila seseorang itu jahil, maka apa sahaja fahaman yang dikatakan Islam mahu sahaja dituruti dan diamalkan walaupun ia sebenarnya bukan dari ajaran Islam. Selain itu, kebebasan media sosial juga menjadi salah satu wadah yang amat mudah untuk menyebarkan ajaran yang menyeleweng pada zaman serba canggih kini. Justeru, ibu bapa khususnya perlu cakna dan peka serta mengawasi tindak tanduk anak-anak kerana dikhuatiri kebebasan ini menjadi punca mereka terjebak ke dalam kancah penyelewengan akidah serta ajaran sesat.

Daripada Mua'wiyah bin Abi Sufyan RA bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya :

"Ketahuilah sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72 atau 73 golongan. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu Al-Jamaah"

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Golongan "Al-Jamaah" yang terselamat sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadith ini adalah golongan yang berpegang teguh dengan Al-Quran, Sunnah Nabi SAW dan golongan yang mengikuti jejak langkah para sahabat Nabi SAW dan al-khulafa' ar-Rasyidin.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Fatihah, ayat 7 :

صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Maksudnya : "Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat"

Kesimpulannya, bagi mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam kancah ajaran sesat dan fahaman yang menyeleweng, umat Islam dinasihatkan agar sentiasa mengambil berat perkara-perkara berikut :

  1. Sentiasa mendalami ilmu keagamaan yang diajar secara terbuka dan bukan secara bersembunyi kerana manusia yang jahil amat mudah dipesongkan hatinya daripada menerima Islam yang sebenar.
  2. Sentiasa mengikut garis panduan yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Jauhi apa sahaja yang bertentangan dengan keduanya kerana apa sahaja dakwaan dalam agama mesti bersandarkan kepada nas syarak. Jangan terlalu mudah mempercayai dakwaan-dakwaan berkaitan Islam tanpa menyelidik kesahihannya terlebih dahulu.
  3. Hindari sikap fanatik atau taasub kepada guru kerana guru juga manusia biasa yang boleh terdedah kepada kesilapan. Sikap seperti ini dikhuatiri boleh membawa kepada mendewa-dewakan guru hingga akhirnya membuka ruang kepada tercetusnya ajaran yang menyeleweng.
  4. Melaporkan kepada pihak berkuasa agama dan jangan mengambil mudah jika dikesan apa-apa ajaran yang meragukan di dalam masyarakat. Sesungguhnya tindakan seperti ini amat bermakna dalam membanteras ajaran ini daripada merebak dalam nadi kehidupan umat Islam.

google-playkhamsatmostaqltradent