recent
Terkini | تركيني

Fenomena TikTok

Laman utama

Pada hari ini media sosial merupakan satu medium untuk kita berkomunikasi antara satu sama lain. Secara umumnya fungsi media sosial di antaranya ialah untuk menghantar sesuatu pesanan, berita (informasi), gambar dan juga video. Antara yang sedang menjadi "trend" ikutan pada ketika ini dengan terciptanya aplikasi yang lebih moden dan lebih mendapat perhatian semua golongan terutamanya dari dikalangan anak muda iaitu aplikasi Tiktok. Bahkan menurut data yang diperolehi terdapat lebih kurang 4.62 bilion pengguna media sosial menggunakan aplikasi Tiktok sejak 2017.

Tiktok kini telah menjadi aplikasi yang paling sering digunakan oleh masyarakat di Malaysia kerana ia meliputi semua aspek kemudahan yang disediakan terutamanya untuk peniaga-peniaga kecil, pendakwah-pendakwah dengan mengguna pelbagai bentuk idea penyampaian video yang dapat menarik hati pengguna Tiktok.

Islam tidak menghalang sebarang teknologi yang dihasilkan oleh manusia, malahan Islam sangat menggalakkan kemajuan teknologi bagi memudahkan urusan seharian. Namun demikian, Islam telah meletakkan had batasan penggunaanya kerana mengelakkan manusia tersasar jauh dari landasan agama.

Pada dasarnya sebarang aplikasi media sosial yang digunakan ke arah perkara yang membawa manfaat adalah dibenarkan. Ini bertepatan kaedah fiqh berikut : "Pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamannya".

Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 32 :

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِىٓ أَخْرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَـٰتِ مِنَ ٱلرِّزْقِ ۚ قُلْ هِىَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا خَالِصَةًۭ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍۢ يَعْلَمُونَ ٣٢

"Katakanlah (wahai Muhammad) : 'Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?' Katakanlah : 'Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat'. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui"

Pengguna yang bijak serta bertanggungjawab perlulah mengurus sebarang aplikasi media sosial dengan bijak. Pilihan terletak pada kita sebagai pengguna sama ada ingin memandu ia ke jalan kebaikan serta bermanfaat ataupun ke jalan yang membawa kerosakan dan kebinasaan. Dalam pada itu, hukum keharusan penggunaannya boleh berubah kepada hukum lain tertakluk kepada cara kita menggunakannya.

Aplikasi TikTok boleh dikategorikan sebagai hiburan. Dalam konteks ini, adakah menggunakan aplikasi TikTok termasuk hiburan yang dibenarkan oleh syarak?

Terdapat beberapa penetapan hukum dalam hiburan antaranya ialah :

  1. Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik kepada manusia kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
  2. Haram, sekiranya membawa keburukan serta kemudaratan kepada inidividu dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak.
  3. Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik serta bermanfaat kepada individu dan masyarakat.

Setiap pengguna TikTok pasti memiliki alasan tersendiri mahupun tujuan kita memilih dan menggunakan aplikasi ini. Penggunaan aplikasi tersebut boleh didasarkan atas beberapa tujuan di antaranya tujuan pendidikan, dakwah, hiburan, mengisi waktu lapang dan juga promosi perniagaan. 

Berikut adalah antara beberapa garis panduan boleh dipatuhi dalam penggunaan aplikasi TikTok :

Pertama : Memilih kandungan yang bermanfaat

Pengguna TikTok yang kebanyakannya terdiri dari kalangan remaja perlu memilih kandungan yang bermanfaat seperti video pendidikan, tazkirah berkenaan agama, kata-kata nasihat dan sebagainya. Manakala video yang menjurus kepada perilaku narsisisme (perilaku terlalu memuja dan kagum terhadap diri sendiri) perlulah dielakkan.

Dengan adanya aplikasi Tiktok ini ramai yang menghibur diri dengan cara yang salah seperti membuat video berjoget-joget kemudian memuat naik ke akaun media sosial mereka tanpa mereka sedari bahawa ini adalah salah satu perbuatan yang dilarang dalam agama Islam. Golongan Wanita terutamanya, perlu menjaga aurat dan akhlaknya serta berperasaan malu. Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :

"Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda : Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya"

(Riwayat At-Tabrani)

Kedua : Membataskan waktu dan masa penggunaan

Berdasarkan laporan oleh Electronics Hub, masyarakat dunia menghabiskan purata masa sebanyak 6 jam 43 minit menghadap skrin, sama ada telefon bimbit, televisyen mahu pun komputer.

Secara purata golongan remaja menggunakan media sosial selama 11.6 jam sehari. Data ini belum ditambah dengan penggunaan Internet bagi tujuan lain seperti pencarian maklumat dan bermain game secara dalam talian.

Berdasarkan data di atas, para ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab bagi memantau penggunaan aplikasi media sosial seperti TikTok agar anak-anak mereka tidak mengalami ketagihan menggunakan aplikasi ini. Selain video-video yang melalaikan, pengguna TikTok juga terdedah kepada mangsa buli siber yang berleluasa di media sosial. Hal ini amat memberi kesan kepada mental anak-anak.

Ketiga : Menggalakkan perkongsian yang bermanfaat

Remaja sebagai pengguna tegar TikTok, harus diberi galakan untuk menghasilkan dan berkongsi video-video yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Usaha ini memerlukan kepada sistem sokongan yang membantu mereka daripada segi khidmat nasihat, kemudahan editing video dan peralatan rakaman yang sesuai. Perkara ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud : 

"Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain"

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempat : Semak dahulu sebelum sebar. Tidak pasti jangan kongsi

Dalam erti kata lain, seorang pengguna TikTok yang mempunyai kebebasan bersuara dan mampu menulis serta berkongsi apa sahaja di media sosial sama ada berkata benar atau bercakap bohong, namun mestilah memilih hanya berkata benar sahaja.

Kerana inilah nilai integriti yang harus ada pada diri seseorang. Mereka berusaha walaupun tanpa sebarang pemantauan, mematuhi etika dan nilai-nilai murni yang digariskan dalam Islam ketika menggunakan media sosial.

Jika dilihat kepada panduan wahyu, Islam melarang penganutnya terlibat dengan penyebaran fitnah dan berita-berita palsu yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman masyarakat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan :

  1. TikTok adalah aplikasi media sosial yang memiliki pengaruh besar pada masa kini. Aplikasi TikTok juga merupakan medan untuk berdakwah dan menimba ilmu yang bermanfaat.
  2. Aplikasi TikTok ini, jika digunakan dengan cara yang baik dan ia akan mampu memberikan impak positif dalam kalangan masyarakat.
  3. Kepada pengguna-pengguna aplikasi ini, diharapkan dapat menjadi pengguna yang bijak dan bertaqwa.

google-playkhamsatmostaqltradent