recent
Terkini | تركيني

Digenggam Kukuh Sebuah Azam

Laman utama

Umat Islam pada hari ini umumnya, melalui satu fasa yang sangat mencabar di dalam meneruskan kehidupan mereka. Antara cabaran yang dihadapi oleh umat Islam masa kini ialah cabaran ekonomi, perpaduan dan kefahaman yang benar. Oleh itu wajarlah buat semua umat islam untuk mempasakkan azam yang kukuh atau kehendak yang bersungguh-sungguh untuk memastikan cabaran yang disebutkan tadi dapat diatasi dengan sebaiknya.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 159 :

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ

"Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya"

Cabaran ekonomi adalah satu realiti yang perlu diakui bahawa kitalah yang paling lemah dalam menguasai sektor ini. Ekonomi adalah satu bidang yang sangat penting dalam kehidupan pada hari ini. Ibaratnya seperti, "sesiapa yang menguasai ekonomi maka ia menguasai dunia". Justeru itu sebagai umat islam mestilah mengukuhkan ilmu dan kefahaman dalam bidang ini supaya dapat bersaing dengan lebih teratur dan kukuh sehingga mampu menguasai sektor ini. Kuat dan kukuhnya umat islam dalam sektor ekonomi akan membawa kejayaan kepada agama, negara dan masyarakat. Oleh itu persiapkanlah wahai umat islam akan segala segenap kekuatan untuk mengangkat martabat agama dan bangsa.

Seandainya umat islam memiliki kekuatan ekonomi, makmur dengan perniagaan, maju dengan perdagangan serta menuruti acuan yang telah dicorakan oleh agama, maka semestinya mereka yang berjaya ini akan membantu saudara-saudara mereka yang berada dalam kesusahan dan kesempitan. Contohnya, Kisah Saidina Uthman ibn Affan membeli sebuah telaga milik seorang Yahudi yang menjual air bersih dari telaganya kepada orang islam dengan harga yang sangat mahal, ringkasnya saidina Uthman RA membeli telaga tersebut dengan harga berjumlah 35 ribu dirham lalu dia mewakafkan telaga itu untuk kegunaan orang islam dan juga bukan Islam. Kisah ini mengajar kita, sekiranya kekayaan ini berada pada tangan orang yang beriman dan bertakwa pastilah ia akan menyumbang kembali kekayaan itu dalam bentuk bantuan kepada yang berhak sama ada bersedekah, berzakat atau dalam bentuk peluang pekerjaan.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 271 :

إِن تُبْدُوا۟ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِىَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا ٱلْفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّـَٔاتِكُمْ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ ٢٧١

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan"

Namun perjuangan ini hanya sia-sia walaupun disertai oleh kalangan mukmin muttaqin, sekiranya perjuangan dalam bidang ekonomi ini tidak mendapat sokongan dan dokongan dari kalangan umat islam itu sendiri. Ayuhlah wahai ummat Islam, bangkitlah dari lena yang panjang, pandang dan tenungilah serta bantulah saudara-saudara kita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan, contohnya seperti pengusaha kedai runcit, peniaga barangan sejuk beku dan yang seumpama dengannya agar mereka mampu bersaing dan tidak hilang dek arus pasaraya besar. Umat islam juga mestilah mengutamakan produk-produk keluaran syarikat bumiputera muslim kerana ianya akan memberi kebaikan kepada muslim itu sendri. Seandainya ummat islam tidak membantu saudaranya, maka siapa lagi?

Cabaran yang perlu dihadapi oleh umat islam pada hari ini juga ialah bagaimana untuk mempertahankan perpaduan yang ada dikalangan mereka agar tidak rapuh serta menjadi semakin kukuh dan utuh. Marilah kita bersama menjaga kekuatan ukhuwah islamiah kerana ianya adalah kunci kepada perpaduan yang ada pada hari ini kerana umat islam itu bersaudara.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 :

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ١٠

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"

Seandainya roboh ukhuwah islamiah ini maka tiada lagi yang dapat mempertahankan perpaduan, malapetaka perselisihan akan merebak dan membarah. Kepuakan akan menjadi raja, hanya satu pihak sahaja yang terpaling betul dan satu pihak lagi salah disemua sisi. Inilah bibit perpecahan yang perlu dielak. Perpecahan hanya melemahkan umat islam merosakan kesatuan fikrah dan pemikiran. Apabila fikrah dan pemikiran dirosakan maka amat sukar untuk mendapat kata sepakat dalam sesuatu isu atau masalah yang akhirnya membawa kepada permusuhan sesama sendiri. Hal ini berlaku kerana gagalnya menyelami kepentingan menjaga ukhuwah islamiah. Faktor yang mnyebabkan kegagalan ini antaranya ialah,

  1. Kejahilan diri sendiri, tidak dapat membezakan manakah perkara yang berbentuk prinsip dan bukan prinsip yang boleh berubah-rubah.
  2. Hasad dengki yang meraja di hati, menyebabkan nafsu menguasai diri seterusnya melakukan kezaliman terhadap orang yang dihasad itu.
  3. Keperluan hidup, seseorang sanggup mengambil hak orang lain kerana desakan hidup.

Faktor-faktor inilah menyebabkan hilangnya ukhuwah islamiah dan menjadikan sesebuah masyarakat itu hanya mementingkan diri sendiri. Sedangkan umat islam itu perlu ada kebersamaan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam"

(Hadis riwayat Imam Muslim)

Cabaran umat islam pada hari ini juga dapat dilihat melalui kefahaman mereka terhadap sesuatu isu, kefahaman yang berbeza ini disebabkan pengaruh barat yang meresap masuk ke dalam sebahagian masyarakat kerana kesan penjajahan barat dahulu dan juga sanjungan yang tinggi kepada barat mempengaruhi kefahaman agama dan nilai ketimuran itu sendiri. sebagai contohnya memahami isu LGBT menerusi pandangan barat amat berbeza sama sekali dengan pandangan Islam, Barat menganggap amalan LGBT itu adalah hak asasi manusia yang perlu dijaga dan kebebasan amalan mereka perlu dibenarkan. Sedangkan Islam mengharamkan perbuatan tersebut dan hukuman keras ke atas pelakunya.

Nabi SAW bersabda yang mafhumnya :

"Sesiapa sahaja yang engkau dapati mengerjakan perbuatan homoseksual maka bunuhlah kedua pelakunya"

(Hadis Riwayat Ahmad)

Marilah kita mengukuhkan azam kita agar dapat mengatasi cabaran-cabaran yang disebutkan sebentar tadi. Pasakan azam untuk menguasai ekonomi, mengukuhkan perpaduan sesama sendiri dan memantapkan kefahaman menurut aturan agama. Azam dan kehendak cita-cita yang bersungguh-sungguh umat islam sejak tahun 1948 hingga kini ialah mahu melihat al-Quds dan Al Aqsa bebas dari penjajahan dan penaklukan zionisme yang tidak berperi kemanusiaan. Inilah sebuah azam yang digenggam kukuh hingga ke hari ini. Namun, persoalanya bagaimana kita dapat membebaskan palestina seandainya kita lemah dalam ekonomi, kita gagal bersatu padu dan kita berpecah?

google-playkhamsatmostaqltradent