Ayah dan emak merupakan insan yang sangat penting dan sangat bermakna dalam kehidupan kita sebagai seorang anak. Ini kerana mereka berdualah yang bertanggungjawab melahirkan dan membesarkan kita. Ayah dan emak juga adalah guru atau murabbi terawal bagi anak-anak. Sejak di dalam perut emak lagi, anak itu sudah dididik dan ditarbiyah melalui ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh ayah dan emak.
Sebaik sahaja kita keluar ke alam dunia, ayah memainkan peranan mengalunkan azan dan iqamah ke telinga kita, mengajar kita kalimah tauhid mengesakan Allah SWT. Selepas itu kita diletakkan di dalam dakapan emak yang baru sahaja selesai bertarung nyawa ketika melahirkan kita. emak senyum dan bersyukur kerana telah selamat melahirkan kita.
Oleh kerana itulah, Islam sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada ayah dan emak. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibubapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas mentauhidkan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa' ayat 36 :
وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًۭٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًۭا
Maksudnya : Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.
Meskipun kita dituntut untuk berbuat baik kepada kedua ayah dan emak, namun terdapatnya sebuah riwayat yang melebihkan kedudukan seorang emak berbanding ayah dalam isu berbuat kebaikan kepadanya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW :
"Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?". Maka Rasulullah SAW menjawab : "Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu".
(Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis ini, kewajipan bagi seseorang anak ke atas ayah dan emak bahkan emak diulang sebanyak 3 kali yang bermakna lebih utama adalah berbuat baik, berlemah lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra' ayat 24 :
وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًۭا ٢٤
Maksudnya : Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata) : "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil"
Marilah dalam kesempatan usia kita yang masih berbaki ini, kita berusaha berbuat baik kepada ayah dan emak sebagai tanda terima kasih kepada mereka berdua. Kita berusaha berbuat baik kepada mereka dengan cara mentaati, memastikan keperluan mereka dipenuhi, memberi nafkah, melayani dengan baik, sentiasa merendah diri serta mendoakan kesejahteraan mereka. Menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap anak untuk menjaga kedua ibubapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik kepada mereka.
Ingatlah, dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi. Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya :
"Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah SWT hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali dosa derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah SWT akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidupnya sebelum kematiannya lagi"
(Hadith riwayat al-Hakim)
Ucaplah terima kasih yang tidak terhingga khusus untuk ayah dan emak....
Terima kasih emak kerana mengizinkan kami menumpang Rahim emak selama 9 bulan 10 hari. Terima kasih emak kerana telah bersusah payah melahirkan kami sehingga terkoyak isi emak, terluka kulit emak, tertumpah darah emak dan bercucuran air mata emak kerana menahan kesakitan dan penderitaan.
Terima kasih emak yang sanggup berkorban tidak pernah kenyang makan minum kerana ingin mengenyangkan kami. Terima kasih emak yang tidak pernah nyenyak tidur kerana memikirkan keselesaan tidur kami.
Terima kasih emak yang tidak kisah langsung dengan kesihatan kerana menjaga kesihatan kami. Terima kasih emak yang sudi membasuh dan mencuci najis dan kotoran kami.
Terima kasih emak yang tidak pernah mengungkit dan bersungut dalam melayan karenah kami sewaktu kecil. Terima kasih emak yang tangan lembut emak selalu mengusap rambut dan juga wajah kami.
Terima kasih ayah yang mengizinkan kami dibinkan nama kami dengan nama ayah. Terima kasih ayah yang sudi melaung kalimah syahadah ke telinga kami ketika kami baru dilahirkan dari perut emak.
Terima kasih ayah yang sudi mengajar kami tentang ketegasan di dunia ini kami kenal peraturan dan manhaj hidup ini.
Terima kasih ayah yang menjadi asbab kami kenal Allah Tuhan kami, kami kenal Nabi Muhammad SAW selaku utusan Allah. Kami kenal akidah sebenarnya yang mesti pegang sehingga akhir hayat kami.
Terima kasih ayah insan tabah yang jarang titiskan air mata di hadapan kami, titisan itu hanya untukMu Ya Allah. Resah gelisah ayah disembunyikan dari kami tapi hanya diceritakan kepadaMu Ya Allah. Rahsianya hanya Engkau yang tahu.
Terima kasih ayah yang selalu bertanya khabar kami melalui lisan dan perantaraan emak. Terima kasih ayah yang sudi menghulurkan wang saku melalui lembutnya tangan emak. Terima kasih ayah yang selalu memandangkan kami, ketawa kecil tersenyum lebar dari jauh. Terima kasih ayah yang telah mendidik kami dengan tegas, hingga hari ini apabila kami sendiri yang jadi ayah kepada anak-anak kami, kami baru mengenali itu watak ayah sebenarnya.
Ya Allah sekiranya ayah dan emak masih ada, Engkau sihatkan tubuh badan mereka. Engkau panjangkan umur mereka dalam kebajikan dan kerahmatan. Tambahkan padanya ketabahan, keimanan dan ketakwaan. Ya Arhamarrahimin...
Andai kata Engkau ingin mengambil nyawa mereka berdua dari kami, janganlah Engkau sakiti mereka Ya Allah. Engkau permudahkan dan ringankan beban mereka ketika menghadapi sakaraatul maut.
Andai mereka telah pergi bertemu denganMu Ya Allah, dengan rahmatMu yang maha luas, Engkau lapangkan kubur mereka. Pindahkan mereka dari kegelapan liang lahad ke dalam syurgaMu yang luasnya tidak terperi. Kurniakan mereka nikmat yang abadi...