Kita sebagai hamba seringkali melakukan kesilapan, maksiat dan dosa sama ada dilakukan dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar. Jika ianya dilakukan secara berterusan maka hidup kita sentiasa dalam keadaan berdosa dan pada akhirnya hati kita akan ditutup oleh Allah SWT. Ketika itu tidak akan ditemui lagi jalan menuju keimanan kerana noda maksiat yang menutup pintu hati (qalbu) seorang hamba.
Dalam sebuah hadith yang dinukilkan daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika ia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang di sebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya;
كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ١٤
'Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan' - (Surah Al-Mutaffifin : 14)"
Riwayat Ibnu Majah
Janganlah sesekali kita mengatakan "untuk apa aku bertaubat" "aku telah bertaubat dengan dosa sebelum ini, buat apa nak taubat banyak kali" "Aku telah banyak kali melakukan dosa buat apa nak taubat" "Taubatku sudah tiada guna lagi". Demikian adalah kata-kata yang pasti jangan sesekali diucapkan oleh mulut kita.
Kata-kata ini perlu dijauhkan dari benak fikiran seorang manusia yang mukmin kerana sebagai hamba-Nya hendaklah memperbanyakkan taubat meskipun berulang kali melakukan dosa. Inilah hakikat lumrah seorang manusia yang penuh kekurangan dan tidak sempurna segalanya. Sesungguhnya dengan taubat sesuci hati akan menjadi pembersih dosa.
Salah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat."
Riwayat Ibn Majah
Konsep taubat yang sebenar adalah menyesali akan dosa dan berazam tidak akan mengulang berbuat dosa lagi. Sesungguhnya taubat itu adalah wajib sepertimana firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 31 :
وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu Berjaya"
Imam Nawawi menyebut dalam kitab Riyadus Salihin iaitu : "Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT - yang tidak bersangkutan dengan hak manusia - maka ianya mempunyai tiga syarat :
- Menjauhkan serta meninggalkan maksiat
- Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
- Berazam serta bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama- lamanya.
Jika salah satu syarat yang disebutkan ini tidak dipenuhi, maka taubat seseorang itu tidak sah. Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat yang telah disebutkan tadi dan ditambah satu syarat lagi, iaitu :
- Hendaklah dia meminta untuk dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan
Empat syarat yang telah disebutkan tadi harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh ketika mana ingin mengejar keampunan dari Allah SWT kerana perbuatan ini akan membawa kepada perubahan diri daripada seorang ahli maksiat menjadi seorang ahli ibadah yang taat kepada Allah SWT.
Orang yang telah kembali ke pangkal jalan menyedari betapa agungnya kemaafan Allah, mereka akan segera tunduk memperhambakan diri serta segera untuk bertaubat kepada-Nya. Setiap dosa yang dilakukan sama ada dosa kecil atau dosa besar pasti akan mendapat keampunan Allah SWT sebelum datangnya kematian walaupun dosa yang meliputi sebesar alam bumi ini. Oleh kerana itu, pintu taubat dan pintu keampunan sentiasa terbuka kepada hamba-hambaNya yang bertaubat.
Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar ayat 53 :
قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٥٣
"Katakanlah (Wahai Muhammad); “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"
Allah SWT menyeru dengan bahasa yang amat lembut dan indah di mana Allah SWT tidak menyebut ‘Wahai para pendosa’ atau ‘Wahai orang-orang yang fasik’ tetapi Allah SWT memanggil serta menyebut ‘Wahai hamba-hambaKu’. Inilah menjadi satu bukti betapa kasihnya Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Demikian juga kepada yang merasakan diri sebagai pendosa, saat mengetahui besarnya kemaafan Allah SWT, mereka akan berlumba-lumba mendapatkan kemaafan dengan bertaubat. Tidak akan ada pilihan kepada kita selaku hamba kepada Allah SWT melainkan mendapat keampunan dari Allah atau dihumbankan ke nerakaNya.
Kalaulah kita sebagai hamba yang sudah pasti ada melakukan dosa, tidak berusaha untuk mengejar kemaafan dan taubat nasuha, pasti jiwa kita akan merana kekesalan dan putus harap daripada rahmat Allah SWT. Namun, ketika mengingatkan bahawa luasnya kemaafan Allah sudah pasti akan tenang dengannya.
Hamka berkata di dalam tafsirnya : "Jangan putus asa daripada rahmat Allah yang meliputi sekian alam, Janganlah kamu menyangka kerana terlalu banyak dosa Allah tidak akan memberikan ampun lagi. Mohonlah kepada Allah agar diberi keampunan. Dosa itu akan diampuni, meskipun sebesar banyaknya dosa itu. Yang dapat menebus dosa adalah penyesalan. Sementara nyawa masih dikandung badan, lekaslah melaksanakan segala apa yang diperintahkan Allah. Jika nyawa sudah bercerai dari badan, sesalan tidak berguna lagi dan pintu taubat tidak dibukakan lagi".