Kini kita menghampiri pertengahan bulan Syaaban atau lebih dikenali dengan nisfu Syaaban. Pastinya ramai dalam kalangan kita yang mengingati satu peristiwa penting yang berlaku dalam bulan hebat ini. Peristiwa yang berkait rapat dengan amal ibadah kita kepada Allah SWT iaitulah peristiwa pertukaran kiblat daripada menghadap ke arah Masjid al-Aqsa kepada Kaabah ataupun al-Masjid al-Haram di Makkah. Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua hijrah Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 144 :
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ١٤٤
"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang mendongak ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan"
Sebelum peristiwa hijrah, Nabi Muhammad SAW diarahkan oleh Allah SWT menunaikan solat menghadap ke arah Masjid al-Aqsa. Nabi dan para sahabat patuh melaksanakan arahan ini dengan menghadap ke arah Masjid al-Aqsa. Namun dalam hati kecil Nabi tercetus harapan untuk menghadap semula ke arah Kaabah kerana ianya kiblat para nabi dan rasul terdahulu.
Selepas berhijrah ke Madinah, umat Islam tidak lagi boleh menjadikan Kaabah dan Masjid al-Aqsa selari ketika menunaikan solat kerana perbezaan geografi. Lalu Allah SWT menurunkan ayat 144 Surah al-Baqarah tadi sebagai jawapan tuntas kepada hasrat Nabi SAW dan juga para sahabat.
Pertukaran arah kiblat ini menjadi tamparan hebat kepada Ahli Kitab; Yahudi dan Nasrani di Madinah kerana mereka telah menuduh Nabi Muhammad SAW dan umat Islam telah terpesong daripada ajaran sebenar seperti yang dilakukan sebelum ini. Namun bagi Nabi SAW dan para sahabat, wahyu dan arahan Allah SWT lebih utama untuk dilaksanakan, bukan terikut-ikut dengan tuduhan dan ejekan semata-mata.
Peristiwa perubahan kiblat ini memberi satu contoh tauladan kepada kita umat Islam bahawa kita hendaklah sentiasa melatakkan wahyu dan agama sebagai panduan utama dalam semua urusan hidup, bukan semata-mata bergantung dengan pandangan akal manusia yang terhad. Apatah lagi pandangan akal yang langsung membelakangkan dan mengenepikan wahyu dengan alasan wahyu telah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai pada zaman moden hari ini.
Allah berfirman menerusi surah Al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud :
وَمَا جَعَلْنَا ٱلْقِبْلَةَ ٱلَّتِى كُنتَ عَلَيْهَآ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌۭ رَّحِيمٌۭ
"(Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman)"
Tanyalah diri kita sendiri, adakah kita masih mengagungkan akal manusia yang terhad ini dalam beragama atau hendak tunduk patuh kepada pencipta akal yang juga pemilik wahyu, Allah SWT.
Satu perkara yang harus diingat kita semua, kita menghadap ke arah kiblat dalam solat dan lain-lain ibadah bukan bermakna Allah SWT berada di situ, maha suci Allah daripada yang demikian. Sebaliknya kiblat merupakan simbol kesatuan umat Islam seluruh dunia di mana pun mereka berada. Kesatuan kiblat menjadi bukti utama kepada kita bahwa umat Islam boleh bersatu dan berpadu selagi mana mereka berkiblatkan wahyu dan agama. Halangan utama untuk umat Islam bersatu apabila tidak meletakkan agama dan wahyu di hadapan, terpengaruh dengan doktrin dan fahaman yang menyeleweng lalu memporak-perandakan umat.
Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 115 :
وَلِلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا۟ فَثَمَّ وَجْهُ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ ١١٥
"Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui"
Bulan Syaaban bukan semata-mata sejarah pertukaran arah kiblat, tetapi bulan ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri dalam kehidupan Nabi SAW Baginda diriwayatkan banyak berpuasa sunat dalam bulan Syaaban melebihi bulan-bulan lain.
Daripada Saidatina Aisyah R.Aha. katanya : Adalah Rasulullah SAW (banyak) berpuasa (sunat) hingga kami menyangka Baginda tidak akan berbuka, dan sentiasa berbuka hingga kami menyangka Baginda tidak akan berpuasa (sunat), dan aku tidak (pernah) melihat Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat Baginda lebih banyak berpuasa daripada bulan Syaaban.
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Daripada Usamah bin Zaid RA. katanya : Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, kenapa aku tidak pernah melihat Tuan banyak berpuasa daripada bulan-bulan lain seperti bulan Syaaban? Jawab Baginda: Itulah satu bulan yang ramai manusia leka daripadanya antara Rejab dan Ramadan, itulah bulan yang diangkat padanya amalan kepada Tuhan sekalian alam, dan aku suka amalanku diangkat ketika aku berpuasa.
(Riwayat al-Nasaie)
Imam Syafie Rahimahullahu Taala juga pernah berkata bahawa malam nisfu Syaaban merupakan antara malam-malam yang Istimewa untuk berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat selain daripada malam Jumaat, dua hari raya dan awal bulan Rejab.
Pertukaran kiblat ke arah Kaabah di al-Masjid al-Haram bukan bererti kita melupakan Masjid al-Aqsa, sebaliknya al-Aqsa kekal dalam hati sanubari kita untuk dibebaskan daripada cengkaman Yahudi laknatullah. Saban hari kita menerima laporan penindasan dan kezaliman tentera Zionis terhadap saudara seakidah kita.
Doa kita sentiasa dipanjatkan agar Allah SWT menganugerahkan kekuatan dan istiqamah kepada saudara-saudara kita di sana seterusnya beroleh kemenangan dan pembebasan al-Aqsa seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar RA dan Sultan Solahuddin al-Ayubi.
Usaha kita memboikot produk dan jenama yang jelas memberi bantuan dan sokongan kepada Israel dan konco-konconya hendaklah diteruskan. Data menunjukkan kempen boikot ini memberi kesan kepada syaraikat-syarikat besar hingga ada dalam kalangan mereka yang telah memutuskan hubungan dengan Israel bagi meraih kembali kepercayaan masyarakat dunia. Kita telah berjaya dan teruskan istiqamah memboikot seupaya mungkin.