Mualaf adalah istilah yang merujuk kepada seseorang yang telah memeluk agama Islam setelah sebelumnya berpegang kepada agama lain atau tidak beragama. Istilah ini biasanya digunakan untuk menggambarkan seseorang yang mengalami perubahan keyakinan dan aqidah dari agama yang lain sebelumnya, kepada agama Islam.
Proses pengislaman melibatkan pengakuan dari ucapan dua kalimah syahadah, yang merupakan syarat asas untuk memeluk agama Islam. Syahādah ( الشهادة ) atau ucapan kepercayaan, adalah pernyataan kepercayaan kepada keEsaan Tuhan (Allah) dan Nabi Muhammad SAW sebagai rasulnya. Dengan pengakuan diri dan hati yang kuat secara ikhlas, seseorang itu secara rasmi dianggap mengisytiharkan diri sebagai penganut Islam yang baru (mualaf).
Mualaf juga adalah panggilan bagi orang Kafir yang mempunyai harapan masuk agama Islam atau Islam warisan yang imannya masih perlu disokong dan dikukuhkan. Di dalam Surah At-Taubah Ayat 60 disebutkan bahawa golongan mualaf adalah termasuk orang-orang yang berhak menerima zakat.
إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ ٦٠
"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana"
Kemuncak di dalam usaha menyampaikan dakwah adalah kejayaan membawa masyarakat yang tidak beragama Islam untuk memeluk Islam. Bilangan mereka yang memeluk islam semakin hari semakin meningkat. Hal ini menjadi tumpuan yang penting di dalam masyarakat disebabkan penukaran agama dianggap sebagai suatu peristiwa yang besar dan suci di dalam sejarah kehidupan seseorang.
Penukaran agama asal kepada Islam hendaklah secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak. Walau bagaimanapun proses ini memerlukan keberanian dan ianya tidak mudah bagi golongan mualaf kerana terdapat banyak cabaran dan rintangan di dalam membina kehidupan yang baharu selepas memeluk islam.
Setiap individu mempunyai pengalaman unik dan faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan mereka untuk memeluk Islam. Antara faktor utama yang mendorong seseorang itu memeluk islam adalah merasakan panggilan rohani atau keinginan yang kuat untuk mendekati Allah. Mereka mungkin merasakan kekosongan jiwa dan kegersangan hati dalam kehidupan mereka selama ini yang hanya dapat diisi oleh keimanan kepada Allah, dan ini mendorong mereka untuk memeluk Islam.
Malah, ada dari kalangan mereka mendapati bahwa Islam mempunyai jawapan yang lebih memuaskan atau keserasian dengan keyakinan mereka daripada agama mereka sebelumnya. terkesan dengan ajaran-ajaran Islam, nilai-nilai moralnya, atau mungkin mereka menemui jawapan kepada soalan-soalan yang mereka miliki melalui pembacaan dan penelitian.
Interaksi dengan individu Muslim yang baik dan penyayang juga boleh menjadi faktor yang memberi dorongan kepada seseorang untuk memeluk Islam. Melalui hubungan ini, mereka mungkin terkesan dengan ketenangan, moralitas, dan keyakinan yang dimiliki oleh orang-orang Muslim dalam kehidupan mereka sehari-hari.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al An'am, ayat 125 :
فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهْدِيَهُۥ يَشْرَحْ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ ۖ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُۥ يَجْعَلْ صَدْرَهُۥ ضَيِّقًا حَرَجًۭا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِى ٱلسَّمَآءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجْسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ ١٢٥
"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman"
Bagi seseorang mualaf, memasuki kehidupan baru dalam Islam adalah seperti dilahirkan semula. Mereka perlu melalui proses pembelajaran yang intensif untuk memahami ajaran-ajaran, praktik, dan nilai-nilai Islam termasuk aspek ibadah, moralitas, dan hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Ini boleh menjadi satu cabaran yang berat, terutama jika mereka tidak mempunyai sokongan yang mencukupi. Sebahagian daripada mereka kehilangan pekerjaan, putus hubungan dengan keluarga, diusir oleh masyarakat kaum sendiri dan kadangkala berdepan dengan sentimen dan penerimaan yang "sedikit kurang mesra" dari masyarakat muslim yang membentuk komposisi paling dominan di Malaysia.
Oleh hal yang demkian, penting bagi komuniti Muslim untuk menyambut mualaf dengan hati yang terbuka dan memberi sokongan, bimbingan, dan pendidikan untuk membantu mereka memperkuat keimanan dan menyesuaikan diri dan meringankan beban mereka dalam usaha membina kehidupan baharu mereka sebagai seorang Muslim.
"Seseorang muslim adalah bersaudara bagi muslim yang lain. Maka ia tidak akan menzalimi dan membiarkannya (menderita)"
(Riwayat al-Bukhari)
Atas semangat persaudaraan sesama muslim dan ketaatan kepada Allah, marilah kita mengambil peduli dan menyatuni saudara baru kita. Antara langkah yang boleh diambil ialah :
- Memberi semangat dan dorongan kepada mereka untuk menjadi seorang muslim yang baik.
- Mengambil berat akan kebajikan mualaf tanpa bersikap prejudis terhadap mereka.
- Membimbing mereka memahami Islam secara menyeluruh.
- Menunjukkan akhlak yang baik di dalam pergaulan agar hati mereka terus tertarik dengan keindahan Islam.
- Meraikan mereka untuk mengamalkan budaya hidup asal mereka selagi mana tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memberi sokongan dan kekuatan kepada golongan mualaf yang kini dianggap sebagai saudara dalam agama, terutama dalam bentuk bantuan kebajikan, sokongan moral, kewangan dan pembelajaran. Ianya hendaklah bermula dari seawal proses pengislamannya sehinggalah kepada pengurusan kematiannya.
Akhir sekali, kepada golongan mualaf, terus bersabar dalam membina kehidupan baharu dengan beberapa pendekatan dan tindakkan seperti berikut :
- NIAT : Tekadkan niat masuk Islam kerana Allah, bukan kerana manusia atau sesuatu yang lain. Tekad yang bulat inilah yang membantu para sahabat zaman silam kekal dalam akidah Islamiah, walau diuji dengan pelbagai penderaan.
- PERGAULAN : Bergaullah dengan kelompok yang membina kekuatan diri sebagai muslim. Misalnya dengan mendekati kalangan muallaf yang sudah berjaya atau NGO muallaf yang sentiasa terbuka membantu.
- KONGSI : Muallaf perlu berkongsi masalah yang ada dengan pihak lain agar solusi dapat dicari. Dalam hal ini, pendakwah mualaf misalnya boleh dijadikan tempat berkongsi masalah dan mendapatkan nasihat.
- MOTIVASI : Muallaf perlu sentiasa memotivasikan diri. Salah satu caranya dengan membaca kisah-kisah para sahabat nabi yang memeluk Islam pada zaman awal Islam dahulu.
- ILMU : Muallaf perlu giat mencari dan mengisi ilmu di dada agar segera dapat memperbetulkan amalan dan seterusnya dapat menghayati Islam dalam kehidupan.
- IBADAH : Muallaf perlu mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui amal ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan zikrullah.
Semoga para mualaf dapat terus beristiqamah dan ditetapkan iman sehingga ke akhir hayat. Kita perlu berganding bahu kerana untuk berjaya perlu saling membantu dan perihatin antara sesama umat Islam.