recent
Terkini | تركيني

Integriti Teras Ummah Sejahtera

Laman utama

Kepimpinan merupakan suatu perkara yang penting dalam memberi kesan perubahan kepada umat manusia pada setiap zaman dan tempat. Melalui al-Quran, kita dapat mengambil pengajaran penting daripada beberapa kisah nabi-nabi seperti kisah nabi Ibrahim AS yang berdepan dengan kesesatan Raja Namrud, Nabi Musa AS pula berdepan dengan kezaliman Firaun manakala nabi kita sendiri nabi Muhammad SAW berdepan dengan keangkuhan dan kejahilan Abu Lahab, Abu Jahal dan pemimpin jahiliah yang lain.

Setiap masa dan tempat sentiasa berlaku pertembungan antara hak dan batil, kebenaran dan kesesatan, keadilan dan kezaliman, Islam dan jahiliah, cahaya keimanan dan kegelapan kekufuran. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisaa' ayat 58 :

۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًۭا ٥٨

"Sesungguhnya, Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat"

Di dalam kehidupan perlu ada toleransi serta beramanah ketika melaksanakan tanggungjawab. Seseorang manusia itu perlu menitik berat nilai integriti dan kejujuran dalam kehidupannya, malah perlu memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan penuh amanah. Amanah bukanlah suatu perkara yang remeh dan tidak perlu diambil serius bahkan ia merupakan suatu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dan hak yang mesti ditunaikan kepada orang lain. Allah SWT menjelaskan menerusi surah An-Anfal ayat 27 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ٢٧

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui"

Allah menjanjikan kebahagiaan di dunia dan akhirat bagi pemimpin yang adil serta beramanah dan dalam masa yang sama mengancam dengan kerosakan dan penderitaan bagi pemimpin yang tidak amanah serta mengkhianati kepercayaan yang diberi. Ingatlah amaran nabi s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

"Berhatilah kamu dengan penipuan. Sesungguhnya penipuan membawa kepada maksiat dan maksiat membawa kepada neraka. Seseorang itu akan berterusan dan bersunguh-sungguh menipu sehinggalah dia dicatatkan sebagai penipu"

Amanah dalam kepimpinan menjadi punca kebahagiaan atau penderitaan hidup di dunia dan akhirat. Kita sentiasa ingat bagaimana pesanan nabi kepada seorang sahabat yang bernama Abu Dzar yang datang bertanyakan tentang jawatan ketika sahabat-sahabat yang lain dilantik oleh nabi SAW sedangkan beliau sendiri tidak diberi sebarang jawatan lalu nabi bersabda yang bermaksud :

"Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan yang akan menimpa kecuali orang yang telah mengambilnya dengan hak dan menunaikan tanggungjawabnya"

Allah telah menjanjikan doa yang sentiasa dimakbulkan datangnya dari seorang pemimpin yang adil. Begitu juga di akhirat nanti, pemimpin yang adil akan dipayungi di bawah naungan atau teduhan bayangan ‘Arasy Allah. Ia bukan suatu janji yang kecil dan ia juga bukan suatu janji yang mudah dicapai kecuali bagi orang yang sentiasa taqwa dalam menguruskan amanah kepimpinan serta tidak menjadikan hamba hawa nafsu Imam Syafi’e pernah berwasiat tentang 5 perkara yang mesti ada pada pemimpin yang benar-benar taqwa kepada Allah dan jujur dalam kepimpinan iaitu :

  1. benar dalam percakapan
  2. menjaga rahsia
  3. menunaikan segala janji
  4. sentiasa memberi nasihat kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan
  5. menunaikan segala kewajipan yang diamanahkan dengan telus dan jujur. Penghayatan amanah seperti menjaga rahsia individu, keluarga, tempat bekerja, organisasi dan yang paling penting ialah amanah negara.

Manusia yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah boleh membawa kepada amalan rasuah dalam kehidupannya. Amalan rasuah bukan sahaja mengkhianati amanah malah menzalimi hak orang sekelilingnya.

Allah SWT telah menegaskan dalam Surah al- Baqarah ayat 188 :

وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٨

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dan jalan yang salah dan jangan pula kamu memberikan rasuah kepada para hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta dengan dosa sedangkan kamu mengetahui salahnya"

Sifat mazmumah akan mengheret seseorang individu terjerumus serta dipengaruhi oleh hawa nafsu dan melahirkan sikap dan sifat yang tidak berintegriti. Malah akan mencerminkan bayangan negatif dalam sebuah keluarga, masyarakat dan negara.

Tika dan saat ini bumi Palestin begitu rakus diserang oleh rejim Zionis Israel. Angka kematian dan kecederaan rakyat Palestin dijangka terus meningkat saban hari apabila rejim Zionis Israel mempergiatkan serangan dari semasa ke semasa. Alhamdulillah kita melihat kesedaran rakyat Malaysia khususnya anak muda bersatu hati menentang kezaliman Zionis Israel melalui media sosial. Isu yang berlaku di Palestin ini adalah isu penting untuk menyatukan hati umat Islam yang beriman dan kasih kepada tanah suci Baitul Maqdis.

Seharusnya seluruh umat Islam khususnya negara Arab dan negara Islam lantang menentang tindakan zalim Zionis Israel, namun malangnya ada sebahagian negara-negara ini melaksanakan dasar normalisasi dengan negara haram Israel yang salah dan sesat serta bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Kita mahu Zionis Israel dan negara-negara Arab bertanggungjawab atas kematian para syuhada, kemusnahan bangunan, dan kecederaan rakyat Palestin yang tidak berdosa. Semua pihak sepatutnya berusaha mencari solusi yang lebih tegas dan konkrit termasuk mengenakan tekanan politik dan pemencilan antarabangsa ke atas rejim Zionis Israel ini.

Sebagai rumusannya, beberapa intipati boleh kita hayati iaitu :

  1. Wujudkan persaudaraan dan kasih sayang sesama manusia serta mengamalkan sikap saling bersikap lemah lembut dan sentiasa bertimbang rasa antara satu sama lain.
  2. Pembudayaan nilai integriti perlu dititikberatkan dalam kehidupan seharian agar tidak menyimpang dari matlamat asal tujuan kehidupan.
  3. Penghayatan terhadap nilai-nilai yang baik perlu diterapkan dalam diri seseorang bagi menjadi penyuluh Jalan kearah kebaikan.
  4. Menjauhi amalan rasuah dalam kehidupan dapat membina sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika.
  5. Kita bertanggungjawab menyatakan pendirian dan sokongan terhadap penduduk Palestin yang bermati-matian mempertahankan dan membebaskan negara mereka dari cengkaman rejim zionis Israil kerana mereka berhak mendapatkan kebebasan ditanah air mereka sendiri.

google-playkhamsatmostaqltradent