recent
Terkini | تركيني

Susah Dan Senang, Allah Di Sisi

Laman utama

Perjalanan hidup ini bagaikan kembara yang menyelusuri waktu yang berlalu, ada masa kita rasa bahagia pun begitu ada waktunya diuji dengan rasa sedih dan duka. Oleh itu, kewarasan akal sewajarnya dapat memandu kita untuk menguruskan kehidupan bersama kurniaan atau dugaan yang diberikan.

Secara asasnya manusia bergembira dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT sama ada kecil atau besar. Bahkan nikmat ini kalau dihitung pasti tidak akan mampu dilakukan dengan kedhaifan kita sebagai hamba dek kerana besar dan banyaknya nikmat tersebut. Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahl ayat yang ke 18 :

وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٨

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

Adalah menjadi kewajipan sebagai seorang hamba untuk mensyukuri segala kurniaan dan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT ini. Dalam Islam terdapat tiga cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan rasa syukur dan menggabungkan ketiga-ketiga cara tersebut adalah syukur yang paling sempurna. Tiga cara tersebut adalah :

  1. Syukur dengan hati. Syukur dengan hati adalah dengan mengakui bahawa segala nikmat tersebut datang dari Allah dan atas keutamaanNya.
  2. Syukur dengan lisan. Syukur dengan lisan pula iaitu dengan selalu memuji kepada Allah SWT, menyebut nikmat itu, mengulang-ulangnya serta menampakkan nikmat tersebut.
  3. Syukur dengan perbuatan atau anggota badan. Syukur dengan perbuatan pula iaitu menggunakan nikmat tersebut untuk tujuan ketaatan kepada perintah Allah SWT dan berwaspada dari menggunakan nikmat tersebut untuk kemaksiatan dan kemungkaran kepadaNya

Allah SWT berfirman dalam Surah Saba' ayat yang ke 13 :

يَعْمَلُونَ لَهُۥ مَا يَشَآءُ مِن مَّحَـٰرِيبَ وَتَمَـٰثِيلَ وَجِفَانٍۢ كَٱلْجَوَابِ وَقُدُورٍۢ رَّاسِيَـٰتٍ ۚ ٱعْمَلُوٓا۟ ءَالَ دَاوُۥدَ شُكْرًۭا ۚ وَقَلِيلٌۭ مِّنْ عِبَادِىَ ٱلشَّكُورُ ١٣

"Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tungkunya. (Setelah itu Kami perintahkan) : 'Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!' Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur"

Sesungguhnya nikmat yang diberikan oleh Allah SWT ini tidak dijamin kekal pada seseorang hamba. Mungkin sahaja kesenangan yang dinikmati seseorang pada siang hari akan hilang pada waktu malamnya, mungkin sahaja seseorang yang mempunyai pasangan hidup didepan mata akan tetapi sekelip mata juga kehilangannya, mungkin sahaja ketika sedang menikmati kekayaan dunia akan tetapi terus lenyap kerana dijemput oleh Maha Pencipta ke alam sana. Maha Suci Allah SWT dari segala kekurangan dan kebergantungan pada sesiapa.

Oleh kerana itu, mengingati Allah SWT dan mensyukuri akan nikmatnya bukanlah sekadar ketika waktu senang sahaja akan tetapi juga ketika waktu didalam kesusahan atau ketika diuji. Tanda seseorang yang bertaqwa dan para solihin itu adalah dengan melakukan kebaikan dikala susah dan senang.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat yang ke 134 :

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَـٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ ١٣٤

"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik"

Walaupun secara zahirnya kita melihat ujian itu adalah musibah bagi kita sebagai manusia, ujian itu juga adalah sebenarnya adalah salah satu jalan Allah SWT memberi peringatan dan menegur kita sebagai HambaNya. Kita diberikan kepayahan dan kesusahan agar kita lebih mengerti dan mensyukuri erti kesenangan dan kenikmatan yang kita kecapi sebelum ini. Janganlah kita menjadi seperti golongan munafik atau yang kufur pada Allah SWT yang mana hanya gembira sekiranya memperoleh nikmat dan bersedih serta mengingkari perintah Allah SWT apabila sebaliknya. Firman Allah SWT di dalam Surah Hud ayat yang ke 9 :

وَلَئِنْ أَذَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِنَّا رَحْمَةًۭ ثُمَّ نَزَعْنَـٰهَا مِنْهُ إِنَّهُۥ لَيَـُٔوسٌۭ كَفُورٌۭ ٩

"Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur"

Ingatlah Allah SWT di mana dan ketika sekalipun kerana pasti Allah SWT akan bersama dengan kita pada tiap waktu dan ketika. Inilah yang dianjurkan oleh Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وسلم kepada ummatnya seperti yang telah disampaikan melalui lisan Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم yang mulia :

Mafhumnya : "Peliharalah Allah, nescaya kamu akan mendapati Allah di hadapanmu. Ingatlah Allah ketika kamu berada di dalam kesenangan nescaya Allah akan mengingatimu ketika kamu dalam kesusahan"

(Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi)

Maksud 'peliharalah Allah' di sini adalah dengan melakukan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Manakala erti 'Allah SWT berada di hadapanmu' pula bermaksud Allah akan bersamanya, membantu, memelihara, menguatkan serta memberi taufik kepadanya.

Oleh kerana itulah seseorang yang sentiasa mengingati Allah SWT ketika susah ataupun senang, nescaya akan diberkati seluruh kehidupannya. Ia jadikan masa yang lalu sebagai iktibar dan panduan, manakala masa yang akan datang dijadikan sebagai medan keazaman bagi mengumpul sebanyak mungkin kebaikan dan amal soleh demi melayari kehidupan yang dipenuhi keredhaan Allah, manakala diakhirat mendapat rahmat Allah dengan balasan syurgaNya.

Justeru sekaligus terus melakukan perubahan yang positif dan anjakan ke arah mempersiapkan masa depan agar lebih baik dari hari ini. Langkah ini boleh menjadi titik tolak perubahan diri dan sentiasa bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk hidup di dunia ini sampai dengan penghujung tahun ini. Mudah-mudahan dengan syukur ini, nikmat Allah akan terus ditambahkan kepada kita, manakala dipanjangkan umur kita oleh Allah sehingga kita masih teguh dan kuat beribadah dan berbuat baik dalam kehidupan di dunia ini.

Oleh itu, sangat beruntung insan-insan yang mana hati dan anggota tubuh badannya hanya mengingati dan mentaati Allah SWT dalam apa jua keadaan dan masa. Sifat tawakkal dan beriman dengan qada' dan qadar Allah SWT ini menjadikan hati-hati mereka tenang dengan ketetapan Allah SWT Yang Maha Bijaksana.

google-playkhamsatmostaqltradent