Nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita tidak terhitung dan teramat luas. Di antara nikmat-nikmat tersebut ialah Allah SWT menganugerahkan kepada hamba-hambaNya dengan membentangkan jalan yang baik dalam mencari rezeki bagi memenuhi keperluan harian kita. Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-A'raf ayat 10 :
وَلَقَدْ مَكَّنَّـٰكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَـٰيِشَ ۗ قَلِيلًۭا مَّا تَشْكُرُونَ ١٠
"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur"
Sesungguhnya Allah SWT amat kasih dan sayang akan hamba-hamba-Nya yang beriman, maka ayat berkaitan kewajipan memilih makanan dan minuman yang halal lagi baik diulang berkali-kali, kemudian diikuti dengan perintah bertaqwa kepadaNya, tujuannya adalah supaya orang yang beriman itu sentiasa selamat, sihat dan sentiasa dalam limpahan rahmat serta redha-Nya di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat, 87-88 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحَرِّمُوا۟ طَيِّبَـٰتِ مَآ أَحَلَّ ٱللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ ٨٧ وَكُلُوا۟ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِىٓ أَنتُم بِهِۦ مُؤْمِنُونَ ٨٨
"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman"
Allah SWT telah menyediakan pelbagai sumber rezeki yang baik, yang menguntungkan lagi halal. Allah SWT telah menjadikan perkara yang halal itu jelas demikian pula yang haram itu jelas. Marilah sama-sama kita renungkan hadis berikut ini, sepertimana sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram"
(Riwayat Muslim)
Berdasarkan mafhum hadith di atas, jelaslah keutamaan kita perlu mencari yang halal dan meninggalkan yang haram.
Sebagai contoh dalam pemilihan restoran, gerai makan, makanan, bahan atau barangan yang dijual, jika terdapat logo halal sah yang diiktiraf oleh kerajaan mahupun logo halal luar negara yang sah dan diiktiraf kerajaan, maka itulah sepatutnya menjadi pilihan utama umat Islam. Hal ini juga perlu dipupuk, diberi pendidikan, dan mengajar kepada ahli keluarga kita supaya mengutamakan yang halal walau di mana sahaja berada.
Bermula dari keluarga akan menjadi budaya dalam masyarakat kita. Di samping itu, kenalilah logo halal yang diiktiraf bagi memastikan produk yang dipilih adalah diyakini sebenar-benarnya halal serta menjadikan amalan ini sebagai budaya dalam hidup kita.
Bagi memastikan makanan halal dalam negara benar-benar terjamin, maka kerajaan telah menggubal undang-undang, enakmen atau akta berkaitan halal, antaranya ialah Akta Perihal Perdagangan 2011, Akta Makanan 1983, dan lain-lain. Semua ini adalah bertujuan untuk mengawal dan memberikan kesedaran kepada umat Islam, masyarakat dan juga para peniaga serta pengguna supaya memilih makanan halal, tidak menyalahguna sijil dan logo halal untuk semata-mata mencari keuntungan duniawi.
Maka beruntunglah golongan peniaga, pengusaha dan usahawan yang berusaha menyediakan makanan halal, mengusahakan barangan halal dan memasarkannya, mereka ini akan mendapat dua keuntungan dalam perniagaan. Untung kerana bertambah dalam pendapatan, ramai pembeli dan menjadi pilihan ramai. Satu lagi untung di sisi Allah SWT mereka akan diberikan ganjaran pahala berganda, keberkatan dan keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
Manakala konsep halal dari aspek pengurusan Halal di Malaysia pula ialah :
- Ianya tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak bagi orang Islam memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak dan fatwa;
- Tidak mengandungi apa-apa benda yang najis mengikut Hukum Syarak dan fatwa;
- Tidak memabukkan mengikut Hukum Syarak dan fatwa
- Tidak beracun atau memudaratkan kesihatan
- Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan apa-apa peralatan yang dicemari najis mengikut Hukum Syarak dan fatwa dan
- Tidaklah dalam masa menyediakan, memproses atau menyimpannya bersentuhan, bercampur atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang dinyatakan tidak halal.
Garis panduan ini dibuat kerana terdapat peringatan Nabi SAW menerusi Hadis Abu Hurairah RA yang bermaksud :
"Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram?"
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Umat Islam sebagai pengguna juga perlu bijak memilih, dalam menggunakan barangan dan memakan makanan yang halal. Oleh kerana, barangan dan makanan halal ini akan menghasilkan kesihatan baik dari segi rohani mahupun jasmani serta mendapat pahala dan keberkatan di sisi Allah SWT.
Namun rugilah golongan peniaga, pengusaha atau usahawan yang sekadar memburu keuntungan dalam bentuk angka-angka, hakikatnya mereka rugi sepanjang hayat kerana apa yang diusahakan sekadar angka besar, namun tiada nilai berkat, tiada nilai pahala dan keredhaan di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan hidup kita, ahli keluarga kita akan lebih baik, berkat, sihat, dan selamat di dunia dan juga akhirat, insyaa Allah.
Justeru, menjadi tanggungjawab bagi semua pihak untuk mendukung konsep "Halalan Toyyiban" dengan melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing sama ada di pihak pemerintah, pengusaha dan juga pengguna.