recent
Terkini | تركيني

Sepanas Air Mata - Hikmah Sakit

Laman utama

Setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah pasti sudah ditentukan takdirnya, begitu juga manusia telah ditetapkan takdir serta ujian yang akan diberikan ujian oleh Allah SWT kepada kita. Antara tujuan ujian daripada Allah SWT adalah untuk meningkatkan keimanan seseorang hambanya.

Allah SWT akan menguji manusia dengan pelbagai bentuk ujian, dan bentuk ujian yang ditempuhi oleh setiap orang itu berlainan antara satu dengan yang lainnya. Bentuk ujian tersebut digambarkan Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155 :

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٥٥

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar"

Di samping ujian yang ditimpa kepada kita, Allah juga memberikan kepada kita nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Antara nikmat yang paling besar yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan. 

"Dari Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW bersabda : "Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang"

(Hadis Riwayat Bukhari)

Nikmat kesihatan sering dipandang remeh oleh kebanyakan manusia. Pada hal ia amat penting dan menjadi faktor penyumbang kearah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan persediaan menghadapi hari akhirat. Atas dasar itulah Rasulullah SAW mewasiatkan agar menjaga kesihatan dan menggunakan nikmat kesihatan itu dengan sebaik mungkin sebelum datangnya sakit.

Sakit adalah nikmat yang paling besar. Apabila sakit, barulah manusia akan terasa betapa besarnya nilai kesihatan. Sakit juga boleh membuat kita kembali mengingat Allah. Sebagaimana yang diketahui, kadang kala kita hanya mengingati Allah di kala kesusahan & diberi ujian, Sementara saat diberikan kebahagiaan, kita terus menerus tenggelam dalam lembah kemaksiatan dan sering melupakan Allah. Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat pemberian Allah SWT, iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah tetapi melupakan pemberi nikmat tersebut. Ingatlah, nikmat kesihatan yang dianugerahkan Allah ini hanyalah sementara dan pasti akan dipersoal sama ada ia dimanfaatkan atau dipersiakan.

Justeru, jadikanlah kesihatan ini sebagai satu ‘medium’ yang membantu seorang hamba melakukan ketaatan kepada Allah SWT demi meraih pahala dan bukan kemurkaanNya.

Apa sahaja musibah, kesusahan atau sakit yang dihadapi dengan sabar, redha dan bertawakal kepadaNya, akan mendapat ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah. Seseorang yang diuji oleh Allah SWT dan dia bersabar di atas ujian itu, pasti Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kelebihan yang banyak. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar ayat 10 :

قُلْ يَـٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌۭ ۗ وَأَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍۢ ١٠

"Katakanlah : 'Hai hamba-hamba-Ku yang beriman. bertakwalah kepada Tuhanmu'. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas"

Renunglah kata-kata kiasan Melayu :

Sesekali diuji, benar-benar rasa teruji.

Hati sakit, Benak perit.

Jiwa pedih, Minda letih.

Sabar tercabar, Tenang tercalar.


Pujuklah diri untuk REDHA dan jangan sekali-kali kita lupa. Allah yang meletakkan kita di dalam ujian itu dan hanya Dialah sahaja yang mampu mengeluarkan kita daripada ujian itu. Andai Allah takdirkan derita itu menimpa kita, dia inginkan kita lebih bersyukur dan menghargai saat bahagia.

Andai Allah takdirkan derita setelah bahagia, Dia inginkan agar kita tidak terleka dan alpa dengan dunia. Setiap ketentuan Allah itu mempunyai seribu satu hikmah di sebaliknya. Hakikatnya, kesusahan dan keperitan itu adalah salah satu jalan menuju bahagia. Maka, hadapilah ia dengan redha.Jangan pernah putus asa dalam hidup kita.

Allah sudah mengatur sesuatu yang baik dan cantik untuk kita. Dia akan memberi sesuatu yang baik itu pada masa yang tepat dan cara yang terbaik. Maka, janganlah sakiti diri kita dengan kesedihan yang tak berkesudahan. Perbaikilah, bahagiakan diri kita dengan ketenangan dan kegembiraan. Tidak semua air mata bererti duka, kadangkala tangisan adalah kebahagiaan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Sesekali kita perlu terluka, agar kita mampu mensyukuri apa erti bahagia.

Meskipun dalam keadaan sakit, jangan berkeluh kesah dan berputus asa daripada rahmat Allah. sakit tidak selamanya sakit bernilai musibah. Sakit juga dapat mendatangkan berkah bagi yang merenunginya. Ada beberapa hikmah sakit yang perlu diketahui :

Pertama : Menjauhkan mukmin dari seksaan api neraka.

Sakit dapat menghindarkan kita dari seksa neraka. Rasulullah bersabda yang bermaksud, 

"Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dari api neraka"

(HR al-Bazzar)

Kedua : Sakit menjadi penghapus dosa

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : 

"Tidaklah menimpa seorang mukmin rasa sakit yang terus-menerus, kepayahan, penyakit, dan juga kesedihan, bahkan sampai kesusahan yang menyusahkannya, melainkan akan dihapuskan dengannya dosa-dosanya"

(HR. Muslim)

Ketiga: Sakit membuka luas sumber kebaikan setiap muslim.

Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Sungguh semua urusannya merupakan kebaikan, dan hal ini tidak terjadi kecuali bagi orang mukmin. Jika ia mendapat kegembiraan, maka dia bersyukur dan itu merupakan kebaikan baginya, dan jika mendapat kesusahan, maka dia bersabar dan ini merupakan kebaikan baginya"

(HR Muslim)

Keempat : Mendapat pahala yang besar dengan bersabar. 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 45 :

وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ 

"Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar & solat"


Sesungguhnya sakit merupakan suatu ujian daripada Allah SWT dan ia juga boleh menjadi suatu nikmat jika manusia tersebut redha dan bersyukur serta mendekatkan diri kepada Allah ataupun sebaliknya menjadi musibah sekiranya kesakitan yang dialami membuatkannya semakin jauh daripada Allah. Sesungguhnya bergembiralah bagi mereka yang sabar dalam menghadapi ujian kesakitan ini kerana ia adalah bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya.

google-playkhamsatmostaqltradent