recent
Terkini | تركيني

Ketahanan Mental Asas Kesejahteraan Ummah

Laman utama

Manusia diciptakan oleh Allah Taala daripada dua unsur yang utama iaitu fizikal (jasmani) dan spiritual (roh). Oleh itu, kedua-dua unsur ini perlu diisi dan tidak boleh dibiarkan kekosongan, malah kedua-duanya amat berkait-rapat antara satu sama lain.

Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk mengambil berat bagi memastikan setiap individu mempunyai tahap mental yang sihat lebih-lebih lagi ia merupakan asas kepada kesejahteraan seseorang itu. Namun begitu, sebenarnya tidak ramai di kalangan masyarakat yang mengetahui atau mengambil berat terhadap isu ini, malahan adakalanya memandang remeh tentangnya. Sebagai umat Islam yang baik dan mahu menjalankan tanggungjawab khalifah dibumi, seharusnya kita perlu memastikan bahawa sudut kesihatan mental diberi perhatian dengan sebaiknya di samping keperluan fizikal yang lain. Tanpa Mental yang sihat, fizikal yang gagah juga tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat. Hakikatnya mukmin yang akan lebih dicintai oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang Mukmin yang lemah."

(HR Muslim)

Maksud mukmin yang kuat di sini adalah mukmin yang kuat imannya. Iman yang teguh akan menghasilkan mental yang kuat dan sihat. Kekuatan mental yang baik akan menatijahkan manfaat kepada ummah sejagat.

Tahukah kita bahawa setengah juta dari rakyat Malaysia didapati mempunyai gejala kemurungan. Lebih dari itu, masalah kesihatan mental kini turut menular kepada golangan kanak-kanak. Fakta menunjukan seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun di Malaysia kini mengalami gangguan mental. Keadaan seperti ini amat membimbangkan kerana bakal memberikan kesan yang negatif terhadap pembangunan negara di masa hadapan seperti, penyalahgunaan dadah, arak dan sebagainya sebagai tempat mencari nikmat sementara.

Selain dari itu, gejala ini juga berupaya menyumbang kepada peningkatan kes jenayah seperti penderaan, pembunuhan dan sebagainya akibat menanggung bebanan emosi yang melampau. Tidakkah semua hal ini menyebabkan timbulnya kemudharatan yang besar dalam kehidupan masyarakat. Jelaslah bahawa mental yang lemah dan sakit mempunyai kesan yang besar kepada kehidupan. Adakalanya mereka yang mengidap masalah mental yang tidak sihat ini terdiri dari kalangan mereka yang kita sayangi tanpa disedari seperti pasangan hidup, anak-anak, cucu-cicit, kaum kerabat dan sebagainya. Oleh itu, marilah kita cakna dalam isu ini agar mereka yang tersayang dapat menikmati dan menjalani kehidupan yang bahagia dan bermakna sepanjang hayat.

Kekuatan Mental itu bermula dari rumah-rumah kita semua, ia bermula dengan generasi dewasa yang menjadi tauladan yang baik kepada zuriat keturunan kita. Institusi keluarga yang stabil akan menyumbang ke arah kesejahteraan dan kemakmuran ummah. Harus di ingat bahawa corak asuhan juga mempengaruhi tahap mental individu, hentikanlah segala norma yang menyakitkan psikologi seseorang seperti cemuhan, kata nista, memandang rendah pada seseorang dan suka mengaibkan orang lain apatah lagi perbuatan-perbuatan tersebut dilarang dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya"

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Hadis ini mengandungi tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan.

Sekiranya melihat kepada maqasid al-syariah, kesihatan mental ini berada di bawah kategori keperluan asas (dharuriyyat) iaitu hifz al-‘aql (memelihara akal) yang mesti dijaga dengan sebaiknya. Kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan fizikal yang merupakan satu nikmat daripada nikmat-nikmat Allah SWT. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa di antara kamu yang bangkit pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh badan dan aman pada dirinya, serta memiliki makanan pada hari itu, maka seolah-olah dia diberi segala nikmat dunia"

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Rasulullah SAW sebagai seorang yang paling sihat dan kuat mental telah menunjukkan kepada kita bahawa ia boleh dicapai dengan menumpukan kepada 5 aspek yang utama iaitu :

  1. Rohani yang perlu diisi dengan pengabdian kepada Allah.
  2. Amalan minda atau akal yang perlu diisi dengan pengetahuan, ilmu.
  3. Amalan fizikal yang perlu diisi dengan riadah.
  4. Amalan pemakanan yang perlu diisi dengan perkara yang halal toyyiba.
  5. Gaya hidup yang perlu diisi dengan amalan yang sihat.

Bagi mendapatkan ketahanan mental yang stabil tidak dapat tidak perlulah memiliki rohani dan jiwa yang sihat. Bagi seseorang yang melakukan sesuatu yang mencemarkan rohani dan jiwa, kecenderungan untuk mendapat gangguan pada mental adalah tinggi, Nabi SAW telah menunjukkan kepada umatnya jalan terbaik untuk memperolehi ketenangan jiwa dan kesihatan mental iaitu dengan menjauhi perkara yang haram dan terlarang. Jalanilah kehidupan menurut aturan syariat yang sentiasa memelihara manusia kearah kebaikan. Binalah hubungan dengan Allah SWT melalui kepatuhan kepada setiap perintah-Nya, bulatkanlah seluruh pengharapan yang lahir dari hati kita kepada-Nya, fahamilah makna sebuah kehidupan ini berserta tujuanya, amalkan nilai-nilai hidup yang baik dan positif. Pastinya ianya mencetuskan kedamaian di minda.

Marilah kita bersama-sama membina kekuatan mental dengan ilmu dan keberanian. Umat Islam perlu berani berhadapan dengan isu kesihatan mental ini tanpa ragu. Yakinilah bahawa Syariat agama sentiasa memenuhi keperluan fitrah insani dan sentiasa memandu manusia menjalani gaya hidup yang optimis. Solat adalah amalan yang paling utama menunjukkan hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Hubungan yang terbina membuatkan seseorang itu berada dalam keadaan yang tenang dan aman. orang yang melakukan solat dengan tekun, bersungguh-sungguh dan khusyuk bahawa dia tidak akan terjerumus kepada perbuatan yang keji dan mungkar.


Jika dikaitkan dengan kesihatan jiwa, mereka yang sedang mengalami sakit jiwa seperti kemurungan dan tekanan adalah golongan yang terdedah kepada perlakuan negatif seperti mencederakan diri dan bunuh diri yang selalu dikaitkan dengan ganggual mental. Tegasnya, masyarakat yang mempunyai ketahanan mental yang kuat menjadi pemangkin kepada kesejahteraan ummah.


فَإِذَا قَضَيْتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ ۚ فَإِذَا ٱطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ ۚ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًۭا مَّوْقُوتًۭا ١٠٣

"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya"

(Surah An-Nisa' : 103)

google-playkhamsatmostaqltradent