recent
Terkini | تركيني

Perhiasan Dunia - Harta Benda Dan Anak-Anak

Laman utama

Perhiasan dunia ini termasuklah harta, pangkat, kuasa dan kesenangan dunia. Semuanya boleh menjadi ujian bagi kita. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Kahfi, ayat ke 7 :

إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى ٱلْأَرْضِ زِينَةًۭ لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ٧

"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya"

Allah SWT mengingatkan kita bahawa dunia ini hanya sementara, dan segala apa yang kita perolehi di dunia ini tidak akan kekal. Kejayaan sejati adalah mencari redha Allah dan berjaya membuat persediaan untuk akhirat kelak.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita bahawa harta adalah fitnah kepada umat Islam. Namun, siapa yang menggunakannya ke arah ketaatan kepada Allah dan memanfaatkannya, maka harta adalah rahmat yang membantunya sampai ke syurga, dan sesiapa yang membelanjakannya untuk tidak mematuhi Allah dan menggunakannya ke arah maksiat, maka harta adalah ancaman/ujian yang akan membawanya ke neraka.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguh setiap umat mempunyai ujian dan cubaan, dan fitnah umatku adalah harta"

(HR Imam Tirmidzi)

Kehadiran anak-anak dalam sebuah perkahwinan adalah penyeri kepada rumahtangga. Lahirnya mereka ke dunia ini, maka bermulalah tanggungjawab ibubapa kepada anak ini, dan semuanya bergantung kepada mereka untuk mencorakkan kain putih itu.

Tanggungjawab itu seharusnya digalas dengan baik dan dijalani dengan penuh amanah. Andai anak yang dibesarkan itu menjadi anak yang soleh, maka kebaikan di dunia dan akhirat buat kedua ibubapanya. Andai sebaliknya yang berlaku, maka itulah ujian buat mereka. Bahkan di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman dalam surah At-Taghabun ayat 15 bahawa bukan sahaja harta benda, malahan anak-anak juga adalah ujian buat hamba-hambaNya :

إِنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌۭ ۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌۭ ١٥

"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar"

Sekiranya diperhatikan ayat di atas, Allah menyatakan bahawa anak-anak dan harta adalah fitnah buat setiap insan. Fitnah di sini diterjemahkan sebagai ujian. Walaupun tidak dapat disangkal bahawa anak-anak, harta dan kelebihan-kelebihan lain di dunia ini seperti pangkat, kekuasaan dan sebagainya adalah nikmat yang diperolehi. Namun, ia boleh menjadi satu ujian buat pemiliknya, seandainya amanah ini tidak digalas dengan baik. Persoalannya, bagaimana harta dan anak ini boleh menjadi ujian buat seseorang?

Seperti mana seseorang yang mempunyai harta yang banyak, diwajibkan ke atas mereka mengeluarkan zakat, namun apabila mereka tidak melakukannya oleh kerana sayangkan harta dan takut harta mereka akan habis, maka itu adalah ujian buat mereka dan pemilikan harta itu menjadi beban buat mereka untuk dijawab di hadapan Allah SWT.

Begitu juga dengan anak. Anak yang ramai dan berjaya di dunia, tetapi tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenar, maka itu adalah ujian buat ibubapa mereka. Namun, sekiranya anak tersebut berjaya di dunia mahupun akhirat, dan menjadi anak yang menjaga akhlaknya, maka kebaikan itu diperoleh oleh kedua ibubapanya. Ini menunjukkan bahawa anak itu adalah nikmat dan anugerah buat mereka, penyeri di dunia dan menjadi saham di akhirat.

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW yang maksudnya :

"Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya"

(HR Ibnu Majah)

Maka berdasarkan hadith ini, Nabi Muhammad SAW mengajar kita agar sentiasa mendoakan anak-anak kita kerana doa ibubapa merupakan doa yang mustajab.

Doakanlah anak-anak kita agar dikurniakan kebijaksanaan dalam ilmu-ilmu agama, dan menjadi ‘alim dalam ilmu-ilmu yang mereka pelajari seperti doa yang dibacakan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Ibnu Abbas R.A. :-

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

"Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran)"

Dalam surah al-Kahfi ayat ke 46, Allah SWT berfirman :

ٱلْمَالُ وَٱلْبَنُونَ زِينَةُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱلْبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًۭا وَخَيْرٌ أَمَلًۭا ٤٦

"Harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia. Amalan-amalan yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan"

Ini bermaksud Allah SWT menciptakan perhiasan dunia untuk menguji manusia. Dunia ini seperti perhiasan yang amat menarik, tetapi kita tidak boleh lupa tujuan sebenar hidup kita, iaitu beribadah kepada Allah dan mencari keredhaanNya.

Harta dan anak-anak hanya perhiasan dunia. Mereka yang mencantikkan kehidupan kita di dunia. Tetapi harta benda dan anak-anak belum tentu boleh menjadi bekalan kita di akhirat kelak. Yang kekal abadi adalah amalan-amalan soleh dan amal kebajikan yang boleh kita harapkan untuk dijadikan pahala di akhirat kelak.

Sesibuk manapun kita mencari rezeki dan harta, sesibuk mana kita membesarkan anak-anak, semoga kita tidak lupa untuk mengumpul pahala-pahala kebaikan dan amal soleh yang lain. Semoga harta dan anak-anak kita boleh menjadi sebahagian dari saham akhirat yang bakal kita persembahkan di hadapan Allah SWT di hari akhirat kelak.

Kesimpulannya, ada beberapa perkara yang perlu kita ambil pengajaran, sebagai bekalan kita untuk hari mendatang.

  1. Allah menguji dalam kehidupan dunia dengan kekayaan, kemiskinan, kemenangan, kekalahan, dan banyak lagi. Kita harus selalu ingat bahawa dunia ini hanya sementara, dan tujuan utama kita adalah mencari redha Allah SWT dan melakukan persediaan untuk akhirat.
  2. berhati-hatilah dengan fitnah harta yang sentiasa menguji manusia. Manusia akan mula menjadi seorang yang sentiasa tidak puas dengan harta yang ada sehingga menjadi kedekut dan tidak suka bersedekah. Sifat bakhil yang terpahat akan melahirkan kemarahan dan kebencian sesama sendiri. Maka, manusia akan semakin jauh daripada landasan agama yang sebenar disebabkan harta benda.
  3. anak yang ramai dan harta yang banyak bukanlah satu kayu ukur untuk menentukan kejayaan seseorang di dunia ini. Malah, ia akan menjadi ujian kepada seseorang sekiranya kita tidak dapat menguruskannya dengan baik.

Infaqlah harta yang Allah pinjamkan kepada kita, bentuklah anak-anak agar menjadi anak yang soleh dan bertaqwa, sudah pasti kelak ada ganjaran yang menanti kita di sana, semoga harta dan anak-anak menjadi saham akhirat apabila kita sudah tiada..

google-playkhamsatmostaqltradent