recent
Terkini | تركيني

Azam Seorang Mukmin

Laman utama

Kita telah memasuki fasa tahun 2024 dengan penuh keazaman dan impian besar yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Melalui cita-cita dan harapan ini, tercipta tujuan kehidupan yang didahului dengan usaha keras, menuntut ilmu, mencari pekerjaan serta melakukan pelbagai jenis usaha yang dianggap tepat untuk mencapai impian masing-masing. Segala peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2023 dan sebelumnya, menjadi inspirasi dan pengajaran buat kita untuk meneruskan impian serta azam kecemerlangan dalam tahun 2024 ini.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 200 :

فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا وَمَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍۢ

"...Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata : "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia". (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat"

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa pada musim haji, ada di kalangan mereka yang berdoa dan memohon : "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami unta, kambing dan lembu yang banyak serta hamba sahaya". Permintaan tersebut hanyalah melibatkan kenikmatan dunia yang bersifat sementara. Inilah golongan manusia yang dinyatakan Allah, berdoa dan memohon kurniaan semata-mata untuk kepentingan dan matlamat hidup di dunia sahaja.

Kumpulan ini biasanya adalah golongan kafir yang tidak mempercayai akan adanya Hari Kebangkitan dan Hari Akhirat. Namun, atas sifat rahmat Allah SWT, mereka dapat juga mengecapi kesenangan hidup lantaran memiliki kesungguhan dan usaha yang berterusan. Ini adalah kerana apa sahaja kesenangan hidup di dunia ini akan dapat dicapai dengan kesungguhan dan ikhtiar. Tetapi amat malangnya, mereka tidak akan mendapat apa-apa kebaikan dan kebajikan di negeri akhirat kelak.

Ambillah ibrah, dan usahakan agar diri kita termasuk di dalam golongan kedua yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam ayat 201, surah al-Baqarah :

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ٢٠١

"Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata : "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka"

Seterusnya, Allah SWT membicarakan perihal golongan yang kedua, iaitu kumpulan orang-orang mukmin. Mereka apabila berdoa, berhajat akan kebaikan di dunia, pasti akan menyusulinya pula dengan doa kebaikan di akhirat. Maka, Allah SWT juga akan memperkenankannya selagi mana disertakan dengan usaha dan iltizam yang bersungguh-sungguh. Oleh itu, di sinilah titik beza antara keduanya, iaitu doa dan azam seorang mukmin, serta impian dan harapan golongan kafir yang hanya memusatkan tujuan kehidupan pada perkara keduniaan semata-mata.

Marilah kita memperbaharui azam, cita-cita dan harapan kita dengan melaksanakan serta mengerjakan segala perintah Allah SWT dalam tahun baru yang mula bertamu ini. Hendaklah kita bermuhasabah bahawa tiap-tiap hari yang telah berlalu tidak dapat diulang kembali, walaupun ditangisi dengan air mata darah sekalipun, biar dibeli dengan harta kekayaan seisi duniapun, ia pasti tidak akan kembali.

Setahun berlalu bererti setahun pula umur kita telah berkurang dan semakin bertambah bilangan tahun yang telah pergi. Semakin sedikit pula umur kita yang tinggal. Apabila umur kita habis, maka ajal pun akan menjelma. Di saat itu, tidak ada lagi peluang untuk mencari bekalan yang akan dibawa menuju ke akhirat.

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌۭ ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةًۭ ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ ٣٤

"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila sampai ajalnya, tidak dapat mereka melambatkannya walau sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya"

(Surah Al-A'raf : 34)

Marilah kita menginsafi diri dalam menjalani kehidupan yang berbaki ini. Janganlah ada hari yang terbuang dengan sia-sia. Sehari yang terbuang, bermakna kita telah menderhakai masa yang berharga, umur yang berharga dan masa muda yang berharga. Imam al-Munawi berkata :

"Seseorang yang menghabiskan masanya sehari-hari; tanpa melaksanakan kerja yang hak, tanpa menyempurnakan kefarduannya, tanpa melakukan kerja yang membawa kepada kegemilangannya, tanpa melaksanakan khidmat terpuji, tanpa membangunkan institusi kebajikan, atau tanpa menuntut ilmu; sesungguhnya dia telah menderhakai masa dan menzalimi dirinya sendiri"

Ini bermakna, bukan sahaja kita telah mensia-siakan peluang untuk mendapatkan hasil yang berharga dari keuntungan dunia, malahan juga menafikan ruang dan peluang untuk meraih bekalan akhirat yang lebih berharga.

 لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌۭ ۚ وَلَدَارُ ٱلْـَٔاخِرَةِ خَيْرٌۭ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ ٱلْمُتَّقِينَ

"Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini, (maka mereka) akan beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu adalah lebih baik lagi; dan pastilah negeri akhirat itu ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa"

(Surah An-Nahl : 30)

Insafilah perkara ini, dan renunglah sedalam-dalamnya. Sediakan payung sebelum hujan, serta persiapkan bekal di dunia ini, sebelum belayar ke negeri akhirat yang kekal abadi, agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

google-playkhamsatmostaqltradent